
USAHA untuk mempertingkatkan pergerakan pelajar dan ahli akademik dalam rantau ASEAN, yang lazimnya dikenali sebagai mobiliti pelajar dan akademik, merupakan antara perkara yang dibincangkan serta dipersetujui dalam Sidang Meja Bulat Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN dengan tema, 'Menggambarkan Dekad Akan Datang dan Seterusnya' pada 19 Jun lalu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, perkara tersebut meliputi usaha untuk memudahkan pertukaran pelajar di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah, selain pertukaran tenaga akademik dari negara-negara ASEAN lain untuk pendidikan mengajar di universiti atau institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.
"Tambahan lagi, perbincangan turut menyaksikan persetujuan untuk menubuhkan sebuah badan khusus bagi mengurus hal berkaitan biasiswa, dan Malaysia menerajui inisiatif ini melalui cadangan platform ASEAN Global Exchange for Mobility and Scholarship (ASEAN Gems),” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut.
BACA LAGI: Di ambang tarif elektrik baharu, pengguna ambil sikap 'tunggu dan lihat'
Zambry berkata, platform berkenaan akan dimanfaatkan untuk mendapatkan sumber kewangan dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi penyediaan biasiswa.
ASEAN-GEMS merupakan platform sehenti maklumat mengenai program biasiswa dan mobiliti serantau di seluruh ASEAN yang dilancarkan pada 19 Jun baru-baru ini.
Beliau berkata, sepanjang sidang meja bulat itu, negara anggota ASEAN turut bersetuju untuk mengiktiraf dan menyokong usaha berterusan dalam membangunkan pelan hala tuju dan rancangan kerja bagi mewujudkan ruang bersama dalam pendidikan tinggi di negara masing-masing.
Sidang meja bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN antara lain bagi membuka ruang lebih luas untuk kerjasama serantau dalam bidang pendidikan tinggi.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama serantau dan penyelarasan dalam bidang pendidikan tinggi.
Antara perkara lain yang turut dipersetujui ialah penubuhan jawatankuasa pemandu yang terdiri daripada wakil setiap negara anggota ASEAN.
Jawatankuasa tersebut, katanya, akan bertanggungjawab merumuskan dan memantau pelaksanaan pelan hala tuju dan rangka kerja yang dicadangkan.
“Kita juga bersetuju untuk menubuhkan satu sistem yang memudahkan pergerakan graduan merentasi negara ASEAN.
“Ia bagi membolehkan graduan bergerak dengan lebih bebas dan menyumbang kepakaran mereka dalam pelbagai bidang, seterusnya memupuk perkongsian ilmu dan kerjasama rentas sempadan,” katanya.
Negara-negara ASEAN juga bersetuju untuk mewujudkan rangkaian dan platform kerjasama di peringkat universiti, yang melibatkan semua institusi pendidikan tinggi di seluruh ASEAN.
“Dalam konteks Malaysia, pendidikan tinggi tidak hanya merangkumi universiti, tetapi juga politeknik dan kolej komuniti yang turut serta dalam usaha serantau ini,” tambahnya.
Zambry menyifatkan Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN sebagai platform membina masa depan pendidikan yang lebih inklusif dan mampan.
Zambry berkata, inisiatif itu turut disokong dengan pelancaran portal Global ASEAN yang berfungsi sebagai hab digital untuk kerjasama pendidikan, penyelidikan dan peluang pekerjaan di seluruh rantau ASEAN.
Selain itu, menurut beliau, perkara lain yang dibincangkan termasuk cadangan untuk menubuhkan rangkaian dan platform kerjasama antara IPT ASEAN serta memastikan hasil perbincangan tersebut dibawa ke Mesyuarat Ketua-Ketua Negara ASEAN pada Oktober nanti.
“Bagi mencapai objektif ini, sebuah jawatankuasa di peringkat ASEAN telah ditubuhkan dan dimuktamadkan semasa perbincangan meja bulat tersebut," ujarnya.
Terdahulu, salah seorang perwakilan dari Filipina, Dr. Shirley Castaneda Agrupis menyifatkan sidang meja bulat itu sebagai platform yang baik untuk ASEAN dalam membincangkan masa depan pendidikan tinggi di rantau ini.
Beliau memuji Malaysia kerana menjadi tuan rumah acara yang disifatkannya sebagai peluang baik untuk semua negara anggota ASEAN.
“Saya ingin memuji kerajaan Malaysia kerana menganjurkan Sidang Meja Bulat Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN: Menggambarkan Dekad Akan Datang dan Seterusnya," katanya.
Pengerusi Suruhanjaya bagi Pendidikan Tinggi Filipina itu berkata, mesyuarat tersebut memberi peluang kepada negara ASEAN untuk bertukar idea, membuat penanda aras amalan terbaik dan mengenal pasti kelemahan.
Beliau berkata, dalam pendidikan tinggi, adalah mustahak untuk memiliki pembangunan penyelidikan dan amalan inovasi di rantau ini.
“Penyelidikan adalah salah satu fungsi teras pendidikan tinggi dan amat penting untuk memiliki penyelidikan berkualiti tinggi di rantau ini," katanya.
Shirley juga berpendapat, perlu ada satu platform bersama untuk semua negara anggota bertukar amalan terbaik tentang bagaimana pendekatan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi setiap keluarga di rantau ini dapat dilaksanakan.
Beliau berpendapat, perkara itu hanya dapat dicapai melalui pendidikan, yang cukup penting dalam memecahkan kitaran kemiskinan.
Zambry (kiri) berpeluang mengadakan pertemuan berasingan dengan wakil ICESCO, Salim sempena Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN.
Sementara itu, seorang lagi perwakilan, Ketua Pengarah Pertubuhan Dunia Islam bagi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (ICESCO), Dr. Salim M. AlMalik berkata, beliau berbesar hati dijemput ke acara tersebut.
Beliau berkata, dia diberi peluang untuk menyampaikan ucapan berkenaan isu keciciran pelajar dalam kalangan negara anggota organisasi tersebut.
“Statistik menunjukkan bahawa 250 juta kanak-kanak tidak bersekolah, dan apa yang kita lakukan untuk menangani isu ini?
“Sungguh malang rasanya apabila melihat majoriti daripada mereka berada di negara anggota kami, khususnya di Sub-Sahara Afrika, yang mana lebih 70 juta pelajar tidak bersekolah.
“Kami (ICESCO) telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyelesaikan isu ini, terutamanya melibatkan keciciran pelajar perempuan.
"Ia menunjukkan hasil memberangsangkan menerusi langkah yang kami ambil bagi menangani isu berkenaan,” katanya.
Salim turut menyatakan bahawa beliau gembira melihat visi dan kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditemui baru-baru ini, yang mana mereka berbincang mengenai kepentingan Kecerdasan Buatan (AI) dan bagaimana untuk mengintegrasikannya dalam semua universiti di sini.
“Rakyat Malaysia perlu sedar akan kepentingan AI, namun pada masa sama harus mengambil kira nilai-nilai Islam dalam penggunaannya seperti bila untuk digunakan, bagaimana dan oleh siapa,” katanya.
Beliau juga berharap ICESCO dapat menjadi rakan strategik dalam Festival of Ideas yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan November nanti.
Beliau menyifatkan lawatan itu sangat berfaedah dan produktif, serta yakin bahawa akan ada lebih banyak kerjasama antara ICESCO dan Malaysia yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada kedua-dua pihak, tetapi juga kepada negara anggota ICESCO.
Mesyuarat tersebut dihadiri oleh menteri-menteri pendidikan tinggi dari negara anggota ASEAN dan Timor Leste, serta wakil kanan dari Myanmar dan Sekretariat ASEAN
Selain Zambry, antara yang turut hadir ialah Menteri Pendidikan Brunei, Datin Seri Setia Dr Romaizah Mohd Salleh; Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia, Brian Yuliarto serta Menteri Kanan bagi Kemampanan, Alam Sekitar dan Pendidikan Singapura, Dr Janil Punthucheary. — Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram