
PASARAN perjalanan perniagaan dijangka merekodkan pertumbuhan pada tahun ini, dirangsang oleh inovasi teknologi baharu dan peningkatan perjalanan fleksibel dan berasaskan tujuan atau purpose-driven, kata Naib Presiden Eksekutif Holiday Tours & Travel (HTT), Khor Chew Hong.
Kecerdasan buatan dan analitik data, perjalanan bleisure - konsep menggabungkan perniagaan dan pelancongan - serta kesejahteraan pekerja dijangka menjadi faktor utama membentuk industri ketika perniagaan berusaha menyesuaikan program perjalanan mereka untuk memenuhi keperluan semakin berkembang.
“Pada 2024, sektor pelancongan perniagaan mencapai pemulihan kukuh, didorong kebangkitan semula penglibatan pekerja secara peribadi dan tumpuan baharu pada perjalanan strategik.
BACA LAGI: Inovasi meja ergonomik anak muda dari Pulau Pinang, tak gentar persaingan, teruskan legasi keluarga
BACA LAGI: Hobi berkhemah jadi bisnes, Kemrent Empire sasar 'one-stop centre' barangan aktiviti perkhemahan
"Organisasi semakin mengutamakan perjalanan yang memberikan nilai jelas, sementara pekerja menerima peluang untuk hubungan bermakna dan pertumbuhan profesional," katanya.
Beliau menyatakan turun naik dalam ringgit tahun lepas menyebabkan pelancong lebih mementingkan kos.
Naib Presiden Eksekutif Holiday Tours & Travel (HTT), Khor Chew Hong.
Situasi itu turut menyaksikan lebih ramai pengembara masa lapang sebagai contoh memilih destinasi di Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam yang mana nilai mata wangnya lebih rendah berbanding ringgit.
Perjalanan korporat menyaksikan impak lebih dijangka dengan perniagaan memberikan penekanan mengoptimumkan kos, memanfaatkan perkongsian perjalanan, perjanjian kumpulan dan perancangan awal untuk mengurangkan kos melibatkan perbezaan mata wang.
“Kami menjangkakan minat baharu dalam destinasi jarak jauh memandangkan kestabilan dan pengukuhan ringgit.
"Di sebalik cabaran mata wang, keinginan untuk melakukan perjalanan kekal berdaya tahan," ujarnya.
Oleh itu, syarikat dijangka terus memberi tumpuan kepada perancangan perjalanan strategik, mencapai keseimbangan antara interaksi secara peribadi dan pertimbangan belanjawan.
"Perjalanan perniagaan akan lebih tersasar, mengutamakan mesyuarat berimpak tinggi, penglibatan pelanggan dan acara yang menghasilkan pulangan ketara."
Pengalaman perjalanan pekerjaan kini tidak hanya sekadar memenuhi keperluan logistik. — Agensi
Peningkatan perniagaan
Dengan pengalaman 50 tahun dalam menyediakan penyelesaian disesuaikan untuk pelanggan korporat, percutian dan perjalanan berkumpulan, HTT telah mengukuhkan dirinya sebagai pilihan boleh dipercayai untuk pengalaman perjalanan lancar dan selamat.
"Kami mengambil pendekatan mengutamakan pengembara untuk mendapat pengalaman melangkaui logistik, bermula daripada memastikan keselesaan dan keselamatan peribadi dan menangani pertimbangan budaya atau agama," kata Chew Hong.
Tumpuan pada perkhidmatan dan penyesuaian berkualiti tinggi itu menjadikan syarikat pengurusan perjalanan itu sebagai pilihan untuk perniagaan yang mahu pendekatan lebih positif dalam merancang perjalanan mereka.
Satu kelebihan berpotensi diperolehi perniagaan daripada aktiviti perjalanan tersebut ialah semangat dan kepuasan pekerja lebih baik.
"Strategi perjalanan yang inovatif termasuk ciri tempahan diperkemas, jadual perjalanan fleksibel dan dasar berfokuskan kesihatan - menjadikan pekerja berasa dihargai dan disokong," jelas Chew Hong.
Thailand menjadi antara tumpuan perjalanan perniagaan di Malaysia. — Agensi
Ujarnya, langkah meringankan beban logistik dan tekanan perjalanan boleh meningkatkan produktiviti dan penglibatan kakitangan.
"Pekerja yang sihat dan gembira akan lebih fokus dan efektif termasuk ketika melakukan perjalanan dan apabila kembali bekerja.
"Perniagaan perlu memahami bahawa dasar perjalanan yang inovatif dan inklusif bukan sekadar langkah logistik tetapi mencerminkan komitmen mereka yang lebih luas terhadap keselamatan pekerja, kepuasan dan keterangkuman," tegas Chew Hong.
Mencapai tahap baharu
Dengan perjalanan bleisure yang semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perniagaan kini semakin peka terhadap keperluan membentuk program perjalanan korporat mereka untuk menampung perjalanan hibrid lebih fleksibel menggabungkan kerja dan bersiar-siar.
"Polisi perjalanan progresif mula membolehkan pekerja melanjutkan perjalanan perniagaan mereka untuk masa lapang, sama ada dengan menampung sebahagian kos penginapan, menyediakan hari percutian tambahan, atau menyokong jadual perjalanan pelbagai destinasi," jelas Chew Hong.
Bersama dengan merangka dasar perjalanan lebih fleksibel, syarikat memanfaatkan teknologi untuk menyokong peralihan ke arah perjalanan bleisure sambil memastikan pematuhan.
Alat dan platform digital boleh membantu memudahkan proses perancangan dan kelulusan untuk perjalanan hibrid, membolehkan pekerja menyesuaikan jadual perjalanan mereka sambil kekal dalam parameter diluluskan, kata Chew Hong.
Syarikat kini memanfaatkan teknologi untuk menyokong peralihan ke arah perjalanan bleisure sambil memastikan pematuhan. — Agensi
Dalam sudut pandang lebih luas, kemajuan dalam teknologi dijangka memainkan peranan transformatif dalam perjalanan korporat.
Sebagai contoh, platform analisis dinamik akan berguna dalam memperkasakan perniagaan untuk membuat keputusan lebih bijak dalam pengurusan dan perancangan perjalanan.
"Pada 2025, kami menjangkakan syarikat akan dapat mengakses papan pemuka (dashboard) masa nyata menggabungkan corak perjalanan, penjejakan pematuhan dan analisis kos menjadi penilaian boleh diuruskan.
"Ini akan memperkasakan perniagaan untuk membuat keputusan berdasarkan data mengenai polisi perjalanan, mengoptimumkan perbelanjaan dan meningkatkan pengalaman pengembara," katanya.
Selain itu, gabungan inovasi keselamatan seperti teknologi boleh dipakai ketika perjalanan membolehkan pengembara mengakses khidmat bantuan segera sekiranya berlaku kecemasan, memberikan jaminan dan ketenangan fikiran semasa perjalanan perniagaan.
"Masa depan perjalanan terletak pada teknologi lebih pintar dan disesuaikan yang direka untuk meningkatkan kecekapan, keselamatan dan kemudahan keseluruhan," kata Chew Hong.
"Dengan melabur dalam strategi yang mengimbangi teknologi, kesejahteraan dan nilai pengalaman, perniagaan boleh mengubah perjalanan menjadi kelebihan strategik yang mengukuhkan budaya syarikat, meningkatkan kepuasan pekerja dan mengukuhkan penjenamaan majikan," jelasnya. — The Star/NICOLE CHEW
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram