
DARI mata kasarnya mungkin terlihat indah namun, memilih perjalanan hidup sebagai pengembara bukanlah satu laluan mudah.
Bagi pengembara, jurugambar dan pembuat filem, Zahariz Khuzaimah, 45, ia juga satu perjalanan panjang yang banyak mengajarnya erti kesabaran, ketahanan dan pengorbanan.
Sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai pensyarah sebuah universiti pada usia muda sekitar 20-an, Zahariz nekad mencari pengalaman hidup baharu yang tidak ternilai di setiap pelusuk dunia.
Zahariz Khuzaimah
Hanya berbekalkan basikal sebagai pengangkutan utama, Pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam Komputer, Reka Bentuk Grafik dan Animasi 3D daripada Wanganui School of Design, New Zealand itu memulakan pengembaraannya bermula 2010.
Lebih membanggakan apabila Zahariz merupakan rakyat Malaysia pertama yang sudah meredah lebih 30,000km dengan berbasikal selepas meredah seluruh Asia dan rantau Artik meliputi Iceland, Scotland, Sweeden dan Norway.
Jika dahulu, matlamatnya hanya satu iaitu mengembara.
Tetapi, semakin meningkat usia, moto hidupnya berubah apabila sudah berkeluarga dan mempunyai dua anak yang masih kecil.
Zahariz memulakan perjalanan sebagai pengembara dengan modal kira-kira RM6,000.
Ketika ditanya tentang perancangan masa depannya, Zahariz berkata, anak-anak menjadi keutamaan ketika memasang niat untuk mengembara semula.
"Awalnya memang tiada perancangan dan tetap nak mengembara lima tahun akan datang.
"Tetapi, usia saya sekarang, saya hanya perlukan rumah yang boleh saya buat aktiviti bersama anak-anak.
"Anak saya ada dua, seorang lelaki, 13 tahun dan seorang lagi perempuan sekolah Tahun Lima, hasil perkahwinan dengan bekas isteri dari Kyrgyzstan," katanya ketika ditemui pemberita ketika pelancaran bukunya bertajuk Dengan Basikal Aku Merentas Benua Asia baru-baru ini.
Arif (kiri) dan Alana (kanan) ketika pertama kali meraikan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia sebelum pandemik.
Katanya, kedua-dua anaknya juga baru belajar untuk menjalani kehidupan di bumi Malaysia selepas terpisah dengannya ketika pandemik Covid-19.
Sebagai bapa, Zahariz tidak menafikan bahawa tersimpan rasa penyesalan jauh di sudut hati apabila melihat anak-anaknya membesar terlalu pantas.
Menurutnya, sekarang merupakan waktu untuk membayar semula masa yang banyak hilang untuk diluangkan kepada anak-anak sepanjang tempoh pengembaraannya.
"Sebelum kahwin dan ada anak, saya memang berani tempuh semua. Tetapi, bila jadi bapa, saya tak boleh fikir diri sendiri sahaja.
"Sebab kalau apa-apa terjadi pada saya, mereka tiada bapa. Contoh paling ketara adalah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya tak dapat keluar dan anak-anak semua bekas isteri yang jaga di Kyrgyzstan.
"Dua tahun sembilan bulan juga saya tak jumpa mereka depan-depan, hanya melalui panggilan video. Mereka datang Malaysia lepas PKP.
"Ada juga rasa penyesalan itu sebab mereka membesar sangat cepat, bonding dengan mereka waktu kecil pun tak banyak terutama ketika umur mereka kira-kira lapan hingga 10 tahun," jelasnya sambil menambah bahawa masanya kini dimanfaatkan secara santai.
Majlis pelancaran buku Zahariz bersama bapanya, Datuk Khuzaimah Yunos, 83 (dua dari kanan).
Tambahnya, dua anaknya yang hanya mahu dikenali sebagai Arif dan Alana itu dijaga serta diuruskan oleh bekas isterinya sepanjang tempoh pengembaraannya.
Manakala, Zahariz pula akan menguruskan kewangan dan perbelanjaan bagi memastikan kebajikan keluarganya terjaga.
"Pendapatan saya kebanyakannya daripada hasil saya buat video dan pemandu pelancong di Kyrgyzstan," jelasnya.
Kini, Zahariz lebih fokus menjual hasil video dan bukunya yang menceritakan 101 kisah suka dan dukanya sepanjang lebih sedekad mengembara.
Buku terbitan terhad tersebut juga dijual dengan harga RM62 senaskhah di seluruh Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram