
BELIAU bukan doktor, ataupun pakar neurologi, tetapi kehidupannya begitu sinonim dengan urat saraf.
Dibesarkan dalam keluarga yang menjadikan dunia rawatan sebagai nadi kehidupan, Kamilah Mohd Azmal, 38, menyifatkan minatnya dalam dunia penyembuhan sebagai fitrah diwariskan daripada bapa tercinta.
Mesra disapa Master Kay, wanita itu memulakan profesionnya pada usia 19 tahun di bawah bimbingan bapa yang juga perintis rawatan alternatif.
BACA LAGI: Dari temu bual ke rakan kongsi spa, Tyra dan Raja Amanda mampu raih lebih RM100,000 sebulan
Bersama keluarga, Kamilah mengumpul pengalaman menjalankan rawatan di beberapa lokasi termasuk di Johor, Terengganu dan Pulau Pinang.
Setelah hampir dua dekad berkhidmat, Kamilia memutuskan untuk keluar daripada bayang-bayang bapanya dan membina perniagaan di bawah nama sendiri.
“Saya satu-satunya anak yang keluar dari bisnes ayah dan buka pusat rawatan sendiri.
"Saya minta izin daripada ayah dan Alhamdulillah beliau benarkan,” katanya kepada Majoriti.
Bagi Kamilah, perasaan puas itu datang apabila melihat pesakit kembali sihat.
Sehinggalah pada hujung 2018, Kamilah menubuhkan pusat rawatan alternatif Zero Pain Wellness yang beroperasi di Klang, Selangor.
Namun, membina empayar sendiri adalah cerita berbeza. Cabaran baginya, datang bertali arus.
“Kalau tak kuat, memang boleh jatuh. Saya sendiri dah langgar dinding berkali-kali.
"Nemun setiap kali jatuh, saya belajar dan bangun semula,” ujarnya yang turut dibantu suami, Aliuddin Faidhi Mustafa, 38, dalam mengendalikan bisnes.
Pernah juga beliau cuba keluar daripada dunia rawatan dengan mencuba perniagaan dalam bidang lain termasuk mengeluarkan produk kesihatan.
Majoriti kes dirawat sejak kebelakangan ini berkaitan masalah mental dan emosi.
Hatinya bagaimanapun tetap kembali kepada dunia penyembuhan.
“Jiwa saya tetap nak merawat orang. Perasaan puas itu datang apabila melihat pesakit kita sihat.
"Sebab kebiasaannya jika mereka datang berseorangan, pasti lepas itu mereka akan kembali semula bawa adik-beradik, suami, isteri bahkan sampai keluarga besar pun ikut. Ia nikmat paling besar sebenarnya,” cerita beliau.
Kegelisahan
Bercerita lanjut, ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, pusat rawatan miliknya kini menerima anggaran antara 150 hingga 200 pelanggan sebulan.
Jumlah itu ujar beliau, boleh meningkat sekiranya kandungan di media sosial seperti TikTok berjaya meraih perhatian.
Lebih mengejutkan, majoriti kes yang dirawat sejak kebelakangan ini berkaitan dengan masalah mental dan emosi, khususnya kegelisahan (anxiety) dan penyakit refluks gastroesofagus atau GERD.
Kamilah turut dibantu suami, Aliuddin Faidhi dalam mengendalikan bisnes.
“Selepas pandemik Covid-19, ramai hadapi anxiety dan GERD. Dulu nak jumpa seorang pelanggan dalam kategori ini, dua tiga bulan sekali baru ada.
"Sekarang, daripada 300 pesakit yang datang setiap bulan, hampir 280 daripadanya alami masalah sama.
“Saya percaya ia ada kaitan dengan tekanan, trauma dan tahap stres yang tinggi,” katanya.
Amanah
Mengulas lanjut, anak ketiga daripada sembilan beradik itu tidak menafikan membina dan mengurus pusat rawatan alternatif bukan perkara mudah.
Antara cabaran utama adalah pengurusan kakitangan yang memerlukan pendekatan seimbang.
“Terlalu tegas pun tak boleh, terlalu manja pun tak jadi. Kita kena profesional dalam menjaga kebajikan staf.
"Ini penting supaya rawatan yang diberikan kepada pesakit juga berkualiti,” bicaranya yang turut menerima pelanggan dari Singapura, Indonesia, Qatar dan Dubai.
Beliau turut mengakui, dunia rawatan bukan sekadar perniagaan, sebaliknya amanah yang datang bersama doa dan kepercayaan pesakit.
Bagi pemegang Diploma Urutan Holistik dan Diploma Aromaterapi daripada International Therapy Examination Council (ITEC) itu, kepercayaan diberi orang ramai untuk membantunya menyelesaikan masalah kesihatan dan kehidupan adalah satu tanggungjawab yang berat.
“Kita bukan jual barang, kita ‘pegang’ harapan orang. Sebab itu bagi saya, cabaran paling besar tidak hanya menguruskan staf, tapi nak kekalkan keikhlasan setiap kali merawat," tutur beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram