
SEORANG peserta pertandingan ratu cantik China yang pernah mencuri perhatian ramai kerana bukan sahaja dilihat jelita, malah dilihat bijak dengan latar akademik mengagumkan, kini dipenjara selepas didapati memalsukan ijazah untuk melanjutkan pelajaran.
Li Si Xuan, bekas ratu cantik dari Shenzhen pernah meraih pujian selepas mendakwa memiliki kelulusan tinggi dan menduduki program sarjana di University of Hong Kong (HKU).
Namun, semua itu terbukti satu pembohongan apabila siasatan mendedahkan dia menggunakan dokumen palsu untuk diterima masuk ke universiti berprestij itu.
BACA LAGI : [VIDEO] 'Luluh hati seorang ibu', budak perempuan 7 tahun ditemukan lemas di Sungai Balok
Si Xuan sebelum ini mendakwa pernah mengikuti program sarjana linguistik di Universiti Columbia, Amerika Syarikat pada tahun 2021.
Melalui dokumen tersebut juga, dia diterima menyambung pengajian dalam Program Sarjana Linguistik Gunaan di HKU.
Namun pada tahun 2024, penipuannya terbongkar apabila pihak universiti menerima aduan berkaitan beberapa pelajar yang dipercayai memalsukan dokumen kemasukan.
Siasatan dalaman HKU mendapati Si Xuan adalah salah seorang daripada mereka. Universiti Columbia kemudian mengesahkan bahawa nama Si Xuan tidak pernah wujud dalam rekod mereka.
University of Hong Kong merupakan sebuah universiti yang terkenal di peringkat antarabangsa. — Agensi
Lebih memalukan, Si Xuan bukan sahaja memalsukan latar pendidikan luar negara, malah turut memalsukan ijazah sarjananya sendiri dengan mengubah keputusan asal daripada 'lulus' kepada 'cemerlang'.
Malah, tarikh tamat pengajian yang tertera dalam sijil juga tidak selari iaitu 12 Jun sedangkan majlis graduasi sebenar diadakan pada 11 Jun.
Pihak HKU cuba memanggil Si Xuan untuk memberikan penjelasan, namun dia enggan hadir. Akibat itu, status pelajarnya dibatalkan dan kes tersebut dilaporkan kepada pihak polis.
Si Xuan ditahan keesokan harinya dan dalam keterangannya kepada pihak berkuasa, dia mengaku hanya menamatkan pengajian di Universiti Ekonomi dan Undang-undang Zhongnan di Wuhan pada tahun 2020.
Dia juga mengaku membayar sebanyak 380,000 yuan (kira-kira RM868,000) kepada sebuah 'agensi akademik' bagi membantunya mendapatkan dokumen palsu untuk memasuki HKU.
Peguam bela Si Xuan mempertahankan bahawa anak guamnya tidak pernah menggunakan ijazah tersebut untuk aktiviti jenayah lain.
Bagaimanapun, tindakan tersebut tetap dianggap serius kerana mencemarkan integriti institusi pendidikan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 240 hari terhadap Si Xuan atas kesalahannya itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram