Menyesal bagi nama anak panjang? Mudah saja rupanya cara nak potong jadi pendek


  • Bonda
  • Isnin, 23 Jun 2025

Seorang ibu dikenali sebagai Diana Hezruque di laman Facebook, berkongsi panduan dan prosedur pertukaran nama buat ibu bapa yang bercadang melakukan perkara tersebut. — Gambar hiasan/Freepik AI

SUDAH menjadi trend dalam kalangan ibu bapa zaman sekarang menamakan anak dengan panggilan moden dan maksud yang pelbagai usai kelahiran.

Seiring perkembangan dunia semasa, nama bayi yang lahir dalam generasi Beta juga tidak ketinggalan melalui fasa permodenan nama serba indah.

Namun, kebelakangan ini ramai ibu bapa mula sedar bahawa memberi nama terlalu panjang kadangkala menyukarkan urusan harian seperti pendaftaran sekolah, pengisian borang rasmi atau dokumen digital.

BACA LAGI: Virus musuh dalam selimut, bayi bawah usia 2 tahun risiko dijangkiti RSV

BACA LAGI: Tengku Puteri Jihan angkat warisan tekstil Malaysia ke pentas antarabangsa, Jihans Studio sertai UCA Grad Show 2025

Atas faktor itu, ibu bapa diberikan kebenaran oleh kerajaan untuk menukar atau memendekkan nama anak mereka secara rasmi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Seorang ibu dikenali sebagai Diana Hezruque di laman Facebook, berkongsi panduan dan prosedur pertukaran nama buat ibu bapa yang bercadang melakukan perkara tersebut.

Dokumen perlu disediakan:

Sebelum ke JPN, pastikan anda sediakan fotokopi dan dokumen asal berikut:

- Kad pengenalan ibu dan bapa

- Sijil lahir anak

- MyKid anak

- Sijil nikah ibu bapa

Langkah urusan di JPN:

- Ambil borang tukar nama

- Pergi ke bahagian Pendaftaran Surat Lahir dan nyatakan tujuan untuk tukar atau potong nama anak.

- Isi borang dan nyatakan alasan

- Isi dengan lengkap dan antara alasan kukuh yang biasa diterima ialah nama terlalu panjang, menyukarkan urusan rasmi, kesilapan ejaan, nama mengelirukan atau sukar disebut

Sebelum ke JPN para ibu bapa perlu menyediakan beberapa dokumen lengkap agar proses berjalan lancar.

Cop di Suruhanjaya Sumpah

Borang seterusnya perlu disahkan di Suruhanjaya Sumpah dan sekiranya ibu bapa enggan ke mahkamah, kebiasaannya ejen Suruhanjaya Sumpah menyediakan perkhidmatan tersebut dan mengenakan bayaran sekitar RM45 bergantung kepada lokasi.

Kedua-dua ibu bapa perlu hadir untuk menandatangani pengesahan, terutamanya jika nama anak ditukar atas persetujuan bersama.

Borang pengesahan kemudiannya perlu dihantar semula ke JPN dan setelah lengkap, serahkan ke bahagian surat lahir JPN.

Yuran dan syarat tambahan:

- Anak bawah setahun: RM5

- Anak atas usia dua tahun: RM50

- Hanya anak bawah 12 tahun sahaja dibenarkan untuk tukar nama secara rasmi tanpa arahan mahkamah.

Tidak dinafikan, setiap ibu bapa mahukan nama dengan maksud yang baik untuk namun, jika ia terlalu panjang atau menyulitkan urusan di masa hadapan, ibu bapa berhak membuat penyesuaian semula.

JPN membenarkan proses itu secara sah dan mudah, dengan syarat segala prosedur serta tetapan diikuti dengan betul.

"Menyesal letak nama anak panjang-panjang dulu? Tak mengapa, asalkan betulkan dari sekarang," katanya mengakhiri perkongsian.

Namun, ibu bapa disarankan untuk merujuk kepada pejabat JPN terdekat untuk maklumat rasmi atau sebarang perubahan terkini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram