
TINDAKAN segelintir ibu bapa menyambungkan puting susu terus ke botol air mineral untuk menyusukan anak bukan sahaja tidak selamat, malah mendatangkan implikasi buruk terhadap kesihatan bayi.
Pakar Kanak-Kanak Hospital Islam Az-Zahrah, Dr. Siti Sarah Aishah Suhaidi berkata, terdapat dua risiko utama yang perlu difahami oleh ibu bapa sebelum mengamalkan kaedah tersebut.
“Pertama, puting boleh tercabut dari botol mineral ketika bayi sedang menyusu, menyebabkan risiko bayi tercekik atau tertelan puting sekiranya tiada pengawasan rapi,” katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Awas bahan pencuci 'xenoestrogen', risiko si kecil akil baligh awal dari usia sepatutnya — Kajian
BACA LAGI: 'Saya berdiri atas fakta, bukan fitnah', bekas jururawat dedah bahana kongsi risiko sibutramine
Tangkap layar memaparkan tindakan seorang individu meletakkan puting di botol minuman plastik.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai video tular di media sosial, memaparkan tindakan individu menyambungkan puting di botol minuman plastik bagi menggantikan botol susu yang diperbuat daripada bahan lebih selamat.
Mengupas lanjut, Dr. Siti Sarah turut menjelaskan bahaya bahan kimia bisphenol A (BPA) yang terkandung dalam botol plastik, terutamanya pembungkusan minuman.
Tambah beliau, BPA digunakan dalam pembuatan plastik jenis polikarbonat (PC) yang sering digunakan untuk botol air jernih dan tahan lasak.
"Apabila terdedah kepada suhu tinggi atau digunakan berulang kali, BPA boleh larut ke dalam air dan memasuki sistem tubuh bayi,” katanya.
Berikut merupakan antara kesan pendedahan BPA terhadap badan manusia:
1) Sistem pembiakan
- Menjejaskan tahap hormon seks seperti estrogen dan testosteron.
- Dikaitkan dengan masalah kesuburan pada lelaki dan wanita.
- Boleh menyebabkan haid tidak teratur atau kemandulan.
2) Perkembangan janin dan kanak-kanak
- Pendedahan semasa kehamilan boleh mengganggu perkembangan otak janin.
- Meningkatkan risiko kecacatan kongenital atau gangguan perkembangan neurobehavioural, iaitu kaitan antara sistem saraf (neuro) dan tingkah laku (behavioural).
3) Sistem hormon dan metabolisme
- Boleh menyebabkan rintangan insulin, seterusnya berisiko untuk diabetes jenis 2.
- Kenaikan berat badan dan obesiti.
- Menjejaskan fungsi tiroid.
4) Risiko kanser
Kajian haiwan menunjukkan kaitan antara BPA dengan peningkatan risiko kanser payudara, kanser prostat dan kanser rahim.
5) Kesihatan jantung
- Boleh meningkatkan tekanan darah.
- Ada bukti menunjukkan kaitan dengan penyakit jantung koronari.
6) Masalah psikologi dan tingkah laku
- Pendedahan kepada BPA dikaitkan dengan masalah tingkah laku, kegelisahan dan kemurungan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
Sehubungan itu, Dr. Siti Sarah menggesa ibu bapa agar tidak menggunakan botol air plastik sebagai alternatif botol susu.
Sebaliknya, pilih botol yang diperbuat daripada bahan selamat dan dilabel 'BPA-free' (istilah yang digunakan untuk menunjukkan sesuatu produk biasanya plastik, tidak mengandung BPA).
“Ggunakan botol susu yang diperbuat daripada bahan seperti polypropylene (PP) atau polietilena (PE) yang tidak mengandungi BPA,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan agar tidak menggunakan semula botol plastik yang diperbuat daripada PC, terutama jika ia telah terdedah kepada cahaya matahari atau suhu tinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram