
PASANGAN pempengaruh Malaysia-Guinea, Fila Amir, 30, kini meniti bahagia di samping suami dan anugerah cahaya matanya, Assara Adama Camara.
Biarpun dikurniakan zuriat sedikit lewat selepas lima tahun usia perkahwinan, berkat usaha dan rawatan persenyawaan in vitro (IVF) dijalani membuahkan hasil apabila Fila selamat melahirkan anak perempuannya pada Mei lalu.
Memasuki usia dua bulan, pasangan tersebut dilihat semakin sibuk menyiapkan segala persediaan dan kini banyak meluangkan masa bersama si kecil.
BACA LAGI: Diberi penghormatan kedutaan UAE, gadis Nepal diiktiraf miliki tulisan tangan tercantik dunia
BACA LAGI: [VIDEO] Selepas bersalin, suami hadiahkan Fila rumah baharu, anggap 'rezeki anak'
Pun begitu, pasangan itu tidak terlepas daripada kecaman warga maya tampil mempersoalkan wajah anaknya yang dikatakan tidak menyerupai bapanya.
Paling ketara, kulit anaknya kelihatan jauh cerah dan berbeza dengan asal usul negara suaminya di Afrika Barat.
Tampil menepis dakwaan tersebut, Fila tegas menyatakan wajah anaknya mirip campuran kedua-dua ibu bapanya selain turut menitip rasa syukur atas pemberian tuhan.
"Macam kita tuhan pula mana la kita tahu, kan semua tu ciptaan ALLAH siapa cakap tak sama.
"Sebiji muka bapa dia dan dalam masa sama sebiji juga muka mommy dia," katanya menerusi hantaran di Instagram.
Terdahulu, pasangan dua sejoli itu difahamkan baru berpindah ke kediaman baharu hasil pemberian hadiah dari suaminya, Adama Mohamed, 32.
Menjadi idola dan contoh pasangan bahagia di kalangan masyarakat luar sana, rata-ratanya amat mengagumi kisah percintaan antara dua benua itu yang sangat memberi inspirasi.
Biarpun sibuk dengan urusan rumah tangga, Fila kini sedang giat mengusahakan perniagaan madu asli import Guinea yang dijalankan bersama suaminya.
Selain itu, Fila dan Adama turut memiliki dan menguruskan sebuah kedai perabot di Guinea serta premis fizikal di Malaysia.
Menerima permintaan yang tinggi di negara kelahiran suaminya, mereka turut mengeksport set kelengkapan bilik, meja makan, set sofa, barangan elektrik dari Malaysia ke Guinea. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram