
FASA bayi baharu lahir merupakan detik paling kritikal dan berisiko tinggi dijangkiti pelbagai penyakit.
Dalam kalangan penyakit yang biasa didengari seperti demam, batuk dan cirit-birit, wujud sejenis jangkitan kuman cukup sinonim dengan kanak-kanak bawah usia dua tahun.
Jangkitan Respiratory Syncytial Virus (RSV) sering dianggap sebagai virus 'musuh dalam selimut' kerana boleh menyerang tanpa diduga.
Namun, ramai ibu bapa di luar sana masih belum cakna akan penyakit tersebut.
Bayi bawah usia dua tahun berisiko tinggi dijangkiti kuman RSV. — Gambar hiasan/Freepik
Apa itu RSV?
RSV ialah virus saluran pernafasan yang boleh menjangkiti sesiapa sahaja, tetapi sangat berbahaya kepada bayi berusia bawah dua tahun terutamanya bayi pramatang atau mempunyai masalah paru-paru dan jantung sejak lahir.
Virus itu mudah merebak melalui udara, titisan cecair pernafasan dan sentuhan misalnya, individu yang demam atau batuk mungkin tanpa sedar membawa virus tersebut dan menjangkiti bayi kecil.
Seorang doktor pakar kanak-kanak @Vivian Dominique di laman Threads berkongsi beberapa simptom dan petanda awal boleh dikenal pasti.
"Nama dia pelik, tapi kesannya sangat menakutkan, kadang-kadang batuk biasa je jadi penyebab bayi masuk ICU.
"Macam mana dia datang? Melalui udara, sentuhan senang je berjangkit dari orang dewasa atau kanak-kanak lain, kadang adik batuk sikit, tak perasan dia dah bawa virus balik rumah bagi dekat bayi," katanya.
Tanda-tanda jangkitan
Gejala awal RSV sering disangka selesema biasa:
- Batuk
- Selesema
- Demam ringan
Namun, bagi golongan bayi, simptom berkenaan boleh berubah cepat dan menjadi menjadi serius termasuklah:
- Nafas laju dan semput
- Dada berombak
- Bayi tidak mahu menyusu atau makan
- Bayi kelihatan lesu atau sukar bernafas
"Dalam sesetengah kes, bayi yang dijangkiti RSV perlu dimasukkan ke hospital dan diberi bantuan oksigen.
"Ada yang memerlukan alat pernafasan seperti CPAP, BiPAP atau dalam kes teruk, tiub pernafasan dimasukkan.
“Pernah satu kes, bayi datang ke unit kecemasan dan terus kena mulakan BiPAP sebab pernafasannya sangat teruk," tambahnya.
Pencegahan awal
Tiada ubat khusus untuk menyembuhkan RSV, hanya rawatan sokongan yang diberikan untuk membantu sistem pernafasan pesakit pulih.
Namun begitu, langkah pencegahan awal boleh menyelamatkan nyawa terutamanya bagi bayi baru lahir yang berisiko tinggi.
- Basuh tangan dengan kerap
- Elakkan mencium bayi di mulut atau hidung, terutama jika tidak sihat
- Jangan bawa bayi kecil ke tempat sesak seperti pusat membeli-belah, kenduri atau kawasan tertutup
- Jauhkan perokok daripada bayi
- Suntikan khas untuk bayi pramatang 'Palivizumab' boleh membantu mencegah RSV
Bila perlu berjumpa doktor?
Ibu bapa digesa tidak berlengah mendapatkan rawatan jika bayi menunjukkan tanda seperti berikut:
- Nafas laju atau berbunyi
- Enggan menyusu
- Kelihatan letih atau lesu luar biasa
- Warna bibir atau kuku menjadi kebiruan
Bukan sekadar batuk dan selsema biasa, RSV merupakan sejenis virus berbahaya yang boleh menyebabkan komplikasi pernafasan serius dalam masa yang singkat.
Pendidikan, kesedaran dan tindakan pantas boleh menyelamatkan nyawa bayi dan seharusnya ibu bapa segera mendapatkan pandangan pakar sekiranya anak menunjukkan simptom-simptom berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram