
HEBOH di media sosial ketika ini selepas perkongsian gambar dekorasi ruang dalaman rumah milik Hafizi Johan di platform Threads sehingga menarik perhatian ramai.
Rumah yang dihias dengan gaya moden dan minimalis itu dipuji kerana susunan ruangnya teratur, bersih serta menenangkan.
Bagaimanapun, perhatian turut terarah kepada komen seorang pengguna, Uzmaa Wafiya, yang menyatakan bahawa rumah tersebut kelihatan seperti "tidak ada roh Islam".
Komen itu telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-ratanya mempertahankan pemilik rumah sambil menegaskan bahawa penilaian sesuatu rumah berkonsep Islam tidak boleh dibuat hanya berdasarkan hiasan luaran semata-mata.
Antara yang memberi respon ialah Dyla Afila Afiq, secara sinis menulis bahawa tidak ada keperluan untuk menambah ‘roh’ dalam tema dekorasi rumah, kerana konsep dekorasi tidak pernah melibatkan elemen roh, kecuali jika ia rumah berhantu di taman tema.
Respon itu mencerminkan rasa kurang senang orang ramai terhadap kecenderungan menilai sesuatu kediaman Islamik hanya berdasarkan aspek zahir seperti hiasan dan warna.
Berdasarkan pemerhatian terhadap gambar dikongsikan, susunan ruang rumah Hafizi memperlihatkan ciri-ciri utama kediaman yang memenuhi prinsip Islam.
Ruang tamu kemas dan teratur
Kedudukan sofa, kerusi serta meja kopi membentuk susunan jelas dengan laluan yang luas bagi memudahkan pergerakan penghuni dan tetamu.
Pintu masuk ke rumah terlindung daripada pandangan terus ke ruang utama, selaras dengan tuntutan Islam yang menekankan aspek privasi dalam susunan ruang kediaman.
Susunan ruang rumah Hafizi memperlihatkan ciri-ciri utama kediaman yang memenuhi prinsip Islam. — Threads/Hafizijohan
Tingkap-tingkap besar dilengkapi dengan langsir tebal bagi mengawal cahaya dan pada masa sama melindungi pandangan daripada luar, seiring dengan prinsip menjaga aurat serta privasi keluarga.
Ruang dalaman rumah turut memaparkan ciri-ciri kebersihan dan kekemasan.
Tiada hiasan berlebihan yang boleh menimbulkan unsur bermegah-megah.
Pemilihan perabot yang ringkas, warna-warna lembut serta susunan praktikal membolehkan ruang digunakan untuk pelbagai keperluan termasuk aktiviti ibadah.
Ruang yang lapang pada bahagian tengah, sama ada di ruang tamu atau ruang makan, juga memberi kemudahan untuk mendirikan solat secara berjemaah jika diperlukan.
Rumah dihias dengan gaya moden dan minimalis itu dipuji kerana susunan ruang yang teratur, bersih serta menenangkan. — Threads/Hafizijohan
Walaupun tidak kelihatan khusus ruang solat dalam perkongsiannya, ruang yang tersedia cukup untuk memenuhi keperluan ibadah harian.
Dalam Islam, rumah patuh syariah bukan sahaja diukur daripada elemen hiasan atau corak yang terpapar pada dinding atau perabot.
Sebaliknya, ia merangkumi empat konsep asas iaitu kawasan, lokasi, konsep sosial yang menjaga hubungan sesama penghuni serta masyarakat.
Susunan ruang menepati syariah termasuk arah qiblat serta kebersihan yang terpelihara melalui sistem saliran dan pembuangan sampah.
Prinsip-prinsip itu bertujuan untuk menjadikan rumah sebagai tempat berlindung yang memberi ketenangan, keselesaan dan keberkatan.
Perdebatan yang tercetus daripada perkongsian Hafizi seharusnya menjadi ruang untuk mendidik masyarakat mengenai maksud sebenar rumah berkonsep Islam.
Rumah yang menepati syariah tidak semestinya dipenuhi hiasan berunsur Islamik pada zahirnya.
Apa yang lebih utama ialah bagaimana ia berfungsi untuk memelihara ibadah, privasi, keselesaan dan hubungan sesama insan, sesuai dengan syariat Islam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram