Bergelar anak yatim seawal usia 3 tahun, Ayesha Farooq jadi wanita pertama tembak jatuh jet Rafale India


  • Benua
  • Isnin, 12 Mei 2025

Ayesha membuktikan kemampuannya sebagai wanita dalam unit Tentera Udara Pakistan. — Agensi

TARIKH 6 Mei 2025 (Selasa) menyaksikan detik bersejarah buat seorang juruterbang wanita Pakistan, Ayesha Farooq apabila berjaya menjatuhkan jet pejuang Rafele Tentera India dengan AIM-120 AMRAAM.

Aksinya itu dilakukan saat berlakunya konflik hangat antara India dan Pakistan. 

Berkhidmat sebagai juruterbang dalam pasukan Tentera Udara Pakistan juga merupakan cita-cita dan impiannya sejak kecil lagi. 

BACA LAGI: Jarum, benang dan kain jadi lukisan unik, usia 66 tahun bukan penghalang Khalidah terus berkarya

BACA LAGI: Kurangkan subsidi telur mungkin strategi 'soft landing', mekanisme pasaran sihat

Ayesha (tiga dari kanan) menjadi juruterbang wanita pertama yang berjaya menumpaskan jet pejuang India. — Agensi

Perjalanan sukar untuk Ayesha

"Ia tidak mudah bagi saya. Saya fikir langkah pertama sentiasa yang paling sukar.

"Saya terpaksa bekerja lebih keras kerana jantina saya. Sebagai contoh, apabila saya menyertai  tentera udara, saya perlu membuktikan kepada rakan-rakan lelaki bahawa saya juga tahu tentang peluru dan pesawat.

"Semua mata tertumpu kepada anda apabila anda adalah satu-satunya wanita dalam kerjaya yang didominasi lelaki," katanya.

Menurut Ayesha yang sudah menjadi anak yatim sejak berusia tiga tahun, semangatnya bagaimanapun tetap disokong oleh orang di sekelilingnya. 

Katanya, meskipun kehilangan ayah di awal usia itu, ia tidak pernah menghalang Ayesha untuk terus berusaha dalam mengecapi impiannya. 

Ayesha bersama Nassim (kanan) yang bersama berganding bahu berjuang demi negaranya. — Agensi

Latihan yang mencabar

Pada awalnya, beberapa orang menyangka bahawa Ayesha tidak akan memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjadi juruterbang jet pejuang.

"Malah, tentangan orang-orang itu membuat saya lebih berazam.

"Juruterbang jet pejuang terpaksa melalui banyak kepayahan. Kami bangun setiap pukul empat pagi dan kadangkala tidur sekitar lewat tengah malam.

"Kemudian, ada jadual terbang malam juga. Walaupun kita berada di luar, kita melakukan senaman fizikal dan bermain permainan minda untuk memastikan diri kita sentiasa berwaspada," jelasnya. 

Lebih membanggakan apabila Ayesha merupakan seorang daripada 19 wanita yang berjaya menjadi juruterbang di pasukan tersebut sejak sedekad lalu.

Ayesha berkata, tidak ramai wanita yang sanggup melakukan tanggungjawab tersebut suatu ketika dahulu.

Tetapi, zaman sudah berubah dan menurut Komander Sayap Skuadron Ayesha, Nassim Abbas, Pakistan kini mempunyai 316 wanita dalam pasukannya berbanding sekitar 100 lima tahun lalu.

"Semakin ramai wanita menyertai sekarang.

"Ia dilihat sebagai kurang tabu. Terdapat perubahan dalam cara masyarakat berfikir," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram