Walau sayang sekalipun wajib ada 'hitam putih' pinjamkan duit pada ahli keluarga, kenalan, elak terjerat muflis


  • Cinta
  • Jumaat, 04 Jul 2025

Pinjaman persahabatan atau 'friendly loan' boleh membawa padah sekiranya tiada dokumen perjanjian sah. — Gambar hiasan/Freepik AI

MEMINJAM atau memberi pinjaman wang kepada seseorang terutama kenalan rapat tanpa didokumentasi boleh menyumbang risiko besar.

Perkara tersebut kini menjadi topik perbualan ramai susulan kes tular membabitkan pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie.

Jovian diisytihar muflis oleh Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur selepas gagal membayar pinjaman persahabatan atau friendly loan berjumlah RM5 juta kepada sebuah syarikat.

BACA LAGI: Gagal bayar pinjaman RM5 juta, Jovian Mandagie diisytihar bankrap

BACA LAGI: Diogo Jota: Perginya sosok aktif pejuang hak wanita, kesaksamaan jantina dalam dunia sukan

Justeru, pakar undang-undang menasihatkan orang ramai untuk lebih berwaspada dalam membuat sebarang pinjaman menerusi kaedah tersebut.

Mengulas lanjut, pinjaman persahabatan kebiasaannya dilakukan antara dua individu yang mempunyai hubungan peribadi termasuk kenalan rapat mahu pun ahli keluarga.

"Pinjaman ini biasanya melibatkan kepercayaan dan bukan dengan niat dapat keuntungan.

"Wajib ada hitam putih kalau tak nak putih mata. Friendly loan ini berbeza pinjam duit dengan pengurup wang berlesen.

"Jadi, pastikan ada dokumen persetujuan yang jelas," tulisnya menerusi hantaran di akaun Threads @miramiza27.

Kedua-dua pihak perlu membuat persetujuan melalui dokumen yang sah.

Antara butiran yang perlu ada di dalam dokumen tersebut:

1. Nama penuh dan maklumat kedua-dua pihak pemberi dan penerima pinjaman.

2. Jumlah pinjaman yang dipersetujui.

3. Cara pembayaran sama ada secara tunai, pindahan wang, cek dan sebagainya.

4. Kadar faedah jika ada, dan jika dikenakan, mestilah munasabah.

5. Jadual pembayaran balik.

6. Cagaran atau jaminan jika ada seperti rumah, tanah, saham dan lain-lain.

7. Klausa kegagalan bayar (default clause) serta sebarang terma tambahan yang relevan.

Namun, sekiranya tiada perjanjian bertulis, pinjaman masih boleh dibuktikan di mahkamah.

"Perlu buktikan pada mahkamah yang sejumlah wang telah dipinjamkan kepada peminjam dan peminjam bersetuju untuk membayar balik pinjaman tersebut dalam tempoh masa tertentu," tambahnya.

Proses itu bagaimanapun boleh menjadi rumit dan mengambil tempoh masa yang panjang untuk diselesaikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram