Permainan kad 'Happy Diners' galak tabiat pemakanan sihat untuk kanak-anak


  • Sihat
  • Khamis, 31 Okt 2024

Permainan kad Happy Diners merupakan langkah baharu dalam memberi pendidikan secara santai tentang pengambilan makanan sihat dalam kalangan kanak-kanak. — The Star

SATU permainan kad baharu ciptaan syarikat tempatan, The Nurts mengubah gaya pembelajaran tentang pemakanan sihat kepada pengalaman interaktif yang menyeronokkan untuk kanak-kanak.

Dicipta dengan mengambil kira pengguna muda, ia merupakan gabungan permainan dan pendidikan serta dapat membantu kanak-kanak memahami asas pemakanan dengan seronok.

Kad yang direka dengan berwarna-warni dan mempunyai peraturan mudah membolehkan pemainnya mengetahui tentang keperluan makanan seimbang.

BACA LAGI: Dakwaan rakyat Malaysia jadi tentera upahan Ukraine, polis tunggu butiran terperinci Kedutaan Rusia

BACA LAGI: Sempat beritahu nak tenangkan diri di Pulau Pinang, gadis 18 tahun asal Tampin tak pulang rumah lebih seminggu lepas keluar bekerja

2981666

Permainan kad yang dicipta dengan elemen interkatif untuk menarik minat kanak-kanak. — The Star

Permainan diberi nama Happy Diners itu secara tidak langsung menggalakkan mereka lebih bersemangat membuat satu hidangan seimbang dan berkhasiat setiap pusingan.

Cabaran menyeronokkan itu bukan sahaja memupuk semangat persaingan sihat, malah ia juga mengukuhkan kemahiran penting dalam hidup.

Pengasas The Nurts, Rachel Tan berkata, ia dilaksanakan apabila melihat jurang ketara dalam pendidikan pemakanan yang berkesan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 29.7 peratus kanak-kanak berumur sifar hingga empat tahun pernah atau sedang mengalami masalah bantut disebabakan pemakanan tidak sihat pada November 2023.

"Semua ibu bapa, tidak kira apa pun, mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka.

"Jadi, mencipta permainan kad ini adalah cara saya menyediakan anak-anak saya, serta membantu ibu bapa lain dalam komuniti," katanya yang merupakan ibu kepada tiga orang anak.

Kepentingan makanan seimbang

Rachel turut menekankan bahawa ramai kanak-kanak tidak menyedari kepentingan makanan seimbang dan bagaimana untuk memilih makanan yang tidak boleh menjejaskan kesihatan jangka panjang mereka.

"Kami berbangga bahawa Happy Diners boleh menjadi alat interaktif yang dijadikan sebagai kaedah pembelajaran tentang makanan seimbang, boleh diakses dan menyeronokkan untuk semua peringkat umur.

"Ia bukan sekadar permainan, ia juga satu langkah ke arah komuniti yang lebih sihat," jelasnya.

Permainan yang direka oleh suaminya Adrian Tan itu juga dihasilkan dengan fokus pada keseimbangan, menyedari bahawa kebanyakan orang sudah mempunyai pemahaman asas tentang makanan yang sihat atau tidak.

Menurutnya, dengan memasukkan maklumat pemakanan yang disokong penyelidikan ke dalam permainan, ia pasti menjadi pengalaman tidak dapat dilupakan oleh para penggunanya.

2981667

Permainan kad yang boleh dimainkan oleh dua hingga lapan ahli. — The Star

Happy Diners boleh dimainkan oleh dua hingga lapan ahli yang dapat menggunakan pelbagai jenis kad sayur-sayuran, kabohidrat dan protein.

Dalam permainan itu, pemain mesti mengimbangi komponen itu dengan teliti sambil mengambil kira cara penyediaan makanan yang berbeza.

Permainan itu juga menawarkan dua tahap cabaran iaitu peraturan mudah untuk pemain yang lebih muda dan peraturan standard yang lebih mencabar, sesuai untuk orang dewasa.

"Kukus atau goreng? Dibakar atau direbus? Sungguh mengagumkan betapa banyak perubahan kandungan nutrien dengan kaedah memasak yang berbeza dan memahami perkara ini adalah penting," kata Adrian.

Permainan itu juga termasuk 76 kad buah-buahan dan sayur-sayuran, 38 kad protein, 38 kad karbohidrat, 18 kad tindakan khas, 10 kad profil restoran dan 10 kad syarat pemakanan yang merangkumi pelbagai tabiat pemakanan moden.

Pakar pemakanan Jessica Ong berkata, permainan itu adalah satu langkah ke hadapan yang hebat dalam membantu kanak-kanak meluaskan pemahaman mereka tentang kumpulan makanan berbeza dan kesan makanan seimbang.

Kedudukan bintang pada setiap kad makanan (kosong hingga tiga bintang) mempunyai peranan psikologi yang penting kerana kanak-kanak kemudian dapat mengaitkan makanan dalam kehidupan sebenar dengan apa yang mereka pelajari daripada permainan itu.

Katanya lagi, permainan kad yang tersedia dalam talian dan kedai BookXcess terpilih juga berfungsi sebagai pengenalan kepada kanak-kanak untuk mempelajari pelbagai keadaan pemakanan seperti intoleransi laktosa dan alahan makanan.

Ditubuhkan pada 2023, The Nurts juga mempunyai permainan kad berjudul Nasi Lemak The Game dan Nasi Lemak Rendang Expansion.The Star/M.IRSYAD

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram