
TRADISI tekstil serantau diberi nafas baharu apabila Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan Simposium Fabrik ASEAN 2025 yang berlangsung di Auditorium Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur bermula Rabu.
Dihadiri lebih 300 peserta dari dalam dan luar negara, simposium dua hari itu bukan sekadar menjadi medan diskusi perihal fabrik, tetapi turut bertindak sebagai platform diplomasi budaya, inovasi dan warisan.
Bertemakan Textile Sustainability: Tradition Towards Transformation, program itu mengetengahkan isu kelestarian tekstil bukan hanya sebagai hasil seni warisan, malah sebagai satu industri masa depan perlu dipelihara, ditransformasi dan disegarkan demi generasi baharu.
“Tekstil bukan sekadar benang dan corak, ia menyulam cerita bangsa dan membina jati diri,” jelas Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang ketika berucap.
BACA LAGI: Gabung nikah dan sanding hari sama lebih jimat, ketahui 7 tip realistik elak majlis jadi kelam-kabut
BACA LAGI: Sekolah kebangsaan vs sekolah swasta dan antarabangsa: Mana lebih baik untuk anak anda?
Selain mempamerkan keunikan tekstil warisan, seramai 12 pembentang dari pelbagai latar belakang termasuk artisan, pembuat dasar, akademik dan profesional tekstil turut berkongsi hasil kajian, pengalaman dan pemikiran masing-masing.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Jabatan Muzium Malaysia atas inisiatif menganjurkan program itu.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar negara-negara ASEAN memperkukuhkan kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembangunan kapasiti, penjenamaan warisan serta pencalonan budaya bersama iaitu merujuk kepada kejayaan terkini dalam usaha mengangkat kebaya ke peringkat Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Kita tidak mahu tradisi hanya dipelihara dalam bingkai. Kita mahu ia hidup, bernafas dan terus relevan,” katanya.
Sepanjang simposium itu, sebanyak 12 pembentang dari pelbagai latar belakang termasuk artisan, pembuat dasar, akademik dan profesional tekstil yang berkongsi hasil kajian, pengalaman dan pemikiran mereka.
Kesemua sesi dikendalikan oleh moderator berpengalaman sehingga menjadikan perbincangan lebih dinamik dan inklusif.
Menariknya, pelbagai jualan berkait pakaian tradisional, makanan dan buku sejarah turut diadakan pada hari tersebut yang memeriahkan suasana di luar dewan simposium.
Antara mencuri perhatian ialah reruai Silent Teddy Bakery, yang diusahakan oleh komuniti orang kelainan upaya (OKU).
Menurut pengasasnya, Cindy, semua biskut yang dijual pada hari itu adalah hasil buatan tangan oleh dua pekerja pekak dan bisu.
Inisiatif itu bukan sahaja memperlihatkan keupayaan komuniti berkeperluan khas, malah memperkasa mereka melalui platform yang penuh makna seperti simposium sedemikian.
Simposium Fabrik ASEAN 2025 merupakan sebahagian daripada tonggak sosiobudaya di bawah Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini.
Penganjurannya oleh Muzium Tekstil Negara mencerminkan peranan aktif muzium dalam mendekatkan warisan dengan masyarakat masa kini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram