
BEBERAPA tahun kebelakangan ini, kebimbangan ibu bapa terhadap isu perkembangan anak semakin tinggi ekoran lambakan kes autisme yang bagai tiada kesudahannya.
Bermula dari usia baru lahir hingga kanak-kanak, segala aktiviti si kecil memainkan peranan penting terhadap tumbesaran mereka dan rata-rata ibu bapa kini semakin cakna tentang hal tersebut.
Namun, faktor lambat bercakap, kurang memberi respon apabila dipanggil atau terlalu leka dengan skrin gajet membuatkan ibu bapa luar sana sentiasa paranoid terhadap kesihatan anak.
BACA LAGI: Visi Sheikha Mozah realisasikan Al-Mujadilah Center, masjid khas wanita pertama di dunia
BACA LAGI: [VIDEO] Cik Man kongsi taktikal 'penalti halus', rahsia kemenangan skuad Ex Treble Kelantan
Malah, tidak kurang juga yang bimbang anak mereka mungkin menghidap autisme dan tidak normal seperti kanak-kanak lain.
Mengulas lanjut hal itu, pakar psikiatri dari Fakulti Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Rozanizam Zakaria menegaskan bahawa tidak semua kes sedemikian tergolong dalam gangguan spektrum autisme (ASD).
Jelasnya, sebahagiannya tergolong dalam kategori yang dikenali sebagai pseudoautisme.
Apa itu pseudoautisme?
Pseudoautisme ialah istilah tidak rasmi yang merujuk kepada keadaan di mana seorang kanak-kanak menunjukkan tingkah laku yang kelihatan seperti autisme.
Namun, hasil pemeriksaan dan penilaian profesional mendapati ia tidak memenuhi kriteria klinikal untuk didiagnosis sebagai ASD.
Menurut Dr. Rozanizam, pseudoautisme tidak diiktiraf secara rasmi dalam dunia perubatan, tetapi ia digunakan secara meluas dalam perbincangan awam dan media sosial.
"Pseudo bermaksud palsu atau seakan-akan. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada anak-anak yang memperlihatkan tanda-tanda mirip autisme, namun tidak benar-benar menghidap gangguan tersebut.
"Autisme ialah gangguan neurodevelopmental yang berkait dengan faktor genetik dan persekitaran sejak awal perkembangan janin dalam kandungan.
"Tapi, penggunaan gajet yang berlebihan boleh ganggu perkembangan, terutamanya dalam aspek sosial dan pertuturan, bergantung pada kekerapan serta cara pendedahan," ujarnya.
Bagaimana pseudoautisme berlaku?
Kanak-kanak yang banyak menghabiskan masa dengan gajet seperti telefon pintar berisiko tinggi untuk:
- Tidak bercakap atau menunjukkan kelewatan bahasa
- Tidak memberi respon apabila dipanggil
- Lebih tertarik dengan objek atau skrin berbanding orang
- Sukar bermain secara interaktif
- Mengulang perbuatan seperti menari ikut lagu, berpusing atau mengetuk objek
Walaupun simptom ini mirip autisme, ia sebenarnya boleh disebabkan oleh kurangnya rangsangan deria, sosial dan komunikasi semula jadi yang sepatutnya diterima oleh kanak-kanak dalam peringkat awal perkembangan.
Dr. Rozanizam Zakaria merupakan pakar psikiatri dari Fakulti Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Autisme bukan disebabkan gajet
Dr. Rozanizam menekankan bahawa autisme adalah gangguan perkembangan neurologi yang berpunca daripada faktor genetik dan persekitaran sejak dalam kandungan.
"Gajet tidak menyebabkan autism, tiada bukti saintifik yang menyokong kenyataan ini.
"Autism ialah gangguan neurodevelopmental yang berkait dengan faktor genetik dan persekitaran sejak awal perkembangan janin dalam kandungan.
"Tapi, penggunaan gajet yang berlebihan boleh ganggu perkembangan, terutamanya dalam aspek sosial serta pertuturan, bergantung pada kekerapan pendedahan," jelasnya.
Rawatan dan intervensi
Sekiranya seorang kanak-kanak disyaki mengalami pseudoautisme, pengurangan gajet sahaja tidak mencukupi.
Kanak-kanak dengan simptom sedemikian masih perlu menjalani terapi pertuturan, bermain atau tingkah laku sama seperti golongan yang didiagnosis dengan isu kelewatan perkembangan.
Justeru, istilah pseudoautisme mungkin berguna untuk meningkatkan kesedaran tentang kesan negatif pendedahan skrin berlebihan terhadap perkembangan anak.
Namun, ia bukan alasan untuk ibu bapa menangguhkan rawatan atau menolak pemeriksaan kesihatan anak-anak mereka.
"Kalau anak menunjukkan ciri-ciri seperti stereotyped behaviour, rigidity, minat yang terhad atau isu sensori, ini bukanlah dari kesan gajet semata-mata. Ia tanda-tanda yang perlu dinilai sebagai simptom autisme.
"Hentikan gajet saja tak cukup, anak perlu terapi dan intervensi awal tapi kalau bukan autisme teruskan sahaja terapi agar anak cukup menerima rangsangan dari aktiviti yang dijalankan," katanya mengakhiri perkongsian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram