
FIGURA seni tanah air, Rita Rudaini, 49, terus menjadi inspirasi ramai apabila teguh memikul tanggungjawab sebagai ibu tunggal dalam membesarkan dua anak lelakinya.
Berpisah dengan bekas suami yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak pada September 2013, wanita kelahiran Kangar, Perlis itu tidak pernah menoleh ke belakang.
Beliau memilih untuk terus melangkah ke hadapan, fokus pada tanggungjawab sebagai ibu dan ketua keluarga kepada dua permata hatinya, Airit Rayyan Rizqin, 16, dan Airit Qaqa Arjuna, 14.
BACA LAGI: Dari gudang baju lama ke butik, Suna angkat semula keindahan kebaya dalam gaya Gen Z
Membesarkan anak lelaki bersendirian bukanlah satu tugasan yang mudah, namun pelakon filem Mami Jarum dan Anak Mami Kembali itu sentiasa cekal, tenang dan tabah dalam mengharungi cabaran hidup sebagai wanita berdikari.
Lebih mengagumkan, tidak hanya fokus pada keluarga, beliau bahkan masih aktif meneruskan kerjaya dalam dunia lakonan dan perniagaan.
Dengan ketegasan, prinsip hidup dan kasih sayangnya itu, tidak hairanlah pemilik nama lengkap Rita Rudaini Mokhtar dianugerahkan darjah kebesaran dan pingat negeri Perlis sempena ulang tahun keputeraan ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Dalam majlis penuh istiadat di Istana Arau, pada Isnin, Rita menerima Pingat Jasa Baik (PJB) bagi mengiktiraf sumbangan dan pencapaian dalam bidang seni tanah air terutama lakonan serta usaha murninya dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.
Berkecimpung dalam bidang seni hampir 28, finalis Dewi Remaja 98/99 itu menyifatkan pengiktirafan tersebut satu penghormatan besar yang cukup bermakna buat dirinya dan dua anak.
"Terima kasih kepada Exco Kerajaan Negeri yang terlibat atas pengiktirafan ini.
"Insya-ALLAH, akan ada banyak aktiviti bersama mereka nanti. Tidak terkecuali kepada semua pihak seperti penerbit, pengarah dan penggiat seni yang sentiasa menghargai bakat saya.
"Tidak dilupakan kepada semua rakan media dan peminat yang tanpa henti memberi sokongan dari dulu sampai sekarang," katanya menerusi hantaran di Instagram miliknya pada Selasa.
Kejayaan aktres popular tersebut bukan hadir sekelip mata, sebaliknya ia bermula sejak hari pertama beliau bergelar ibu tunggal lebih sedekad lalu.
Menyingkap kisah hidup wanita itu, berikut antara lima kejayaan Rita dalam menguruskan anak-anaknya yang boleh menjadi inspirasi kepada wanita lain:
Kejayaan aktres popular tersebut bermula sejak hari pertama beliau bergelar ibu tunggal. — Instagram/ritrud727
1) Besarkan anak
Sejak berpisah, Rita membesarkan dua anaknya sendiri selama hampir 15 tahun.
Tanpa menagih simpati atau bergantung kepada sesiapa, Rita menggalas tanggungjawab besar sebagai ibu dan bapa.
Beliau dikatakan membesarkan anak-anak tanpa menerima nafkah daripada bekas suami, hak yang sepatutnya diterima setiap ibu tunggal.
Namun, Rita menjadikan kekurangan itu sebagai kekuatan. Dari saat beliau mengisi borang persekolahan sendiri, membawa anak ke hospital dalam kesibukan kerja seni, sehinggalah memastikan pendidikan dan akhlak mereka dijaga dengan rapi segala-galanya dilakukan tanpa keluhan.
2) Pecah rekod olahraga
Anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin muncul juara pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sabak Bernam dalam acara 200 dan 4X400 meter (m), Ogos tahun lalu.
Remaja itu turut meleburkan rekod lebih 20 tahun bagi acara 100m dalam kejohanan sama, sehari sebelumnya.
Selain Airit Rayyan, adiknya Qaqa Arjuna juga menunjukkan minat dan pelibatan aktif dalam pelbagai sukan sekolah seperti bola sepak, renang, dan silat.
Prestasi luar biasa itu menjadi bukti anak Rita bukan sahaja mewarisi ketegasan dan disiplin ibunya, malah memiliki semangat juang tinggi serta potensi besar dalam sukan olahraga.
Airit Rayyan memiliki semangat juang tinggi dan potensi besar dalam sukan. — Instagram/ritrud727
3) Cemerlang akademik
Selain sukan, Airit Rayyan juga cemerlang dalam akademik.
Meneruskan kecemerlangan pada 2024 dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (GPA) 3.99, beliau mengharumkan nama keluarga apabila memperoleh keputusan memberangsangkan dalam peperiksaan Mac lalu dengan GPA 3.78.
Atas prestasi konsisten itu, Airit Rayyan turut menerima Anugerah Pengetua MRSM Sungai Besar.
Lebih membanggakan, di sebalik kesibukan akademik dan kegiatan sukan, beliau juga merupakan seorang penghafal al-Quran.
Akui Rita, sebagai ibu, beliau tidak pernah meletakkan tekanan kepada anak-anak.
"Yang penting ialah nilai hidup dan tanggungjawab mereka terhadap ilmu serta agama," ujarnya.
Qaqa Arjuna juga menunjukkan minat dan pelibatan aktif dalam pelbagai sukan sekolah seperti bola sepak. — Instagram/ritrud727
4) Elak terjebak dunia hiburan terburu-buru
Walaupun bergelar selebriti terkenal, Rita tidak menggalakkan anak-anak terlibat dalam dunia hiburan secara tergesa-gesa.
Sebaliknya, beliau memberi ruang kepada mereka untuk membesar secara normal dan menumpukan perhatian pada pelajaran serta aktiviti remaja yang sihat.
5) Anugerah Ibu Ikon
Rita menerima anugerah Ibu Ikon sempena Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2024/2025 pada September 2024.
Anugerah itu dianjurkan oleh Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
Pemilihan tersebut dibuat berdasarkan penilaian sebagai ibu tunggal yang cekal dan berdedikasi dalam mendidik anak-anak sehingga berjaya.
Usaha gigih Rita dalam mendidik anak-anaknya jelas membuahkan hasil bukan sekadar dalam kerjaya beliau, tetapi lebih penting lagi dalam kejayaan menyeluruh anak-anaknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram