![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/05/3152296.jpg)
MELAYARI bahtera perkahwinan sememangnya indah, lebih-lebih lagi buat pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Namun, ia tidak lengkap tanpa kehadiran ujian dan cabaran asam garam dalam kehidupan suami isteri.
Sesetengah pasangan bagaimanapun gagal berdepan dengan ujian sehingga perceraian berlaku. Lebih parah, jika sesebuah 'masjid' itu runtuh berikutan perjanjian taklik yang ditetapkan oleh suami atau isteri yang kadangkala tidak masuk akal.
Perjanjian taklik dalam perkahwinan adalah aspek penting dalam undang-undang syariah sering disalah anggap, terutamanya oleh suami yang melafazkan taklik tanpa memikirkan akibatnya. Ia bukan lafaz boleh diucapkan sewenang-wenangnya, tetapi mempunyai kesan mendalam dalam kehidupan perkahwinan.
Fatimah menjelaskan, kurangnya pengetahuan dalam kalangan suami tentang undang-undang ini sering menyebabkan taklik dilafazkan sesuka hati.
Menurut Peguam Syarie, Fatimah Majemi, syarat taklik ini bukan sahaja dikenakan ke atas isteri, tetapi juga boleh dijatuhkan kepada suami
"Taklik ini syaratnya tak semestinya diletakkan kepada isteri. Ia boleh juga dikenakan kepada suami bergantung kepada keadaan kes itu sendiri," ujar Fatimah, merujuk kepada pelbagai kes yang ditemuinya apabila suami melafazkan ta'liq tanpa memahami implikasi.
Fatimah memberi contoh mengenai suami yang melafazkan taklik syarat bukan sahaja menyusahkan isteri, tetapi diri sendiri.
"Seorang suami misalnya, membuat taklik syarat isteri perlu meminta izin setiap kali keluar rumah. Jika tidak, talak akan jatuh. Bayangkan, dia sendiri akan terganggu apabila dalam keadaan bekerja atau ada urusan lain dan tidak dapat menjawab panggilan isteri," kata Fatimah.
Senario itu membawa gambaran bahawa jika si suami tidak memahami dengan betul mengenai perjanjian taklik, maka ia juga memberi kesan kepada kehidupan mereka.
Salah satu perkara ditekankan oleh Fatimah adalah berkaitan lafaz taklik hanya sah jika dilafazkan oleh suami, bukan isteri.
Justeru, suami harus memiliki ilmu mencukupi tentang hukum munakahat, khususnya ketika mereka ingin melafazkan taklik.
"Suami perlu tahu, sebab taklik itu adalah lafaz daripada suami. Kalau isteri yang buat taklik, tak jadi taklik," jelasnya lagi.
Jika suami tidak memahami dengan betul mengenai perjanjian taklik ia akan memberi kesan dalam kehidupan rumah tangga. — Gambar hiasan/Freepik
Fatimah menambah, kurangnya pengetahuan dalam kalangan suami tentang undang-undang ini sering menyebabkan taklik dilafazkan sesuka hati, tanpa memikirkan kesan jangka panjang.
"Kami menemui banyak kes yang mana suami melafazkan taklik hanya kerana masalah peribadi dengan keluarga mentua atau masalah lain dalam perkahwinan.
"Misalnya, dia tak suka ibu bapa isteri. Jadi, letakkan taklik, tak boleh keluar rumah. Sampai bila-bila isteri tak boleh nak balik," jelasnya.
Selain itu, Fatimah mengingatkan, taklik dilafazkan tidak boleh ditarik balik. Sekiranya syarat dalam taklik dilanggar, talak akan jatuh, dan suami perlu berhadapan dengan akibatnya.
"Kalau taklik itu sudah tiga kali dilafazkan, ia tidak boleh ditarik balik lagi. Ini akan menyebabkan perceraian kekal," tegasnya.
Fatimah juga menasihati agar suami berhati-hati sebelum melafazkan taklik kerana ia boleh mengikat mereka dalam situasi lebih rumit.
"Kami pernah jumpa kes, ramai suami menyesal selepas melafazkan taklik tanpa berfikir panjang. Jadi, fikir baik-baik sebelum membuat keputusan kerana ia bukan sahaja mengikat isteri, tetapi juga suami," ujarnya.
Taklik yang dilafazkan dengan niat yang salah atau tanpa pengetahuan yang jelas boleh menyebabkan perceraian yang kekal sekali gus mengubah hala tuju kehidupan pasangan tersebut.
Justeru, suami dan isteri perlu bekerjasama untuk memastikan mereka memahami hak dan tanggungjawab masing-masing dalam perkahwinan dan bertindak dengan bijak agar hubungan kekal harmoni. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram