Ibu ambil tahu! Ini 3 posisi terbaik bantu bayi sendawa lepas menyusu


  • Bonda
  • Jumaat, 04 Jul 2025

Proses sendawa amat penting untuk bayi selepas menyusu bagi mengelakkan sebarang ketidakselesaan.

TAHUKAH anda bahawa sendawa antara perkara penting dan wajib dilakukan dalam rutin penyusuan bayi.

Hal ini kerana, udara yang terperangkap di dalam perut bayi ketika menyusu boleh menyebabkan ketidakselesaan.

Proses sendawa membantu bayi mengeluarkan gas udara sekali gus melegakan kesakitan atau kembung.

BACA LAGI: Tak suka membazir, rancang saat akhir bukan bermakna pasangan anda 'high maintenance', sebaliknya mereka...

BACA LAGI: Walau sayang sekalipun wajib ada 'hitam putih' pinjamkan duit pada ahli keluarga, kenalan, elak terjerat muflis

Manakala, waktu untuk sendawakan bayi bergantung pada keadaan semasa.

Bagi sesetengah bayi, ada yang perlu sendawa ketika menyusu dan selepas.

Para ibu juga digalakkan berehat sebentar untuk sendawakan bayi beberapa minit sekiranya melihat ciri-ciri tidak selesa.

Namun, sendawakan bayi perlu dilakukan dengan cara yang tepat bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

1. Sendawakan bayi secara duduk

Jika anak sedang menyusu sambil duduk, letakkan bib kain pada bayi atau alas di atas riba.

Dudukkan bayi di pangkuan dengan membelakangi anda atau dalam keadaan mengiring.

Gunakan sebelah tangan untuk menyokong badan, tapak tangan menyokong dada manakala jari-jari perlahan-lahan menyokong dagu dan rahang bayi.

Pastikan anda tidak meletakkan jari anda di sekeliling tekak bayi.

Condongkan badan bayi ke hadapan sedikit dan tepuk atau gosok belakangnya perlahan-lahan dengan sebelah tangan lagi.

2. Sendawakan bayi di dada atau bahu

Letakkan kain di atas bahu anda biarkan ia jatuh ke belakang untuk melindungi pakaian daripada terkena muntah.

Pegang bayi ke dada supaya dagunya terletak di bahu anda.

Sokong bawah badan bayi dan tepuk atau gosok punggungnya perlahan-lahan dengan tangan sebelah lagi.

Pastikan bayi boleh bernafas dengan selesa dan tidak terlalu bongkok.

3. Sendawakan bayi dalam keadaan meniarap di atas pangkuan ibu

Selain daripada berbaring di sisi, anda juga boleh sendawakan bayi ketika dalam keadaan meniarap di atas pangkuan.

Baringkan bayi menghadap ke bawah dalam posisi yang lurus.

Sokong dagu dan rahang dengan sebelah tangan. Pastikan kepala bayi tidak lebih rendah daripada seluruh badan supaya darah tidak mengalir ke kepala mereka.

Tepuk atau gosok belakang mereka secara perlahan-lahan sehingga bayi sendawa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram