'Anak-anak tolong pantau ibu bapa', pasangan warga emas dari KL tertipu kereta kabel di Kampung Kuak Hulu hanya video AI


  • Tular
  • Isnin, 30 Jun 2025

Suami isteri meluahkan kekecewaan selepas mendapati kereta kabel di Kampung Kuak Hulu itu sebenarnya tidak wujud. — Gambar janaan AI

HASRAT pasangan warga emas dari Kuala Lumpur untuk menikmati pengalaman menaiki kereta kabel di Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu, Perak bertukar mengecewakan selepas mendapati ‘tarikan pelancongan’ itu sebenarnya tidak wujud.

Ia sebaliknya hanyalah rekaan video menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mereka tonton di media sosial.

Kisah itu dikongsikan seorang pekerja hotel tempatan menerusi aplikasi Thread miliknya, dyaaaaaaa.

BACA LAGI: Roda bagasi 58 kali lebih kotor berbanding tandas awam, pakar kongsi alternatif elak 'travel' bersama kuman

BACA LAGI: Bimbangkan keselamatan jika melancong bersendirian, empat pengembara solo wanita kongsi pengalaman dan panduan

Katanya, beliau terkejut dengan pertanyaan pasangan tersebut ketika mendaftar masuk ke hotel berhampiran.

“Mereka tanya sama ada saya sudah pernah naik kereta kabel di Kuak Hulu. Saya ingat mereka melawak, jadi saya balas sibuk, tak sempat lagi nak naik.

"Lepas itu dia kata, pak cik (dan) mak cik datang dari Kuala Lumpur sebab nak naik kereta kabel itulah," tulisnya pada Isnin.

Menurutnya, beliau terpaksa menjelaskan kepada pasangan suami isteri berkenaan bahawa video tersebut hanyalah rekaan semata-mata.

“Mereka tetap tak percaya, katanya siap ada ‘wartawan’ dalam video Itu, takkan orang nak menipu?” ujarnya.

Lebih menyedihkan, pasangan tersebut mengaku tidak berani bertanya kepada anak-anak mereka sebelum memulakan perjalanan disebabkan rasa malu.

Wanita warga emas itu turut menyuarakan kekecewaannya kerana tiada sesiapa yang menafikan kesahihan video tersebut di ruangan komen.

“Mak cik itu nak saman ‘wartawan’ dalam video, saya terpaksa beritahu individu tersebut bukan orang sebenar pun, edit saja. Dia kata, tergamak mereka buat orang macam ini.

"Lepas ini tolonglah rajin sikit tanya mak ayah yang suka melancong itu, mereka nak pergi mana sebenarnya,” pesannya lagi.

Insiden itu mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-ratanya menggesa agar lebih ramai peka dengan kandungan palsu, terutamanya melibatkan warga emas yang mudah terpengaruh.

Untuk rekod, Kampung Kuak Hulu merupakan kawasan pedalaman di Pengkalan Hulu, Perak dan tiada sebarang kemudahan kereta kabel wujud di kawasan tersebut.

Ia merupakan kampung paling utara di Perak, berdekatan sempadan dengan Thailand, sekitar tiga hingga 3.5 kilometer (km) ke barat laut bandar Pengkalan Hulu.

Tularnya kandungan palsu sebegini membuktikan keperluan mendesak untuk meningkatkan literasi digital dan kesedaran tentang teknologi manipulasi imej dan video dalam kalangan masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram