
DARI luar, rumah di atas bukit itu kelihatan seolah-olah dua tingkat.
Tapi apabila melangkah masuk, barulah kita faham ia sebenarnya sebuah rumah setingkat yang tinggi nilainya pada hati pemiliknya, Datin Norsyela Jaafar.
Silingnya tinggi, ruangnya luas dan udara terasa lapang bukan sekadar struktur, tapi setiap sudut rumah itu bercerita.
BACA LAGI: Bola rasmi EPL musim 2025/26 simbol inovasi, moden dunia bola sepak
BACA LAGI: Dari Sheikh Muszaphar hingga Zaquan Adha, 5 bapa bina keluarga besar penuh harmoni
Ia bercerita tentang cinta, masa, kesabaran dan keinginan untuk mencipta ruang yang bukan sahaja selesa, tetapi menyenangkan jiwa.
Norsyela bukanlah tipikal pencinta dekorasi putih minimalis kerana beliau gemar bermain warna-warna terang seperti oren, ungu, hijau yang membangkit emosi dan mencerminkan semangat.
Warna-warna itu disusun dengan teliti untuk menyatukan perabot, dinding dan hiasan seni yang tergantung.
"Kalau semuanya kayu dan coklat, rumah jadi suram. Saya nak warna yang hidup," katanya kepada Majoriti.
Dekorasi rumah itu juga mengambil inspirasi gaya American vibrant, hasil gabungan rasa beliau dan suami.
"Kami tak beli semua sekali gus, ada barang yang ambil masa bertahun sebelum jumpa yang sesuai."
Meja makan diperbuat dari pokok yang ditebang secara terpilih.
Kayu ada cerita
Antara perabot paling menarik dalam rumah itu adalah meja makan besar yang diperbuat daripada kayu pokok asli.
Bukan sekadar kayu biasa, tapi dari pokok yang ditebang secara terpilih, ada juga meja berat dihasilkan daripada landasan kereta api lama.
Bentuknya tidak lurus, permukaannya sedikit beralun, tapi itulah yang menjadi nilai.
"Kita letak kaca di atas supaya mudah bersihkan, dan tahan lebih lama," jelasnya.
Kerusi kulit juga menjadi pilihan utama, bukan sahaja nampak elegan, tapi juga praktikal untuk keluarga yang sibuk.
"Saya kerja, jadi saya perlukan sesuatu yang tahan lama dan mudah dijaga. Kulit ini kalau jaga betul-betul, boleh pakai sampai 20-30 tahun.”
Norsyela menyifatkan bunga dan hiasan pokok menaikkan seri terataknya.
Bunga bukan sekadar hiasan
Satu hal tak boleh dilepaskan apabila melawat rumah itu adalah peletakkan bunga-bungaan yang menghiasi hampir setiap sudut.
Sama ada bunga asli atau tiruan, setiap satu dipilih untuk menaikkan seri terataknya.
"Bagi saya, rumah tanpa bunga tiada jiwa. Ia bawa ketenangan, lembutkan ruang. Tak kisahlah bunga hidup atau artificial, yang penting ada," kata Norsyela sambil menunjukkan bunga ungu di ruang tamunya.
Malah, bunga juga muncul dalam lukisan di dinding untuk menyatu dengan warna cat, perabot dan mood keseluruhan.
Menurut Norsyela berkongsi setiap perabot, lukisan dan aksesori ada kisahnya.
Ruang dibina penuh cerita
Setiap perabot, lukisan dan aksesori ada kisahnya.
Norsyela berkongsi ada yang dibeli semasa melancong ke Bali dan diwarisi daripada ibu mentua.
Selain itu ada juga dipilih kerana kehendak anak-anak seperti bilik One Piece diinspirasikan oleh anak lelakinya yang meminati anime Jepun tersebut.
Dekorasi rumah itu bukan sekadar soal estetika, ia adalah gabungan rasa, memori dan fungsi dibentuk perlahan-lahan sepanjang 14 tahun tinggal di sini.
Bagi Norsyela, mencipta sebuah rumah bukan tentang membeli perabot mahal atau meniru katalog, tetapi bagaimana menyusun kehidupan dan kasih sayang ke dalam setiap inci ruang yang ada. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram