
JEPUN terus menjadi antara destinasi kegemaran rakyat Malaysia, namun pelancong dinasihatkan untuk peka dengan beberapa peraturan dan perubahan baharu yang mula diperkenalkan oleh kerajaan negara matahari terbit itu.
Dengan lonjakan jumlah pelancong pascapandemik, Jepun sedang menyesuaikan sistem pelancongan mereka untuk memastikan pengalaman yang lebih selesa dan lestari.
Berikut adalah antara enam peraturan dan kemas kini penting yang perlu diketahui sebelum berlepas ke Jepun:
BACA LAGI: Dari gudang baju lama ke butik, Suna angkat semula keindahan kebaya dalam gaya Gen Z
BACA LAGI: Dari gudang baju lama ke butik, Suna angkat semula keindahan kebaya dalam gaya Gen Z
1. Cukai pelancong dijangka naik
Jepun sedang mempertimbangkan untuk menaikkan cukai pelancong antarabangsa yang ketika ini sebanyak ¥1,000 (RM30) kepada antara ¥3,000 (RM88) hingga ¥5,000 (RM146).
Cukai itu dikenakan semasa anda meninggalkan Jepun dan akan terus dimasukkan ke dalam harga tiket penerbangan atau kapal laut.
Langkah tersebut bertujuan menyelenggara infrastruktur pelancongan, termasuk menaik taraf lapangan terbang dan sistem pengangkutan serta mengawal kesesakan di destinasi popular.
Cukai tambahan yang diumumkan termasuk cukai penginapan di Osaka dan Kyoto, bermula pada September 2025 dan Mac 2026.
Selain itu, cukai kemasukan ke Istana Himeji mungkin naik kepada ¥2,500 (RM73) khusus untuk pelancong antarabangsa.
Jepun sedang menyesuaikan sistem pelancongan mereka untuk memastikan pengalaman yang lebih selesa dan lestari. — Agensi
2. Rekod lonjakan pelancongan
Jumlah pelancong ke Jepun melonjak mendadak, mencecah sembilan juta pelawat pada 2024 dan dijangka meningkat kepada 40 juta pada 2025.
Faktor utama ialah nilai yen yang lemah menjadikan pelancongan lebih murah, dengan destinasi pilihan seperti Tokyo, Kyoto dan Osaka.
Musim terbaik untuk melancong adalah ketika musim bunga (Mac hingga Mei), musim luruh (September hingga November), manakala musim sejuk (Disember hingga Februari) sesuai untuk onsen dan ski.
3. Sistem prapendaftaran laman web Visit Japan
Pelancong kini digalakkan menggunakan sistem laman web Visit Japan untuk mempercepat proses imigresen dan kastam.
Hanya perlu daftar maklumat pasport, penerbangan dan penginapan. Sistem akan menjana kod respon pantas (QR) untuk ditunjukkan semasa ketibaan.
Musim bunga adalah antara waktu terbaik untuk melancong di Jepun. — Agensi
4. Barangan dilarang masuk ke Jepun
Antara barangan yang dilarang sama sekali ialah narkotik seperti heroin, ganja, kokain dan sebagainya.
Selain itu, ubat perangsang seperti methamphetamine dan amphetamine, ubat psikotropik termasuk sesetengah ubat anti kebimbangan juga tidak dibenarkan.
Sebaliknya, barangan yang dibenarkan antaranya merangkumi ubat preskripsi (sehingga satu bulan), ubat over-the-counter (hingga dua bulan) serta vitamin dan suplemen untuk kegunaan sendiri.
Produk makanan dilarang pula adalah seperti daging proses dan makanan lebihan daripada penerbangan. Bagaimanapun, produk tenusu dibenarkan dalam kuantiti kecil (tidak kurang 10 kilogram).
5. Perubahan sistem bebas cukai bermula 2026
Proses semasa beli-belah bebas cukai di Jepun:
Pengecualian cukai: Anda akan menerima harga bebas cukai serta-merta semasa pembayaran di kedai yang mengambil bahagian.
Perbelanjaan minimum: Anda perlu berbelanja sekurang-kurangnya ¥5,000 (RM146) dalam satu kedai pada hari yang sama.
Jenis barangan: Pembelian dibahagikan kepada barangan umum seperti elektronik atau pakaian dan barang guna habis seperti makanan atau kosmetik.
Peraturan pembungkusan: Barang guna habis mesti dibungkus dalam beg kedap khas dan tidak boleh dibuka sehingga anda meninggalkan Jepun.
Pasport diperlukan: Anda wajib menunjukkan pasport untuk setiap pembelian bebas cukai.
Perubahan akan datang bermula 2026:
Kaedah pembayaran: Anda perlu membayar harga penuh termasuk cukai semasa membuat pembayaran di kedai.
Mendapatkan pulangan cukai: Anda akan menuntut pulangan cukai di kaunter kastam ketika meninggalkan Jepun dengan menunjukkan resit dan barangan dibeli.
Tiada had perbelanjaan: Tiada jumlah minimum atau maksimum pembelian yang diperlukan untuk menuntut pulangan cukai.
Pembungkusan lebih mudah: Anda tidak perlu lagi menggunakan beg kedap khas untuk barang guna habis.
Kategori barangan dipermudah: Barangan umum dan guna habis tidak lagi diklasifikasikan secara berasingan.
Kerajaan Jepun akan melaksanakan perubahan sistem bebas cukai bermula 2026. — Agensi
Cara bersedia untuk sistem baharu:
Simpan resit: Simpan semua resit bagi barangan yang ingin anda tuntut pulangan cukai.
Peruntukan masa tambahan: Rancang masa tambahan di lapangan terbang untuk menyelesaikan proses tuntutan cukai.
Kemas barangan dengan bijak: Pastikan barangan dibeli mudah diakses dalam bagasi untuk pemeriksaan pantas oleh kastam.
6. Peraturan baharu kawasan merokok
Merokok di tempat awam adalah dilarang, namun Jepun menyediakan lebih 140 kawasan khas untuk merokok, dijangka meningkat ke 300 lokasi menjelang Ekspo Dunia.
Mulai April 2025, restoran kurang dari 30 meter persegi perlu sediakan bilik merokok khas atau menjadi zon bebas asap rokok.
Sentiasa semak papan tanda untuk mengetahui kawasan yang dibenarkan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram