Tutup kemas buku lama, buka buku baharu sarat harapan, selebriti wanita kongsi refleksi diri, cari reda ILLAHI


  • Cinta
  • Jumaat, 27 Jun 2025

Beberapa personaliti wanita tanah air berkongsi refleksi diri dan perubahan yang dilalui sempena tahun baharu Islam.

AWAL Muharam yang menandakan permulaan tahun baharu dalam kalendar Islam menjadi detik terbaik untuk melakukan penghijrahan diri ke arah hidup lebih bermakna.

Buat para wanita, hijrah tidak cuma merujuk kepada perpindahan fizikal semata-mata, malah lebih besar ertinya apabila melibatkan perubahan akhlak, niat dan cara hidup demi mencari keredaan ALLAH SWT.

Sempena tahun baharu Islam ini, beberapa personaliti wanita tanah air turut tampil berkongsi refleksi diri dan perubahan yang mereka lalui, sebagai inspirasi kepada masyarakat.

BACA LAGI: [VIDEO] Dibawa guna trak khas, kain Kiswah Kabaah dikawal rapi dari kilang menuju Masjidil Haram

BACA LAGI: Sangat teringin... Doakan saya istiqamah — Fasha Sandha

Nabila berkongsi refleksi peribadi mengenai perjalanan hidupnya sepanjang tahun lalu. 

Antara yang mencuri perhatian ialah penyanyi, Zizi Kirana yang mencoretkan pesanan penuh pengharapan di laman Instagramnya.

Menerusi hantaran tersebut, beliau meluahkan rasa syukur terhadap setiap ujian dan perjalanan hidup yang dilaluinya sepanjang tahun lalu.

"Tahun ini kita diuji, kita jatuh, tapi ALLAH masih beri peluang. Alhamdulillah, walau tak semua faham perjalanan kita, ALLAH tak pernah jauh.

"Ya Rabb, ampuni yang lepas, reda yang akan datang dan jangan biarkan aku lalui semuanya tanpa-MU," tulisnya pada Khamis.

Sementara itu, penyanyi dan pelakon, Nabila Razali juga berkongsi refleksi peribadi mengenai perjalanan hidupnya sepanjang tahun lalu. 

Ibu kepada Nik Muhammad itu menggambarkan bagaimana kehidupannya dipenuhi dengan pelbagai fasa, ada kehilangan, kedatangan, air mata dan juga rasa syukur.

“Tahun ini banyak benda berubah, tapi satu yang pasti, I grew,” katanya.

Tangkap layar perkongsian Lisa Surihani di Instagram Story beliau.

Beliau turut menyeru agar semua belajar meredai hal yang sudah berlalu dan menyambut tahun baharu Islam dengan penuh harapan.

“Apa pun yang berlaku, kita tutup buku lama dengan reda dan buka buku baharu dengan harapan,” ungkap beliau.

Dalam pada itu, pelakon dan aktivis kemanusiaan, Hazwani Helmi tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan selamat menyambut Awal Muharram, sambil menyeru umat Islam memulakan tahun baharu dengan semangat dan kekuatan iman yang diperbaharui.

Hazwani turut menitipkan doa buat pengikut dan rakan seperjuangannya agar mereka yang sedang mencari jawapan dalam hidup, juga dikurniakan ketenangan dan kebijaksanaan dalam menerima segala ketentuan.

Hazwani (duduk kiri) kongsi momen bertemu tokoh dakwah tersohor tanah air, Nooh Gadot.

"Saya doakan agar kalian yang masih tercari jawapan dalam hidup, pun mula nampak mewahnya seni berdamai dengan takdir," ujarnya.

Beliau sempat berkongsi, impian sejak kecil untuk bertemu tokoh dakwah tersohor tanah air, Datuk Nooh Gadot akhirnya tercapai menjelang penghujung Hijrah 1446.

"Akhirnya tahun ini, sebelum berakhir tahun 1446H, ALLAH makbulkan hasrat ini dengan mempertemukan insan yang saya teringin sangat nak jumpa," bicaranya.

Tidak hanya itu, beberapa lagi selebriti wanita terkenal tanah air turut mengambil peluang berkongsi doa dan kata-kata semangat di media sosial sebagai tanda penghargaan serta harapan sempena tahun baharu Islam.

Antaranya termasuk Lisa Surihani, Heliza Helmi dan Fouziah Gous yang memuat naik hantaran berbentuk Instagram Story, menyampaikan doa-doa indah buat diri sendiri dan pengikut mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram