
SAKIT setiap kali datang haid bukan sesuatu yang harus dianggap normal, sebaliknya mungkin menjadi petanda kepada isu kesihatan wanita lebih serius seperti Sindrom Ovari Polisistik (PCOS).
Lebih parah, masalah itu boleh menjurus ke arah isu ketumbuhan yang kronik seperti fibroid dan cyst.
Menurut Pakar Penjagaan Kesihatan Ibu dan Wanita Dr. Alia Zafira Zaferi, wanita seawal usia 21 tahun berisiko tinggi mengalami masalah PCOS dan lebih merisaukan, kebanyakannya enggan menjalani pemeriksaan kesihatan.
BACA LAGI: Isteri ambil perhatian! Suami kerap sakit belakang antara tanda-tanda kanser prostat — Pakar
BACA LAGI: [VIDEO] Usia bukan penghalang, ibu tamat kursus latihan polis bantuan jadi inspirasi seisi keluarga
"Setiap hari saya jumpa lebih daripada 10 pesakit yang saya diagnos dengan PCOS, ia bukan masalah yang ringan walaupun sangat biasa berlaku, tapi tak boleh ambil mudah.
"Ramai wanita anggap sakit ketika haid itu normal sebab ia berlaku setiap bulan tapi sebenarnya, jika sakit sampai perlu makan ubat kuat seperti ponstan, tak boleh buat kerja atau kena jumpa doktor setiap kali datang bulan itu sebenarnya tak normal," katanya.
Dr. Alia menasihatkan agar wanita yang mengalami simptom PCOS segera menjalani rawatan pakar.
PCOS: Penyakit wanita moden
PCOS disifatkan sebagai penyakit 'wanita moden' oleh Dr. Alia kerana kekerapan dan corak rawatan yang dilihat semakin meningkat dalam kalangan wanita zaman kini, termasuk kumpulan pelajar, wanita bekerja serta suri rumah.
"Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja kadang-kadang secara rawak, tapi kalau dikesan awal, rawatannya lebih mudah," tambahnya.
Pada masa sama, pemilik kepada Femma Clinic di Mont Kiara, Kuala Lumpur itu menasihatkan wanita yang mengalami simptom berkenaan segera mendapatkan pemeriksaan termasuk imbasan scan untuk melihat keadaan dalaman rahim.
Langkah itu penting kerana selain PCOS, pesakit juga mungkin menghadapi risiko menghidap fibroid, cyst besar atau ketumbuhan lain yang memerlukan rawatan segera.
"Kalau dikesan masa saiznya masih kecil, rawatan lebih mudah dan tidak terlalu invasif," katanya.
Kesan PCOS
Tidak hanya tertumpu kepada masalah kesuburan, PCOS juga boleh mendatangkan kesan komplikasi terhadap organ dalaman dan perubahan fizikal mendadak.
"PCOS ni sebenarnya boleh memberi kesan pada banyak sistem, paling utama ialah penambahan berat badan. Apabila seseorang itu ada PCOS, dia akan rasa susah sangat nak turun berat badan.
"Keduanya ia kitaran haid tak teratur, kalau pesakit cuba untuk hamil itu agak sukar sebenarnya sampai satu tahap ada yang sudah putus asa untuk mengandung, tak tahu nak buat apa dah.
"Itulah menyebabkan PCOS macam penyakit yang orang rasa macam tak apa, biar je hinggakan tahap yang paling teruknya adalah tak boleh mengandung," jelasnya.
Kesedaran masih rendah
Walaupun PCOS kini semakin banyak didiagnosis, tahap kesedaran masyarakat terutama wanita muda masih rendah dan ramai hanya mendapatkan rawatan selepas gejala menjadi teruk atau mengganggu kesuburan.
Masalah haid bukan lagi isu peribadi yang perlu disembunyikan, kesakitan yang melampau, haid tidak menentu dan perubahan hormon yang ketara harus dijadikan isyarat untuk tindakan segera diambil.
“Kesihatan wanita adalah pelaburan jangka panjang, jangan tunggu sakit teruk baru mahu bertindak dengar apa badan cuba beritahu," ujar Dr. Alia mengakhiri temu bual. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram