Masih ada ibu bapa keliru, haram ambil, makan daging akikah nazar walau sedikit, wajib disedekahkan


  • Bonda
  • Selasa, 15 Jul 2025

Konsep bernazar untuk melakukan akikah adalah berbeza dengan melaksanakannya bagi memenuhi tuntutan sunat. — Gambar hiasan/Freepik AI

SELAIN usaha dan doa, bernazar merupakan antara ikhtiar sering diamalkan umat Islam dalam mengharapkan hajat atau permintaan dikabulkan ALLAH SWT.

Nazar adalah pengakuan atau sumpah bahawa seseorang Muslim akan melakukan sesuatu berdasarkan satu peristiwa,untuk sebarang tujuan yang dibolehkan oleh syarak.

Individu Muslim juga wajib melaksanakan apa yang dinazarkan jika perbuatan nazar tersebut adalah sesuatu yang mempunyai landasan sah dalam Islam.

Dalam Islam, nazar juga hukumya harus, tetapi ia boleh menjadi satu kewajipan sekiranya ia boleh menyelamatkan nyawa seseorang dan menjadi haram sekiranya boleh menzalimi atau mengancam nyawa.

Secara umumnya, terdapat tiga jenis nazar iaitu nazar melakukan atau meninggalkan sesuatu yang berkait dengan denda jika nazar itu tidak dilaksanakan.

Kedua, nazar tanda kesyukuran ketika memperoleh sesuatu perkara baik atau meminta untuk dipelihara daripada perkara buruk.

BACA LAGI: [VIDEO] Siap boleh 'camping', ibu update perkembangan terbaharu Ainul Mardhiah makin sihat dan ceria

BACA LAGI: [VIDEO] Mudah, jimat masa, 'pager' inovasi baharu lancarkan sesi bergambar keluarga pada majlis kahwin

Daging korban untuk menyempurnakan nazar akikah wajib disedekahkan. — Gambar hiasan/Facebook

Ketiga, nazar mutlak yang tidak dikaitkan dengan sebarang masa atau syarat tertentu dan ia perlu dilaksanakan pada seberang masa selepas nazar itu dilakukan.

Pun begitu, nazar juga boleh dilibatkan dengan pengurusan akikah.

Berdasarkan perkongsian pengguna Facebook Khairul Johari, masih ramai Muslim di Malaysia yang masih belum memahami konsep nazar ketika melakukan akikah.

Menurut kisah diceritakan pengusaha kambing itu, seorang pelanggannya sanggup berkorban berbelanja lebih kerana baru menyedari tentang perbezaan akikah sunat dan nazar.

"Ada pelanggan datang ke kandang dan kata 'saya bernazar kalau ALLAH bagi anak lelaki, saya akan sembelih dua ekor kambing'.

"Dia kata nak tunaikan nazar kerana lafaz janji itu dibuat ketika isterinya hamil dan hari itu ALLAH makbulkan. Anak sulungnya lelaki.

"Dia minta izin untuk sembelih sendiri. Katanya, biar tangan ini jadi saksi kepada nazar yang pernah diucapkan.

"Selepas selesai semua, daging siap dilapah. Dia datang semula kepada saya dan berkata, 'tuan, saya nak serah semua daging ini pada pihak masjid kariah saya. Saya dah bincang, mereka akan masak dan jamu jemaah malam ni'.

"Dia tambah 'tetapi, saya teringin nak minta asingkan sebahagian peha belakang. Nak buat makan-makan kecil dengan keluarga. Tak banyak, sikit sahaja'.

"Saya faham perasaannya. Kadang-kadang kita berikan yang terbaik kepada orang, kita tetap nak rasa sedikit sebagai kenangan, sebagai simbol syukur. Tetapi, saya tak boleh diamkan," tulisnya.

Lalu beliau mengambil langkah menjelaskan kepada pelanggannya bahawa kesemua daging itu wajib disedekahkan dan haram untuk ahli keluarga mengambilnya walau sedikit.

"Abang dan keluarga tidak boleh ambil walau sedikit, tak boleh makan. Kecuali jika akikah itu sunat, bukan sebab nazar.

"Ramai orang tak tahu. Tak apa, sekarang abang dah tahu. Dan ALLAH nilai ilmu yang abang belajar hari ini.

"Selepas beberapa minit, dia angkat muka dan senyum dan kata 'kalau begitu, saya nak beli seekor kambing lagi. Yang ni saya sembelih khas untuk makan-makan dengan keluarga'.

"Bukan semua orang sanggup korban kambing yang dia tak boleh makan langsung. Bukan semua orang faham beza antara sunat dan nazar," jelasnya.

Mengulas lanjut, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus pernah menjelaskan bahawa sesiapa yang bernazar menyembelih daging atau korban maka wajib sedekahkan semua dagingnya kepada fakir miskin dan haram untuknya makan daging korbannya itu walau pun sedikit.

Daripada Syeikh Ibnu Qasim:

(ولا يأكل المضحي شيئا من الأضحية المنذورة) بل يجب عليه التصدق بجميع لحمها

Maksudnya: Dan tidak boleh makan oleh tuan korban akan suatu pun dari korban yang dinazarkan bahkan wajib atasnya sedekah semua dagingnya. (Kitab Fathu Al-Qarib)

Maka, jika telah memakannya walaupun sedikit nescaya wajib dia ganti semula dagingnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram