'Saya berdiri atas fakta, bukan fitnah', bekas jururawat dedah bahana kongsi risiko sibutramine


  • Sihat
  • Isnin, 07 Jul 2025

Aifa dikecam segelintir pihak selepas berkongsikan keburukan sibutramine dalam produk pelangsing badan.

USAHAWAN kosmetik, Aifa Azlan tampil mempertahankan dirinya selepas menerima kecaman dan surat tuntutan undang-undang (LOD) berhubung video kesedaran yang dikongsikan mengenai bahaya bahan kimia sibutramine dalam produk pelangsingan badan.

Menurutnya, video dimuat naik di akaun TikTok miliknya, aifaazlan pada Mei lalu bertujuan memberikan maklumat kesihatan awam mengenai risiko penggunaan bahan tersebut yang boleh menyebabkan serangan jantung dan strok.

Perkongsian itu bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi negatif daripada warga maya, termasuk segelintir pihak yang memintanya membuat permohonan maaf secara terbuka.

BACA LAGI: KKM kesan 5 produk kecantikan guna bahan terlarang, risiko kulit pedih, menipis

BACA LAGI: Atlet angkat berat wanita negara positif doping

"Aifa baru terima LOD sebab kongsi fakta kesihatan awam tentang sibutramine. Padahal saya tak sebut mana-mana jenama pun.

“Saya disuruh minta maaf secara terbuka. Saya takkan tunduk kalau tak salah. Saya berdiri atas fakta, bukan fitnah,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik pada Ahad.

Menurut Aifa, kandungan videonya tidak menyasarkan mana-mana produk atau jenama tertentu.

Malah, sebarang penyebutan nama produk berlaku dalam ruangan komen oleh pengguna lain.

Pemilik nama lengkap Nurul Aifa Asyikin Azlan itu juga memaklumkan, beliau sudah pun menutup ruangan komen sebaik video itu tular.

"Saya diminta buat permohonan maaf secara terbuka. Untuk apa? Untuk sebarkan kesedaran yang saya kongsi?

"Bukan nak jatuhkan sesiapa dan sebelum LOD itu sampai, saya dah lama tutup ruangan komen. Kalau berniat jahat, saya biarkan saja orang terus komen,” jelasnya.

sibutramine with active ingredient box with some blue capsule and measuring tape

Penggunaan Sibutramine dilarang daripada pasaran oleh pelbagai agensi kesihatan termasuk KKM. — Gambar hiasan

Selepas video yang dimuat naik pada 29 Mei itu tular, Aifa turut memuat naik satu lagi video susulan agar orang ramai tidak menyebut sebarang nama produk, sebaliknya hanya fokus pada ilmu kesihatan yang disampaikan.

Mengulas lanjut, usahawan berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata, beliau rasa bertanggungjawab untuk berkongsi info berkenaan disebabkan latar belakangnya sebagai bekas jururawat yang pernah berkhidmat di Unit Kardiologi.

"(Jadi) saya tahu apa risikonya sibutramine terhadap jantung,” tegas beliau.

Untuk rekod, sibutramine adalah bahan terlarang yang telah dikeluarkan daripada pasaran oleh pelbagai agensi kesihatan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana dikaitkan dengan risiko kardiovaskular yang serius. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram