Mahu putuskan hubungan sebab tak serasi? Cara terbaik 'reject' si dia tanpa mengecilkan hati


  • Cinta
  • Isnin, 14 Jul 2025

Kadang-kadang, langkah paling bijak adalah undur diri sebelum hati terluka. — Gambar Hiasan/AI

DALAM proses mengenali seseorang, tidak semua hubungan akan berkembang menjadi sesuatu yang lebih serius.

Walaupun semuanya bermula dengan baik, kita akhirnya menyedari bahawa individu tersebut bukanlah pasangan yang sesuai untuk kita.

Ketika berdepan situasi itu, ramai yang keliru bagaimana mahu mengundurkan diri tanpa menyakiti hati pihak satu lagi.

BACA LAGI: Hantaran eksklusif berjiwa seni, gubahan inspirasi kisah cinta, impian pasangan raja sehari

BACA LAGI: Nurul Izzah pertahan remaja lapor gangguan seksual 'ustaz selebriti', janji bawa keadilan hingga penghujung

Berikut beberapa pandangan daripada individu pelbagai latar belakang tentang bagaimana mereka mengendalikan situasi tersebut dengan jujur, namun penuh hemah.

Luahkan secara jujur

Bagi pempengaruh Khainina Khalil, berterus terang adalah pendekatan terbaik.

Baginya, cara paling lembut ialah dengan mengakui bahawa mungkin masa itu bukan yang sesuai untuk mereka bersama.

"Saya akan cakap secara terus terang. Mungkin sekarang bukan waktu yang tepat. Kalau memang ada jodoh yang panjang, insyaALLAH suatu hari nanti kita akan bertemu semula.

"Jadi, lebih baik kita ikut haluan masing-masing dulu dan kenali diri sendiri dahulu," katanya kepada Majoriti.

Kekalkan persahabatan

Berbeza dengan Khainina, Casandra memilih untuk tidak menjelaskan secara mendalam.

Katanya, pendekatan paling selamat ialah mengekalkan hubungan sebagai kawan dan tidak memberi gambaran seolah-olah ada potensi hubungan lebih daripada itu.

"Saya akan kekal sebagai kawan sahaja. Tak perlu jelaskan panjang-panjang. Kadang-kadang, saya hanya akan mengabaikan mereka perlahan-lahan, tapi masih berkawan seperti biasa," jelasnya ringkas.

Terus terang, elak kekeliruan

Bagi usahawan Vanessa, kejujuran adalah prinsip utama dalam menjaga hati kedua-dua belah pihak.

"Saya lebih suka berterus terang. Saya akan cakap, ‘Bro, kita berkawan sahajalah. Kalau nak lebih daripada itu, saya tak boleh. Jadi nak kekal kawan, atau tak nak?’" katanya tanpa berselindung.

Pendekatan itu, katanya, lebih mudah difahami dan mengelakkan kekeliruan.

Berhemah dalam menolak

Pempengaruh Nikki Dhillon pula memilih untuk menyampaikan mesej penolakan dengan cara yang lembut dan sopan.

"Saya akan cakap, ‘Seronok kenal awak. Saya hargai masa yang kita luangkan, tapi saya rasa kita tak begitu serasi.’

"Saya lebih suka gunakan alasan bahawa ini bukan masa sesuai untuk saya berada dalam hubungan serius.

"Saya tetap akan sampaikan secara baik, supaya dia faham dan tak terasa hati sangat,” ujarnya.

Jauh perlahan-lahan tanpa konfrontasi

Bagi Jaime, dia lebih selesa mengundurkan diri secara perlahan tanpa sebarang penjelasan terus.

"Bila saya dah rasa dia bukan untuk saya, saya akan mula jarakkan diri. Saya akan kurangkan balasan mesej dan lama-kelamaan saya harap dia sendiri akan faham dan tak lagi hubungi saya," jelasnya.

Setiap orang mempunyai cara tersendiri dalam menangani situasi apabila hubungan tidak berjalan seperti diharapkan.

Sama ada dengan cara berterus terang, menjaga perasaan atau sekadar menjauh secara senyap, yang penting ialah melakukannya dengan penuh hormat dan tanpa menyakiti.

Hubungan yang tidak menjadi bukanlah satu kegagalan, sebaliknya satu proses pembelajaran untuk lebih mengenali diri dan keperluan sebenar dalam sebuah perhubungan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram