
KITA sering menganggap mesin basuh penyelamat harian bantu mencuci pakaian kotor, menghapuskan bau dan menyegarkan fabrik dengan hanya menekan satu butang.
Namun, tanpa disedari sebuah mesin basuh yang tidak berfungsi dengan baik mungkin menyimpan ancaman tersembunyi jauh lebih membimbangkan daripada hanya pakaian tidak bersih.
Ia mungkin menyebarkan bakteria berbahaya kebal dengan tindak balas antibiotik.
Kerosakan atau ketidakcekapan mesin basuh tidak hanya menjejaskan keberkesanan cucian, malah mesin pencuci itu dikaitkan berisiko penyebaran bakteria sukar dibunuh.
Bakteria yang dimaksudkan ialah staphylococcus aureus dan klebsiella pneumoniae.
Kedua-dua bakteria itu memberi kesan terhadap jangkitan kulit, masalah pernafasan dan radang paru-paru.
Kajian yang dijalankan oleh pasukan penyelidik dari Universiti De Montfort di United Kingdom, oleh Profesor Mikrobiologi, Dr Katie Laird, mendedahkan mesin basuh gagal menyahtoksik fabrik sepenuhnya.
Katie menguji lima model mesin basuh rumah dengan mensimulasikan cucian pakaian petugas kesihatan yang telah tercemar.
Keputusan kajian itu menunjukkan bahawa tiga daripada lima mesin tersebut tidak mampu membasmi bakteria walaupun dengan air panas dalam mod cucian pantas.
Manakala dua lagi gagal membersihkan fabrik secara menyeluruh meskipun menggunakan kitaran biasa.
Keputusan itu menunjukkan bahawa rutin cucian harian kita yang kelihatan selamat, sebenarnya boleh bawa risiko tersembunyi terutamanya jika bakteria tinggal dalam pakaian sudah membina daya tahan terhadap bahan pencuci atau antibiotik.
Lebih membimbangkan, kajian itu turut menemui bahawa bakteria kini mampu membina ketahanan terhadap bahan pencuci harian.
Perkara itu merupakan satu situasi yang secara langsung mengurangkan keberkesanan antibiotik.
Hal itu bermaksud apabila jangkitan berlaku, rawatan biasa mungkin tidak lagi berkesan, sekali gus memaksa pesakit menempuh rawatan lebih kompleks dan mahal.
Dalam konteks rumah tangga, isu itu memberi implikasi besar, khususnya kepada keluarga yang mempunyai anak kecil.
Kanak-kanak, terutama bayi dan mereka yang masih peringkat awal perkembangan sistem imun adalah antara paling mudah terdedah kepada jangkitan.
Pakaian yang nampak bersih mungkin masih menyimpan bakteria berbahaya dan boleh menimbulkan pelbagai risiko kesihatan serius.
Ibu bapa pastinya mahukan perlindungan terbaik untuk anak-anak mereka itu termasuklah memastikan pakaian dicuci dengan bersih dan benar-benar bebas bakteria.
Masalah rintangan antimikrob, atau antimicrobial resistance (AMR), bukan lagi satu isu yang hanya dibincangkan di hospital atau makmal.
Rintangan itu berlaku apabila bakteria, virus atau kulat menjadi kebal terhadap ubat-ubatan sedia ada akibat pendedahan berulang tanpa penghapusan menyeluruh.
Ia bukan sahaja mengancam kesihatan individu, tetapi seluruh komuniti apabila rawatan asas tidak lagi mencukupi untuk melawan jangkitan biasa.
Kajian menemui bakteria kini mampu membina ketahanan terhadap bahan pencuci harian. — Gambar hiasan
Kajian oleh Universiti Oxford yang diterbitkan dalam The Lancet melaporkan lebih 1.2 juta kematian setiap tahun berpunca daripada kegagalan antibiotik untuk merawat jangkitan.
Langkah-langkah kecil di rumah sebenarnya mampu memainkan peranan penting dalam pencegahan dengan amalan mencuci pakaian menggunakan air bersuhu tinggi dan memastikan detergen berkualiti digunakan.
Dalam dunia hari ini, kebersihan bukan sekadar soal rupa luaran pakaian, ia adalah soal keselamatan dan kesihatan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram