
PELAKON terkenal Hollywood, Olivia Munn mendedahkan bahawa diagnosis kanser payudara yang dihadapinya telah mengubah sepenuhnya cara beliau melihat kehidupan.
Munn yang dikenali menerusi filem X-Men: Apocalypse didiagnosis menghidap kanser payudara pada 2023 dan menjalani pembedahan mastektomi berganda dalam usaha menyelamatkan nyawanya.
Dalam satu episod podcast Armchair Expert bersama Dax Shepard baru-baru ini, Munn berkongsi secara jujur tentang pengalaman getir itu yang menyedarkan dirinya untuk melepaskan beban tambahan dalam hidup.
“Saat saya menerima diagnosis itu, semua fikiran negatif dalam kepala saya hilang serta-merta. Kerana apabila anda berdepan kanser, anda hanya ada satu tugas iaitu untuk terus hidup,” katanya.
BACA LAGI: 'Seburuk-buruk manusia adalah dedah aib pasangan', pendakwah jelas erti amanah dalam rumah tangga
Wanita berusia 44 tahun itu berkata, sepanjang tempoh rawatan, segala fokusnya tertumpu kepada proses pemulihan sahaja sehingga tiada ruang untuk sebarang tekanan atau gangguan lain.
“Apabila berdepan dengan kanser, minda anda hanya fikirkan satu perkara iaitu bagaimana untuk teruskan hidup. Seperti mendaki Gunung Everest, kita tak boleh bawa beban yang berat di bahu,” katanya.
Menurut Munn, pengalaman itu telah mengubah perspektifnya terhadap kehidupan.
Kini, dia lebih menghargai momen-momen kecil dan tidak lagi mahu terbeban dengan perkara yang tidak penting.
“Bila saya dah berjaya harungi semua itu, saya tahu saya takkan kembali kepada cara hidup lama. Saya takkan angkut semula beban yang pernah saya lepaskan,” katanya.
Dalam satu kenyataan kepada Business Insider, Munn mengakui bahawa terlalu banyak masa dihabiskan dengan kebimbangan tentang masa depan, sedangkan kesihatan yang dimiliki ketika ini jauh lebih bernilai.
“Walaupun hidup ada masalah harian, saya sentiasa bersyukur kerana saya cukup sihat untuk menikmatinya,” kata Munn.
Munn bukan satu-satunya selebriti yang berkongsi kisah perjuangan melawan kanser.
Sebelum ini, pelakon Charmed, Shannen Doherty mendedahkan bahawa beliau mula melepaskan harta miliknya selepas disahkan memiliki kanser payudara tahap empat.
Doherty meninggal dunia pada Julai 2024 pada usia 53 tahun.
Sementara itu, pelakon pemenang Oscar, Kathy Bates pula mengambil keputusan untuk tidak menjalani pembedahan rekonstruksi selepas mastektomi berganda pada 2012.
Menurut data daripada American Cancer Society, kanser payudara menyumbang sekitar 30 peratus daripada kes baharu kanser dalam kalangan wanita di Amerika Syarikat setiap tahun.
Walaupun lebih lazim menyerang wanita berusia, jumlah kes dalam kalangan wanita berumur 50 tahun ke bawah kini menunjukkan peningkatan.