Buat para ibu kekal cergas, Nicol tubuh NDO platform khas gabung aktiviti sukan, kemahiran hidup


  • Bonda
  • Rabu, 09 Jul 2025

Nicol (kanan) pada majlis pelancaran kempen Pavilion Loves Sustainability di Kuala Lumpur.

MASYHUR di pentas sukan dunia, bekas ratu squasy negara Datuk Nicol Ann David kini melaksanakan visinya tersendiri dalam memperkasakan aktiviti sukan dalam kalangan masyarakat terutamanya yang bergelar ibu.

Biarpun sudah lebih enam tahun menggantung raket dan bersara dari mewakili negara, peranannya masih ditagih ramai pihak khususnya dalam sektor sukan dan kesihatan.

Kini, anak jati Pulau Pinang itu masih bergiat aktif dalam bidang tersebut menerusi persatuan dan organisasi ditubuhkan iaitu Nicol David Organisation (NDO).

BACA LAGI:'Setiap jahitan, rekaan Davika inspirasi imej wanita hebat', Alia Bastamam teruja reka busana buat ratu skuasy negara

BACA LAGI: [VIDEO] 'Arwah mak pesan jangan susahkan orang', Mak Jah setia jual nasi berlauk RM3, tak risau untung rugi

NDO merupakan organisasi ditubuhkan bagi menggalakkan aktiviti dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat khususnya yang bergelar ibu.

Mula ditubuhkan sejak 2022, NDO merupakan sebuah platform khas yang menggabungkan aktiviti sukan (squasy) dan pendidikan serta bengkel kemahiran hidup buat golongan B40 dan M40.

Turut mengutamakan wanita bergelar ibu di luar sana, Nicol menyediakan pelbagai fasiliti dan bantuan bagi menggalakkan golongan itu bersukan serta menggamalkan gaya hidup sihat.

"Selepas saya bersara, saya ada satu visi iaitu menggunakan sukan sebagai platform untuk memperkasakan komuniti dan juga kanak-kanak serta ibu-ibu di organisasi saya.

"Jadi dalam program 'Ibu Legends', NDO menyediakan bengkel kesihatan mental, kelas keibubapaan dan pemeriksaan kesihatan percuma untuk memberi mereka peluang menjaga kesejahteraan diri.

"Selain itu, mereka dapat juga diberikan ilmu serta panduan tentang simpanan kewangan, jadi tujuan utama NDO adalah untuk memperkasakan komuniti melalui sukan, pendidikan dan juga kesihatan mental," katanya kepada Majoriti pada majlis pelancaran kempen Pavilion Loves Sustainability di Kuala Lumpur pada Selasa.

Selain bidang sukan, Nicol juga kerap diundang pada majlis serta acara berprestij antarabangsa sebagai penghargaan buat legenda squasy dunia itu.

Tidak hanya membawa gelaran tersebut, Nicol juga mengambil kesempatan itu untuk menjulang nama Malaysia di pentas fesyen secara global.

Kerap hadir di acara karpet merah yang memerlukan dirinya 'berhias' dan menggayakan busana indah, bekas juara dunia lapan kali itu kerap menghiasi muka depan majalah fesyen selain turut menerima tajaan dari pereka tersohor negara.

"Sekembalinya saya ke Malaysia, inilah peluang saya untuk lebih mengenali pereka tempatan.

"Jadi apabila sudah bertapak di sini, saya mengambil peluang untuk memperkenalkan pereka Malaysia ke pentas dunia dan ini membuatkan saya rasa sangat bangga," tambahnya.

Terdahulu, Nicol tampil memukau dalam busana eksklusif rekaan pereka fesyen terkenal tanah air, Alia Bastamam di pentas Laureus World Sports Awards 2025 yang berlangsung di Madrid, Sepanyol sekitar April lalu.

Merupakan rekaan khas daripada koleksi Davika yang diperkenalkan sewaktu musim Resort 2025, busana itu dihasilkan dari fabrik satin mikro yang menampilkan top korset bertali bahu dengan rekaan ikatan simpulan bahagian belakang.

Memetik kenyataan Alia, "Datuk Nicol membuktikan bahawa tiada yang mustahil dan saya mahu setiap rekaan saya membawa mesej tentang kekuatan seorang wanita." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram