Cadar nampak bersih tapi sebenarnya penuh mikroorganisma, ini kekerapan sebenar anda perlu basuh tempat tidur


  • Sihat
  • Jumaat, 11 Jul 2025

Cadar dan sarung bantal perlu dibersihkan seminggu sekali atau setiap tiga hingga empat hari jika berpeluh banyak. — Gambar hiasan

DI sebalik cadar yang tampak bersih dan tersusun kemas, tersembunyi ribuan mikroorganisma, hama halus dan kulat yang boleh menjejaskan kesihatan manusia jika tidak ditangani secara berkala.

Ahli mikrobiologi memberi amaran bahawa cadar dan kelengkapan tidur sebenarnya perlu dibersihkan jauh lebih kerap daripada yang diamalkan oleh kebanyakan orang.

Menurut kajian YouGov pada 2022, hanya 28 peratus rakyat Britain membasuh cadar mereka seminggu sekali, manakala selebihnya mengaku melakukannya antara dua minggu hingga lebih dua bulan sekali.

BACA LAGI: Hati-hati mesin basuh tidak fungsi dengan baik berisiko sebar bakteria, alami jangkitan kulit, radang paru-paru — Kajian

BACA LAGI: Mahu ubah nadi rumah anda? 5 reka bentuk dapur memenuhi selera setiap cita rasa

Setiap malam badan menghasilkan peluh, minyak dan sel kulit mati yang menjadi 'jamuan' kepada mikrob. — Gambar hiasan

“Kita menghabiskan sepertiga daripada hidup di atas katil. Setiap malam, badan menghasilkan peluh, minyak dan sel kulit mati yang menjadi 'jamuan' kepada mikrob serta hama," katanya.

Kulit manusia dihuni oleh berjuta-juta bakteria dan kulat, yang mudah berpindah ke cadar, bantal dan selimut ketika tidur. 

Malah, peluh yang kelihatan tidak berbau akan diuraikan oleh bakteria seperti staphylococci, seterusnya menghasilkan bau badan ketika bangun pagi.

Bukan itu sahaja, rambut dan badan juga membawa habuk, debunga dan pencemar dari luar, yang semuanya berpindah ke tempat tidur, mencetuskan risiko alahan, gangguan pernafasan serta kualiti udara yang rendah di bilik tidur.

Tetamu senyap 

Hama habuk, makhluk mikroskopik yang gemar tinggal dalam tilam dan cadar lembap, memakan sel kulit mati yang terbuang. 

Walaupun tidak berbahaya, najis hama adalah pencetus utama alergi, termasuk asma dan ekzema.

Turut menakutkan, kulat seperti Aspergillus fumigatus telah ditemui dalam bantal terpakai dan berisiko menyebabkan jangkitan paru-paru serius, terutama bagi mereka yang mempunyai sistem imun lemah.

Jika anda membenarkan haiwan peliharaan tidur bersama, risiko berganda kerana mereka membawa bulu, sel kulit mati dan bahkan najis ke atas tempat tidur.

Garis panduan mencuci tempat tidur 

Berikut ialah saranan kekerapan mencuci berdasarkan nasihat pakar:

1. Cadar dan sarung bantal

Kekerapan: Seminggu sekali atau setiap tiga hingga empat hari jika berpeluh banyak, baru pulih daripada sakit atau tidur dengan haiwan peliharaan.

Suhu: Basuh pada 60 darjah Celsius (C) ke atas untuk membunuh bakteria dan hama.

Petua: Untuk sanitasi tambahan, keringkan dalam mesin atau gosok dengan seterika. Bekukan bantal selama lapan jam bagi membunuh hama.

Kebersihan tempat tidur adalah kunci pada kesihatan tubuh dan minda. — Gambar hiasan  

2. Tilam

Kekerapan: Membersih dengan vakum seminggu sekali dan dedahkan pada udara setiap beberapa hari.

Tip: Gunakan pelindung kalis alergen (bahan-bahan yang boleh menyebabkan alahan seperti debunga, hama habuk, bulu haiwan dan asap rokok) serta ganti tilam setiap tujuh tahun.

3. Isi dalam bantal

Kekerapan: Setiap empat hingga enam bulan (bergantung pada label).

Bahaya: Bahagian dalam mudah menakung bakteria dan kulat.

Cara: Pastikan kering sepenuhnya selepas dicuci.

4. Selimut dan sarung duvet

Kekerapan: Setiap dua minggu atau lebih kerap jika haiwan turut tidur di atasnya.

Suhu: Basuh pada 60C atau setinggi mana yang dibenarkan oleh label.

Nota: Anggapnya seperti tuala, cucian panas dan kerap sangat digalakkan.

5. Duvet (dalam)

Kekerapan: Setiap tiga hingga empat bulan.

Sebab: Minyak badan dan hama tetap menembusi lapisan luar.

Cara: Semak label, sesetengah boleh dicuci mesin, manakala yang lain perlukan cucian profesional.

Tidur lebih nyenyak

Kebersihan tempat tidur bukan semata-mata soal keselesaan atau bau harum, tetapi kunci pada kesihatan tubuh dan minda. 

Ia membantu mengurangkan reaksi alergi, mencegah jangkitan dan menyokong kualiti tidur lebih baik.

Kajian juga membuktikan bahawa tidur yang bersih dan berkualiti memberi kesan besar kepada kesihatan jantung, imuniti serta mental.

“Jadi buka cadar anda, basuh, keringkan dan kalau perlu bekukan bantal itu. Tubuh dan sinus anda pasti berterima kasih,” ujar pakar mikrobiologi itu lagi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram