[VIDEO] Puncak Gunung Kinabalu banjir angkara hujan lebat berterusan


  • Tular
  • Khamis, 10 Jul 2025

Tangkap layar dari video memaparkan air deras mengalir berhampiran puncak Gunung Kinabalu pada Khamis.

TULAR di media sosial sejak Khamis memaparkan hujan turun dengan lebat sehingga menyebabkan air deras mengalir di puncak Gunung Kinabalu, Sabah sehingga menyulitkan aktiviti pendakian.

Dalam beberapa video dimuat naik, kelihatan beberapa pendaki terpaksa berpaut pada tali, namun hujan berterusan dan angin kencang menyebabkan usaha tersebut menjadi sukar.

Klip berkenaan turut dikongsikan di laman Facebook Mount Kinabalu yang mengesahkan hujan lebat menyebabkan air mengalir deras sepanjang laluan pendakian sejak pagi.

BACA LAGI: [VIDEO] Pendakian awal pagi sajikan kejutan, 'hikers' kongsi jumpa 'makhluk' jarang jumpa

BACA LAGI: Pendakian terakhir, warga emas meninggal dunia ketika daki Gunung Kinabalu

"Sekiranya anda mengalami cuaca tersebut ketika sedang mendaki, kekal tenang dan ikuti panduan diberikan malim gunung. Sentiasa pentingkan keselamatan diri," tulisnya.

Sekatat ini, tiada sebarang kemalangan nyawa dilaporkan berlaku disebabkan keadaan tidak terkawal itu dengan pendaki yang terkesan memberi kerjasama penuh terhadap pihak malim gunung.

Meskipun cuaca di gunung berketinggian 4,095 meter itu tidak mudah diramal, ia masih menjadi tumpuan utama individu yang menggemari aktiviti lasak, terutamanya berkaitan pendakian.

Perkongsian di ruangan komen turut menyatakan ramai pendaki pernah mengalami situasi sedemikian, namun ia tidak menghalang mereka daripada terus menceburi aktiviti sebegitu.

"Tragedi hitam saya mengalami situasi sebegini adalah pada 2018, memang cukup mengerikan. Seorang kawan saya meninggal dunia. Apabila hujan sudah reda, dia masih tidak sampai ke Panabalan.

"Pihak penyelamat mendapatinya sudah pengsan di kawasan lebih tinggi. Bomba dan malim gunung mengusung sehingga ke Pondok Timpohon dan apabila dibawa ke hospital, mangsa disahkan meninggal dunia," kata Muhammad Haffiz.

"Pada Ogos tahun lalu, saya pernah naik pada pukul 3 pagi dan cuaca amat baik. Tetapi, cuaca berubah sekelip mata apabila ribut angin serta hujan turut kira-kira 800 meter sebelum tiba ke puncak.

"Kami diarahkan malim gunung untuk turun. Suasana sangat sejuk sehinggakan muka dan hidung saya berasa kebas. Nasib baik sampai di Pondok Sayat-Sayat sebelum banjir di gunung," kata Jonathan Mohd Yakin.

Sebelum ini, pelbagai kes dilaporkan apabila pendaki meninggal dunia di Gunung Kinabalu, termasuk seorang warga British ketika dalam perjalanan turun pada Februari lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram