[VIDEO] Jurumekap alami artritis septik lepas nikmati sashimi di restoran mewah India


  • Maya
  • Jumaat, 20 Jun 2025

Tangkap layar memaparkan keadaan wanita tersebut selepas menikmati hidangan sashimi di India.

SEORANG jurumekap artis (MUA) berkongsi pengalaman jatuh sakit selepas dipercayai menikmati hidangan sashimi (hirisan ikan mentah) di sebuah restoran mewah di India.

Keadaan itu mengakibatkan jangkitan serius pada sendi sehingga menjejaskan rutin hariannya selama beberapa bulan.

Insiden itu dikongsikan wanita warga Singapura-Australia tersebut menerusi akaun TikTok miliknya, dhen.mua baru-baru ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum kena 'spot check' KKM, tauke dan pekerja kedai makan wajib suntik tifoid

BACA LAGI: Air coklat bau masam, ayam goreng mentah dipercayai punca 101 pelajar SK Chepor alami keracunan makanan

Menceritakan kejadian itu, beliau yang melawat keluarga mentuanya di India mula mengalami gejala pelik selepas pulang dari negara tersebut.

“Selepas pulang ke rumah, saya dapati diri ini berada dalam keadaan kabur dan pening, sehingga terpaksa panggil ambulans.

"Di hospital, saya diberi ubat tahan sakit, tapi langsung tak berkesan,” jelasnya menerusi ruangan komen.

Menurut wanita tersebut, keadaannya bertambah buruk selepas beliau mengalami kekejangan otot selama lebih dua minggu, sebelum terlantar di atas katil selama tiga minggu.

Beliau hanya mula duduk semula selepas tempoh itu dan perlu belajar berdiri serta berjalan meskipun belum sembuh sepenuhnya.

Setelah menjalani beberapa siri pemeriksaan dan rawatan, doktor akhirnya mengesahkan beliau menghidap artritis septik, satu komplikasi serius dipercayai berpunca daripada jangkitan demam kepialu yang dihidapinya semasa berada di India.

“Kemungkinan besar, air yang digunakan untuk menyahbeku sashimi tersebut tercemar dan menjadi punca saya dijangkiti bakteria kepialu.

"Bakteria tersebut kemudian menyerang sendi pinggul saya, menyebabkan radang septik dan kekejangan otot yang menyakitkan,” katanya.

Wanita itu turut memberitahu, walaupun sudah lebih empat bulan sejak kejadian berlaku, pinggul kirinya masih lagi sakit.

Difahamkan, pemeriksaan juga mendapati sebahagian tulang pinggulnya telah terhakis akibat jangkitan tersebut.

“Sekarang saya lakukan senaman dan latihan kekuatan untuk menyokong dan menyeimbangkan semula tubuh, agar tekanan pada pinggul dapat dikurangkan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, wanita berkenaan menambah, beliau sememangnya gemar menikmati sashimi di mana sahaja.

“Saya tak sangka akan alami semua ini hanya kerana makan sashimi. Tiada sesiapa dalam keluarga saya makan sashimi ketika itu dan mereka semua sihat.

"Hanya saya seorang yang jatuh sakit,” jelasnya lagi.

Wanita berkenaan mengakui dirinya gemar menikmati sashimi di mana sahaja. — Gambar hiasan

Wanita itu juga memaklumkan bahawa ini bukan kali pertama beliau ke India, malah sudah empat kali berkunjung ke sana.

“Cirit-birit itu memang biasa bagi saya setiap kali ke India tapi agak terkejut kerana kali ini impaknya jauh lebih teruk,” katanya yang masih dalam proses pemulihan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa simpati atas nasib menimpa wanita berkenaan.

Tidak sedikit juga yang memberikan nasihat dan peringatan kepada wanita lain berhubung penjagaan makanan sewaktu melancong.

"Perkara pertama yang kena buat sebelum melancong ialah kaji tentang negara itu, tidak boleh makan secara sembarangan saja," tulis Carolina.

Ujar Louisa pula, perkongsian itu menjadi peringatan penting kepada sesiapa yang gemar mencuba makanan tempatan atau eksotik ketika melancong.

Jelasnya, keinginan untuk mencuba sesuatu yang unik mungkin datang dengan risiko, terutamanya apabila melibatkan makanan laut mentah yang bergantung kepada piawaian kebersihan ketat.

"Langkah berjaga-jaga seperti menyelidik tentang keselamatan makanan, memastikan sumber air bersih dan memilih lokasi makan diyakini selamat penting bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh membahayakan kesihatan," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram