
"INI soal kesihatan, tak ada maksud lain, sama-sama muhasabah diri".
Demikian respon pempengaruh dan doktor selebriti, Dr Azura Abas ekoran kecaman diterima pada penyertaannya di pertandingan Hyrox baru-baru ini.
Dikritik hebat kerana berpakaian mencolok mata dan tidak menutup aurat, suaminya, Dr Say Shazril juga berdepan nasib sama apabila dilihat tidak berbaju dan hanya mengenakan seluar sukan sahaja.
Akur dengan dengan teguran orang ramai, Dr Azura tegas menjelaskan bahawa penyertaannya dalam pertandingan itu bertujuan demi kesihatan semata-mata tanpa sebarang niat lain.
"Saya tau banyak yang kecam to be honest saya terima kekurangan saya, InsyaALLAH hidayah akan tiba juga tapi post ni soal kesihatan tak ada maksud lain.
"Kalau suka boleh dijadikan inspirasi kalau tak suka tak mengapa, saya tak perlu manusia label siapa saya di sisi ALLAH.
"Cukup kita tahu di mana level kita sendiri dengan pencipta kita, kalau rasa kita lebih mulia daripada orang lain mungkin dia lagi hina dari yang tak tutup aurat," katanya menerusi laman Threads pada Selasa
Enggan menyalahkan mana-mana pihak, ibu kepada tiga cahaya mata itu meminta agar semua pihak bermuhasabah diri dan berhenti menghukum kesalahan orang lain.
"Tiada siapa yang tau dan layak menghukum kecuali ALLAH,sama-sama muhasabah diri," tambahnya.
Terdahulu, pasangan doktor itu berkongsi kejayaan mereka di Instagram selepas berjaya menempuh pelbagai cabaran dalam acara tersebut dalam tempoh sejam 33 minit mekipun hanya menjalani latihan selama empat minggu.
Sekadar info, HYROX ialah sejenis pertandingan kecergasan global yang menggabungkan larian jarak jauh dengan ujian kekuatan dan ketahanan fizikal dalam satu format perlumbaan.
Ia mula diperkenalkan di Jerman pada 2017 dan kini semakin popular di seluruh dunia termasuk Eropah, Amerika Syarikat dan Asia.
Terbuka kepada atlet dari peringkat amatur hingga profesional, ia direka untuk menguji keseluruhan kemampuan tubuh dari kekuatan otot, daya tahan kardio hingga kecekapan pergerakan.
Antara selebriti dan atlet kebangsaan yang pernah menyertai pertandingan itu ialah Ikmal Amri, Anas Dzulkefflee, pempengaruh Raeiz Hamed dan bekas pemain Harimau Malaya Lee Tuck. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram