[VIDEO] Usia bukan penghalang, ibu tamat kursus latihan polis bantuan jadi inspirasi seisi keluarga


  • Bonda
  • Khamis, 10 Jul 2025

Seorang ibu berusia 43 tahun disambut anaknya usai menamatkan latihan kursus KAPB baru-baru ini.

Kisah inspirasi seorang ibu berusia 43 tahun yang berjaya menamatkan Kursus Asas Polis Bantuan (KAPB) ini membuktikan bahawa semangat dan ketabahan mampu mengatasi segala cabaran.

Bukan sahaja mencabar stereotaip masyarakat, malah wanita hebat itu membuktikan bahawa seorang ibu mampu mencapai impian kerjaya baharu walaupun di usia yang dianggap lewat oleh sesetengah pihak.

BACA LAGI: Ubah cara bertutur di rumah! 7 kaedah komunikasi ini rupanya risiko jejas perkembangan bahasa anak

BACA LAGI: 'Terasa paling buruk antara semua dewi', Ramona Zamzam imbau masalah kulit ketika mula ceburi dunia hiburan

Berbangga atas kejayaan dikecapi, anaknya, @syahfieqah_ berkongsi momen manis tersebut menerusi hantaran di laman Instagram yang nyata mencuri perhatian ramai.

Menitip rasa syukur dan penghargaan atas pengorbanan ibunya, tempoh dua bulan menjalani latihan disifatkan bukanlah satu perkara mudah kerana diuji dengan latihan fizikal serta mental yang sangat mencabar.

"Bertahun-tahun ibu hadap susah, bangun awal, kerja siang malam, utamakan keluarga lebih daripada diri sendiri, kadang orang tak nampak pun semua pengorbanan tu tapi kami tahu dan kami nampak.

"Dan bila ibu cakap nak pergi kursus KAPB, kami tahu itu bukan perkara kecil, dua bulan jauh dari keluarga dan lalui latihan fizikal dan mental yang bukan calang-calang.

"Untuk wanita seusia ibu, itu satu pengorbanan besar tapi ibu tak pernah mengeluh, hari ni ibu balik dengan wajah penat tapi penuh bangga bukti bahawa walau usia meningkat, impian tetap boleh dicapai asalkan ada usaha," katanya.

 

 

Menjadikannya sebagai inspirasi hidup, @syahfieqah_ menitip doa agar perjalanan kerjaya ibunya dipermudahkan selain turut bersyukur atas kejayaan dikecapi.

"Alhamdulillah Ya ALLAH, kau permudahkan jalan ibu, biar susah macam mana pun, akhirnya semua terbalas dengan rasa syukur yang tak terhingga.

"Ibu, you’re our inspiration, ibu lah bukti hidup ini bukan tentang siapa paling cepat berjaya, tapi siapa yang paling kuat untuk teruskan perjalanan," tambahnya.

Kursus asas polis bantuan

KAPB merupakan kursus intensif yang direka khusus untuk melatih individu menjadi anggota keselamatan profesional di bawah pengawasan dan pengiktirafan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kursus tersebut biasanya mengambil masa dua hingga tiga bulan, dijalankan di Pusat Latihan Polis Bantuan atau PULAPOL terpilih dan melibatkan pelbagai modul penting seperti latihan fizikal dan kawad kaki.

Usai menamatkan kursus tersebut, pelatih akan bertugas sebagai anggota Polis Bantuan, menjaga keselamatan premis, aset dan kakitangan organisasi.

Meskipun bukan anggota tetap PDRM, polis bantuan diberi kuasa tertentu di bawah Seksyen 47 Akta Polis 1967, termasuk kuasa membuat tangkapan di dalam kawasan yang ditetapkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram