
PAUL Farrell, seorang pendaki dari Ireland berusia 32 tahun berkongsi pengalamannya terselamat daripada maut selepas terjatuh ke dalam gaung di Gunung Rinjani, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, pada Oktober 2023.
Insiden tersebut hampir meragut nyawanya, serupa dengan tragedi yang menimpa Juliana Marins, seorang pendaki dari Brazil yang meninggal dunia selepas terjatuh di Gunung Rinjani pada Sabtu (21/6/2025) yang lalu.
BACA LAGI: Tragedi Juliana Marins berulang, lagi kes wanita maut terjatuh gaung di Indonesia
Kenangan Pendakian Farrell di Gunung Rinjani
Farrell memulakan pendakiannya dari tapak khemah pada waktu pagi sambil menceritakan bahawa laluan awal agak mudah dilalui.
"Tanah di sana berbeza, saya melangkah ke depan satu langkah tetapi mundur dua langkah. Disebabkan kami berada di gunung berapi, tanahnya berpasir dan kaki boleh tenggelam," kata Farrell dalam satu wawancara bersama BBC News Brasil, pada Jumaat.
Setelah tiba di puncak, dia merasa terganggu oleh kerikil-kerikil kecil di dalam kasutnya dan kemudian membuka kasut sukan dan sarung tangan untuk membersihkannya. Namun, sesuatu yang tidak dijangka berlaku.
"Oleh kerana tidak selesa, saya memutuskan untuk membuka kasut sukan bagi mengeluarkan kerikil. Saya juga menanggalkan sarung tangan supaya lebih mudah untuk membuka kasut," katanya.
Tidak lama selepas itu, hembusan angin menerbangkan sarung tangannya ke arah tebing.
"Ketika itu saya sedang melutut. Tanah tempat saya berpijak tiba-tiba runtuh begitu sahaja.
"Semakin laju saya jatuh, semakin tinggi adrenalin saya. Saya segera menyedari bahawa saya boleh mati bila-bila masa," katanya yang menceritakan dia terjatuh dari tebing sejauh kira-kira 200 meter.
Enam Jam Berjuang Bertahan di Tebing Gunung Rinjani
Dalam situasi cemas itu, Farrell cuba memperlahankan kelajuan jatuhnya dengan mencengkam apa sahaja yang boleh digenggam.
"Saya cuba mencakar batu dan tanah dengan kuku dan tangan untuk bertahan. Sehinggalah saya nampak sebuah batu besar dan cuba mengalih arah ke batu itu.
"Saya terhempas ke batu itu, tetapi mujurlah saya berjaya menghentikan daripada terjatuh," tambahnya.
Setelah berhenti pada kedalaman sekitar 200 meter, dia mendapati tubuhnya hanya mengalami luka dan calar ringan. Tetapi kedudukannya masih sangat berbahaya.
"Saya masih belum selamat. Di situ, saya boleh tergelincir bila-bila masa," kongsinya.
Farrell mendaki bersama sekumpulan pendaki lain tetapi ketika kejadian hanya seorang wanita dari Perancis berada berhampiran dengannya.
"Saya menjerit sekuat hati agar dia memanggil ahli kumpulan lain dan meminta bantuan. Dia kemudian berlari kembali ke base camp dan memaklumkan kepada orang ramai," jelasnya.
Farrell bertahan di batu itu selama lima hingga enam jam sebelum pasukan penyelamat tiba.
"Itu adalah pengalaman yang sangat menakutkan. Saya berdoa kepada Tuhan agar saya keluar dari situ hidup-hidup, walaupun dengan beberapa tulang patah.
"Sejujurnya, saya sanggup patah tangan, kaki, atau semua tulang saya untuk keluar dari situasi itu. Jika saya perlu membuat perjanjian dengan Tuhan atau Syaitan untuk keluar hidup-hidup, saya akan lakukannya," katanya lagi.
Pasukan penyelamat yang. menyelamatkannya kebetulan berada di kawasan tersebut kerana sedang melakukan memindahkan jasad mangsa lain di lokasi sama.
Penilaian Semula Keselamatan Laluan Pendakian Rinjani
Caption bung Agam: "Turut berduka cita, atas meninggalnya pendaki asal Brazil, saya tidak bisa berbuat banyak, saya hanya bisa bantu seperti ini, Semoga amal ibadahnya diterima disisiNya Amin.!"
Bung Agam Rinjani salah satu Tim SAR gabungan Rescuer yang turun mengevakuasi… pic.twitter.com/XzDlWzwCNB
— heulaaluhe (@aingriwehuy) June 25, 2025
Selepas peristiwa itu, Farrell meluahkan rasa syukur kerana masih hidup.
"Saya sangat bersyukur dan bersemangat. Saya suka adrenalin dan sukan ekstrem, tetapi kejadian ini hampir membuatkan saya serik," ujarnya.
Ketika ditanya mengenai aspek keselamatan pendakian di Rinjani, lelaki berkenaan menyampaikan beberapa cadangan.
"Pertama sekali, saya ingin mengucapkan takziah atas pemergian Juliana dan menyampaikan simpati kepada keluarganya.
"Berkaitan peningkatan keselamatan, kita harus sedar bahawa Indonesia adalah negara miskin dengan sumber yang terhad. Namun, semestinya perlu ada pelaburan yang lebih besar untuk keselamatan di sana. Mereka boleh menaikkan bayaran untuk mengunjungi lokasi itu."
"Atau pastikan setiap kumpulan pendaki mempunyai sekurang-kurangnya dua pemandu, supaya salah seorang boleh berada di belakang dan memberi bantuan kepada sesiapa yang sakit atau tertinggal, seperti yang berlaku kepada Juliana," cadangnya.
Pandangan Hidup yang Berubah
Ketika ditanya sama ada akan kembali mendaki Gunung Rinjani, Farrell menjawab dengan yakin bahawa dia masih ingin ke sana.
"Sudah tentu. Tapi saya akan lebih berhati-hati semasa mendaki Gunung Rinjani kali kedua. Mendaki gunung adalah sesuatu yang saya mahu lakukan sepanjang hayat saya, selagi saya masih mampu," kata Farrell.
Dia mengakui bahawa pengalaman hampir maut itu telah mengubah cara pandangnya terhadap kehidupan.
"Amat jarang orang terselamat daripada kemalangan sebegini, malangnya. Namun, apabila saya masih hidup selepas jatuh di Gunung Rinjani, saya mula memikirkan tentang perkara yang benar-benar penting.
"Sejak kemalangan itu, hubungan saya dengan Tuhan menjadi jauh lebih baik. Kini saya cuba menjalani hidup dengan lebih selaras dengan nilai-nilai yang benar-benar penting bagi saya," tambahnya lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram