'Afghan Girl' menyesal biar wajah dirakam, Sharbat Gula buka mulut dakwa didesak jurugambar


  • Maya
  • Selasa, 24 Jun 2025

Sharbat menyatakan bahawa gambar itu sebenarnya membawa banyak masalah kepadanya.

SHARBAT GULA, wanita Afghanistan yang wajahnya menjadi ikon dunia melalui potret terkenal berjudul Afghan Girl diambil oleh jurugambar Amerika, Steve McCurr, pada 1984 di kem pelarian Nasir Bagh, Pakistan.

Potret tersebut diterbitkan sebagai muka depan majalah National Geographic pada Jun 1985 dan menjadi salah satu gambar paling dikenali di dunia.

Sharbat dilahirkan sekitar 1972 dalam keluarga Pashtun di Afghanistan.

BACA LAGI: 'Baru 2.3kg dah kena dukung berpuluh tangan', bayi pramatang belum kuat, mudah dijangkiti penyakit serius

BACA LAGI: Tanggungjawab sosial buat remaja, kanak-kanak autisme, Suga BTS salur dana RM15 juta, tubuh Pusat Rawatan Min Yoon-gi

Pada awal 1980-an, kampung halamannya diserang oleh helikopter Soviet, menyebabkan keluarganya melarikan diri ke Pakistan dan menetap di kem pelarian.

Ketika itu, Sharbat berusia sekitar 10 hingga 13 tahun.

Pada hari rakaman gambar ikonik itu, beliau pada mulanya menutup wajahnya dengan tudung, tetapi akhirnya terpaksa membuka wajah atas tekanan jurugambar.

Sharbat sendiri mengakui dalam temu bual pada 2022 bahawa tidak suka bergambar dan dalam budaya Afghanistan, wanita tidak sepatutnya muncul dalam gambar, namun tidak mempunyai pilihan.

Walaupun gambar itu terkenal di seluruh dunia, Sharbat tidak mengetahui bahawa gambarnya telah menjadi simbol penderitaan pelarian Afghanistan hingga pada 2002, McCurry dan pasukan National Geographic berjaya menjejaki dan mengambil gambar terbaharunya.

Selepas itu, kehidupan Sharbat penuh cabaran apabila suaminya meninggal dunia akibat Hepatitis C pada 2012.

Beliau terpaksa melarikan diri semula ke Pakistan bersama anak-anaknya kerana keadaan di Afghanistan yang tidak stabil.

Pada 2016, Sharbat ditangkap di Pakistan kerana didakwa memasuki negara itu secara haram dengan dokumen palsu dan menghadapi risiko penjara.

Walaupun McCurry mengutuk tindakan tersebut dan berjanji memberi sokongan undang-undang dan kewangan, National Geographic sebenarnya tidak menawarkan bantuan langsung kepadanya.

Sebaliknya, kerajaan Afghanistan kemudian memberikan bantuan berupa rumah percuma dan elaun bulanan yang membolehkan Sharbat dan keluarganya merasa selamat buat pertama kali dalam beberapa dekad.

Namun, keselamatan itu tidak bertahan lama, apabila pada 2021, Taliban mengambil alih Afghanistan dan Sharbat yang menjadi figura awam menghadapi ancaman dan intimidasi daripada pihak Taliban.

Walaupun McCurry dan National Geographic membuat kenyataan awam, bantuan sebenar tidak diberikan.

Sharbat akhirnya berjaya mendapatkan suaka di Itali dan menetap di sana pada November 2021.

Dalam temu bual dengan akhbar Itali, Il Venerdì pada 2022, Sharbat menyatakan bahawa gambar itu sebenarnya membawa banyak masalah kepadanya dan lebih suka gambar itu tidak pernah diambil.

Beliau juga menyesal kerana tidak mendapat peluang belajar dan kini berazam membantu anak perempuannya yang ingin menjadi doktor.

Sharbat memilih untuk bersuara bukan untuk mencari perhatian, tetapi sebagai tanda terima kasih kepada rakyat Itali yang menyambutnya serta sebagai simbol kekuatan dan ketabahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram