
DI sebuah kampung kecil di pesisir selatan Maghribi, sekumpulan wanita berkumpul di sebuah rumah untuk menghasilkan karya seni tekstil secara bersama-sama, sambil menjana pendapatan sendiri.
Beberapa orang menyulam hasil terkini mereka dalam bengkel khas untuk wanita di kampung yang dihuni sekitar 400 orang itu. Hasil seni tersebut turut dipamerkan di peringkat antarabangsa.
“Projek ini telah mengubah hidup saya,” kata bekas pelajar kejururawatan, Hanane Ichbikili, 28, yang kini menjadi pengarah kreatif projek tersebut.
“Sebelum ini, saya tidak pernah pegang jarum sulaman pun,” tambahnya.
BACA LAGI: Angkasawan India pertama titip nota jentik emosi buat isteri sebelum berlepas ke ISS
Kebolehan menyulam sambil menjana pendapatan membawa makna yang besar kepada para wanita terlibat. — Agensi
Hanya 19 peratus wanita di Maghribi mempunyai pekerjaan tetap menurut data rasmi. Di kawasan luar bandar, mereka lebih terkesan oleh kemiskinan, kerja tanpa gaji dan kekurangan peluang pekerjaan.
Sehubungan itu, seorang seniman berdarah campuran Maghribi-Perancis mahu mencipta perubahan.
Margaux Derhy menubuhkan bengkel sulaman ini pada tahun 2022 di kampung asal bapanya, Sidi R’bat, terletak kira-kira 70 kilometer (km) di selatan Agadir demi memenuhi impiannya untuk menghasilkan seni yang membawa makna.
Projek ini menggunakan tekstil dan gambar lama untuk meneroka warisan keluarganya sebelum mereka meninggalkan Maghribi pada 1960-an.
Potret dan pemandangan lama dalam warna sephia itu diubah menjadi kanvas besar daripada sutera dan linen.
Negara Afrika Utara itu dahulunya merupakan tanah jajahan Perancis sebelum merdeka pada tahun 1956.
Lebih sekadar seni
Bagi Derhy, projek ini bukan sekadar usaha peribadi, ia turut membuka peluang pekerjaan kepada wanita di kampung nelayan kecil itu.
“Saya mahu terlibat secara langsung di lapangan,” katanya sambil menjelaskan bahawa dia menggaji 10 wanita tempatan bekerja sepenuh masa dengan gaji melebihi gaji minimum sektor swasta di Maghribi iaitu 3,045 dirham (RM1,410).
Tangan-tangan wanita ini menyulam di atas bingkai yang dahulunya digunakan oleh rumah sulaman terkenal dunia, Maison Lesage yang pernah bekerja dengan nama-nama besar dalam dunia fesyen.
Proses kreatif dalam bengkel ini dilakukan secara bersama.
Derhy akan melakar rekaan asas terlebih dahulu, kemudian pasukannya akan berbincang dan membuat keputusan bersama untuk memilih jenis benang dan padanan warna yang sesuai bagi setiap bahagian sulaman.
Hanya 19 peratus wanita Maghribi mempunyai pekerjaan tetap dan di kawasan luar bandar, mereka khususnya terkesan oleh kemiskinan, kerja tanpa gaji dan kekurangan peluang. — Agensi
Satu kanvas boleh mengambil masa sehingga lima bulan untuk disiapkan.
Hasil karya yang telah siap dijual pada harga mencecah US$5,620 (RM23,823), kemudian dipamerkan di Marrakesh, Paris serta Brussels. Pameran seterusnya dijadualkan berlangsung di Casablanca dan Dubai.
Bengkel ini juga membantu mencabar pandangan stereotaip terhadap wanita di kampung itu.
“Pada awalnya, ada wanita yang terpaksa datang secara senyap-senyap kerana ia dianggap tidak wajar,” kata Khadija Ahuilat, 26, yang bertanggungjawab menguruskan operasi bengkel.
Satu nikmat
Katanya, ada yang menganggap projek ini 'mengarut' dan wanita sepatutnya hanya duduk di rumah.
“Tapi kami berjaya ubah persepsi itu. Saya sangat bangga kerana dapat menyumbang kepada perubahan ini, walaupun kecil.”
Ibunya, Aicha Jout, 50, seorang balu yang dahulu mencari remis dan menternak haiwan untuk menyara keluarga, kini menjadi salah seorang penyulam.
“Banyak yang berubah untuk saya sejak berada di sini. Saya suka idea menyulam di atas gambar dan juga mengajar kemahiran ini kepada wanita lain," katanya.
Jout mula belajar menyulam ketika berusia 12 tahun, dan kini melatih kebanyakan rakan sekerjanya yang juga bujang atau balu.
“Di sini memang tak banyak peluang kerja, jadi apabila peluang ini muncul, saya tak tunggu lama,” kata Haddia Nachit, 59, antara penyulam paling cekap di bengkel itu.
Gelaran mesranya di kalangan rakan-rakan ialah 'TGV' sempena nama kereta api laju Perancis.
Duduk di sebelah Nachit, Fadma Lachgar, juga berusia 59 tahun, berkata kerja ini membolehkannya membantu keluarganya.
“Dapat menyulam semula pada usia ini, selepas 20 tahun berhenti, memang satu nikmat,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram