Meski tak pernah jejak kaki ke universiti, bintang Grey's Anatomy penuhi impian ibu bapa peroleh ijazah sebenar


  • Sukses
  • Sabtu, 21 Jun 2025

Sandra ketika dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran oleh Dartmouth College pada Selasa lalu. — Instagram/iamsandraohinsta

BAGI pelakon berdarah Korea-Kanada, Sandra Oh, kejayaan bukan sekadar meraih anugerah atau populariti, sebaliknya keberanian untuk menerima kekurangan dan menjadikannya satu kekuatan.

Bintang siri Grey’s Anatomy itu baru-baru ini mencuri perhatian apabila dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran oleh universiti berprestij Ivy League di Amerika Syarikat (AS), Dartmouth College pada Selasa lalu.

Penganugerahan itu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan inspirasi beliau dalam dunia seni serta masyarakat umum.

BACA LAGI: [VIDEO] Jualan cecah 50,000 botol sebulan, pengasas Beauboss Perfume tak main 'cheat code' 

BACA LAGI: Berkhidmat sejak 1999, Metreweli wanita pertama ketuai M-I6, cipta sejarah agensi perisikan

 

 

Lebih mengagumkan, Sandra mengakui beliau tidak pernah menjejakkan kaki ke mana-mana institusi pengajian tinggi sebelum ini.

“Saya cuma pernah lakonkan watak yang pergi ke universiti,” katanya secara berseloroh ketika berucap pada majlis graduasi 2025.

Walau tanpa laluan akademik formal, Sandra membuktikan bahawa kejayaan wanita tidak semestinya bersandar pada laluan konvensional.

Sebaliknya ketekunan, kesungguhan dan kejujuran terhadap diri sendiri adalah aset sebenar yang membentuk pencapaian luar biasa dalam hidupnya.

Impian ibu bapa

Lebih mengharukan, ucapan pelakon drama bersiri popular, Killing Eve itu berjaya merealisasikan impian ibu bapanya, sekali gus mencipta momen menyentuh hati pada majlis graduasi berprestij itu.

“Terima kasih kerana bantu penuhi impian ibu bapa untuk saya memperoleh ijazah sebenar.

"Kali ini, terus dapat ijazah kedoktoran!” ujarnya sambil disambut dengan tepukan gemuruh dan sorakan meriah daripada ribuan graduan dan tetamu yang hadir.

Menutup ucapan dengan penuh simbolik, beliau mengajak graduan untuk melakukan dance it out sebagai penghormatan kepada watak ikoniknya dalam Grey’s Anatomy, Dr. Cristina Yang, yang menjadikan tarian sebagai cara mengekspresikan emosi dan mengatasi tekanan.

Sandra memegang watak sebagai Dr. Cristina Yang dalam siri Grey’s Anatomy.

Kebaikan

Sandra dalam pada itu turut mendedahkan, momennya bersama Grey’s Anatomy merupakan tempoh paling mencabar dari segi fizikal dan emosi.

“Saya tak boleh lari daripada kemurungan, tidak boleh serahkan serangan panik kepada orang lain.

"Hidup hanya berubah apabila saya berhenti memaksa keadaan dan mula menerima ketidakselesaan dengan terbuka,” katanya.

Beliau turut menekankan, kebaikan hati bukanlah satu kelemahan, tetapi kekuatan sejati yang dibentuk daripada keberanian, hormat dan empati.

“Kebaikan ialah asas kepada kekuatan yang tahan lama. Bolehkah kamu peluk kesedihanmu dengan kelembutan? Itulah kebaikan sebenar,” katanya yang mula terlibat dalam lakonan ketika berumur 10 tahun di sekolah rendah.

Bagi Sandra, kebaikan hati bukanlah satu kelemahan, tetapi kekuatan sejati yang dibentuk daripada keberanian. — Instagram/iamsandraohinsta

Legasi wanita ikonik

Sandra yang kini berusia 53 tahun, mencipta nama sebagai antara wanita Asia terawal yang berjaya menempa tempat kukuh di Hollywood.

Penerimaan ijazah kehormat tersebut tidak hanya sebagai pengiktirafan peribadi, malah simbol kejayaan wanita minoriti dalam industri yang sering kali meminggirkan mereka.

Dengan ucapan sarat makna dan sikap rendah diri, Sandra membuktikan kejayaan wanita bukan terletak pada kesempurnaan, tetapi pada keikhlasan untuk hidup secara autentik.

“Apabila dunia menjadi sukar atau indah, sama ada seorang diri atau bersama orang yang kamu sayang, sentiasa ingat untuk menari,” pesannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram