Berkarisma, berani buat keputusan, pelantikan Dr Ani Ahmad sebagai YDP wanita pertama MP Sepang harapan penduduk


  • Sukses
  • Isnin, 07 Jul 2025

Dr Ani Ahmad memiliki personaliti dan kewibawaan sebagai pemimpin wanita yang dihormati serta disegani. — MPAJ

MAJLIS Perbandaran (MP) Sepang mengalu-alukan kehadiran Yang Dipertua (YDP) wanita pertama, Dr Ani Ahmad yang memulakan tugas secara rasmi mulai Isnin.

Beliau menggantikan Datuk Abd Hamid Hussain yang kini menyandang jawatan sebagai Datuk Bandar Klang sejak 2 Disember 2024.

Ani yang juga merupakan bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu dijangka mengangkat sumpah di ibu pejabat MP Sepang di Cyberjaya, Selangor pukul 2.30 petang Isnin.

BACA LAGI: [VIDEO] Selesai konsert, kembali berkebun, Edry KRU tayang taman Hydrangea di belakang rumahnya di UK

BACA LAGI: Menyesal tak sudah, lewat terima berita kematian bapa gara-gara tetapkan telefon dalam mod senyap

Dr Ani Ahmad (kiri) kini dilantik sebagai YDP wanita pertama di MP Sepang. — The Star

Pelantikan beliau bukan sahaja mencerminkan perubahan positif dalam landskap kepimpinan pihak berkuasa tempatan, malah turut membawa harapan baharu terhadap kemajuan dan pembangunan inklusif di kawasan pentadbiran Sepang, Selangor.

Bukan semata mengisi kekosongan jawatan, Ani ternyata memiliki sosok pemimpin wanita yang disegani dan dihormati para penduduk.

1. Peneraju kepimpinan wanita

Sumbangan Ani dalam memperkasakan kepimpinan wanita terserlah apabila beliau dipilih sebagai tenaga pengajar Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) Selangor Kohort 4, sesi 2024/2025 anjuran Kerajaan Negeri Selangor melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) pada 11 September 2024.

Dalam sesi tersebut, beliau mengupas topik Integriti dan Tatakelola Kewangan dalam tiga slot interaktif yang berlangsung di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Shah Alam, Selangor.

Kehadiran 100 peserta wanita dari pelbagai latar belakang secara tidak langsung menjadikan sesi tersebut wadah penting dalam memperkukuh peranan wanita dalam sistem tadbir urus.

Beliau (tengah) juga aktif melibatkan diri dalam program memperkukuh peranan wanita di Malaysia. — Facebook

2. Berkarisma dan berani

Bukan itu sahaja, beliau turut dikenali sebagai pemimpin wanita yang berani membuat keputusan kritikal demi kebaikan bersama.

Ani pada masa sama dilihat sebagai wanita yang memiliki kecekalan luar biasa, ketegasan bersulam kelembutan serta aura karisma melalui pengalamannya.

Menurut seorang Ahli Majlis MPAJ Zon 15, Sakinah Yusoff, Ani seseorang yang berani membuat keputusan menongkah arus kebiasaan demi suatu tekad.

Antara sumbangan beliau (tudung kuning) dalam memacu agropelancongan komuniti sepanjang berkhidmat di MPAJ. — MPAJ

3. Pacu agropelancongan komuniti

Antara inisiatif penting yang pernah diterajui Dr Ani ketika berkhidmat di MPAJ adalah usaha memajukan lebih 52 kebun komuniti sebagai hab agropelancongan dan pusat pendidikan pertanian.

Tidak hanya mahu mewujudkan kebun komuniti, Ani juga memainkan peranan penting dalam mengembangkan, mempertahankan serta mengekalkan usaha tersebut ketika ketika merasmikan laman anggur di Kebun Komuniti Rumah Pangsa AU2, Taman Keramat, Kuala Lumpur.

Selepas perasmian, beliau tidak kekok melibatkan diri untuk menanam padi dan melawat kebun yang menempatkan pelbagai pokok bunga dan buah-buahan seperti tanaman vanila, nangka, mangga dan durian.

Justeru, pelantikan Ani dilihat mampu menjadi simbol perubahan progresif yang memanfaatkan seluruh warga Sepang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram