Ubah cara bertutur di rumah! 7 kaedah komunikasi ini rupanya risiko jejas perkembangan bahasa anak


  • Bonda
  • Khamis, 10 Jul 2025

Kaedah komunikasi ibu bapa di rumah boleh membentuk perkembangan bahasa si kecil. — Gambar hiasan/Freepik

ISU lewat bertutur antara masalah kerap dihadapi golongan kanak-kanak yang mengundang kebimbangan dalam kalangan sebahagian besar ibu bapa.

Ada berpendapat hal tersebut tercetus akibat kecuaian ibu bapa yang culas dalam mendidik anak dan pendedahan terlampau banyak terhadap skrin televisyen yang merosakkan pemikiran si kecil.

Namun, tahukah anda bahawa cara komunikasi ibu bapa juga memberi kesan langsung kepada perkembangan bahasa anak-anak?

BACA LAGI: ‘Kenalkan anak baru saya, Putri Qisya’, Nurul Hidayah Zahid lawat anak mangsa tragedi Sungai Korok

BACA LAGI: [VIDEO] Dilarang jumpa sejak usia 7 bulan, lelaki ubati kerinduan peluk ibu kandung selepas 23 tahun terpisah

Seorang Pakar Terapi Bahasa, Iffah Rashida menerusi di Threads berkongsi tujuh kaedah dan cara komunikasi yang boleh memberi kesan terhadap perkembangan bahasa anak.

Menurut Iffah kaedah komunikasi ibu bapa di rumah boleh membentuk perkembangan bahasa si kecil. 

1. The tester 

Ibu bapa jenis ini gemar bertanya soalan seperti: "Ini apa? Warna apa ni? Huruf apa ni? Dia buat apa?

Pertanyaan-pertanyaan menjadikan interaksi dengan anak terasa seperti ujian peperiksaan akan mengundang tekanan.

Ia secara tidak langsung memeri kesan terhadap pendirian anak yang mungkin bertukar pasif dan merasa kurang selesa jika terlalu kerap disoal setiap masa.

2. The Director 

Gaya ini melibatkan arahan berterusan secara konsisten contohnya:

“Letak sini”, ambil tu”, “masukkan”, “simpan”

Gaya ini menyebabkan interaksi jadi satu hala dari ibu bapa kepada anak tanpa memberikan mereka ruang untuk membalas atau bercakap. 

Kelakuan ini secara tidak langsung boleh menghalang perkembangan komunikasi dua hala yang berkesan.

3. The Entertainer 

Ibu bapa dengan kaedah ini sering menggunakan nada suara tinggi dan penuh semangat. 

Namun, mereka juga cenderung mendominasi sesebuah topik perbualan dan boleh menyebabkan anak tidak berpeluang bercakap atau mencelah. 

Ia sekali gus menjadikan interaksi tidak seimbang antara kedua belah pihak.

4. The Watcher 

Kaedah ini melibatkan ibu bapa yang gemar memerhati anak bermain dari jauh tanpa sebarang bentuk komunikasi.

Kurang penglibatan dalam aktiviti seharian anak, daya tumpuan serta rangsangan anak akan terbatas sekiranya ia berterusan dilakukan.

5. The Mover 

Gemar mendesak si kecil untuk sentiasa tangkas dan tertib dalam segala hal contohnya: “Cepat, kita nak keluar”, “simpan cepat”, “nanti je buat”.

Gaya ini kurang memberi ruang kepada anak untuk memproses atau mengungkapkan kata-kata mereka sendiri selain turut menidakkan kebolehan mereka dalam membuat keputusan.

Malah, peluang interaksi berkualiti antara ibu bapa dan anak juga akan semakin berkurang dengan si kecil lebih gemar menyendiri daripada meluangkan masa bersama.

Komunikasi anak boleh dilakukan dalam pelbagai kaedah menarik seperti menyanyi ataupun nada suara berbeza-beza. — Gambar hiasan/Freepik

6. The Helper 

Ibu bapa jenis ini terlalu memanjakan si kecil dan sentiasa memenuhi keperluan anak dalam segenap hal.

Enggan melihat anak berdepan kesusahan ataupun cabara hidup, kebolehan mereka akan terbatas dengan peluang untuk meneroka perkara baharu sentiasa dibantu oleh ibu bapa. 

Akibatnya, anak tidak terdorong untuk bercakap kerana segala keperluan mereka sudah tersedia tanpa perlu sebarang komunikasi.

7. The Intuned One 

Ini adalah gaya komunikasi yang paling bagus untuk dipraktikkan ibu bapa dalam komunikasi harian bersama anak-anak.

Ibu bapa jenis ini melihat, mendengar dan menunggu respons anak dengan memberikan mereka giliran serta masa secukupnya untuk bertindak balas terhadap sesuatu perkara.

Kaedah ini menggalakkan pertukaran komunikasi yang sihat dan memberi anak peluang untuk membina keyakinan dalam berkomunikasi.

Justeru, dengan bimbingan yang betul, ibu bapa seharusnya menyesuaikan pendekatan yang terbaik demi menyokong perkembangan bahasa anak. 

Tidak terbatas hanya pada menyediakan keperluan asas, peranan ibu bapa dalam perkembangan anak juga penting dalam menjadi model komunikasi yang terbaik buat mereka.

Perubahan kecil mampu membawa impak besar terhadap masa depan anak dan segala-galanya bermula dari bentuk serta kaedah digunakan ibu bapa di rumah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram