Wartawan asal Pulau Pinang 'survive' jadi ibu tunggal, perkenal masakan tradisional Malaysia di bumi AS


  • Bonda
  • Ahad, 22 Jun 2025

Nani Rahayu berkata, beliau perlu kuat demi masa depan yang lebih baik bersama anak-anak.

SUDAH lebih 100 hari suami tercinta kembali ke alam abadi, namun luka di hati Nani Rahayu Mohd Yusof, 54, masih belum sembuh sepenuhnya.

Apatah lagi, pemergian suaminya, Mikhail Adhiem Swamy Abdullah begitu tiba-tiba.

Mikhail disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung, dipercayai berpunca daripada keletihan melampau dan tekanan darah tinggi selepas bekerja lebih masa.

"Kerinduan terhadap Mikhail tetap terasa begitu mendalam. Walaupun rasa kehilangan itu masih menyakitkan, kami mendapat kekuatan daripada kenangan indah yang pernah dicipta bersama," luahnya kepada Majoriti.

BACA LAGI: [VIDEO] Jualan cecah 50,000 botol sebulan, pengasas Beauboss Perfume tak main 'cheat code'

BACA LAGI: Dari gudang baju lama ke butik, Suna angkat semula keindahan kebaya dalam gaya Gen Z

 

 

Menceritakan kembali sehari sebelum kejadian, wanita itu berkata, beliau berhasrat untuk memasak hidangan kegemaran suaminya iaitu daging dendeng.

“Saya sudah rebus daging dan masak nasi. Dia minta tolong masakkan dengdeng sebab nak bawa bekal ke tempat kerja. Namun hari itu saya sakit kepala sangat.

"Sehingga ketika suami mahu pergi kerja pun, saya tidak dapat bangkit sepenuhnya kerana sakit masih belum reda.

“Saya minta maaf kepada dia dan mintanya bawa gulai daging yang dibeli dari Bazar Indonesia. Esok baru saya masak dendeng,” jelasnya.

Malam tersebut, sebelum tidur, beliau menghantar mesej kepada suaminya, namun tiada balasan.

“Saya tanya balik pukul berapa. Biasanya lambat atau cepat dia akan balas, tapi malam itu langsung tak jawab.

"Saat itu saya sudah merasakan ada sesuatu yang tidak kena terjadi kepada suami," katanya.

Gambar ketika akad di Pulau Pinang pada 2003.

Kebimbangannya menjadi nyata apabila pihak polis memaklumkan suaminya meninggal dunia pada hari kejadian.

Bercerita lanjut, Nani Rahayu berkata, suaminya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika berehat di dalam kereta, di hadapan pejabat.

"Yang paling mengejutkan, beliau terus dibawa ke rumah mayat, bukan ke hospital.

"Saya diberitahu ia merupakan amalan biasa di daerah tersebut dan sebarang perkhidmatan tambahan pula perlu ditanggung sendiri," luahnya.

Dalam keterasingan dan kesedihan mendalam, wanita lebih dikenali sebagai Nani Yusof Hughie itu tidak bersendirian.

Masyarakat Islam Malaysia, Indonesia dan Singapura di Fairfax Virginia, Amerika Syarikat (AS) bersama pegawai Kedutaan Malaysia dan pertubuhan kebajikan wanita ketika itu, tampil membantu menguruskan jenazah Mikhail.

"Rakan saya bernama Rashid dan isterinya, Norlidah turut membantu memastikan pengebumian dilakukan mengikut tuntutan Islam, termasuk mengurus dokumentasi dan memindahkan jenazah ke rumah pengebumian Islam.

“Kos pengurusan jenazah mencecah hampir USD9,000 (kira-kira RM38,000), tetapi saya tidak keluar satu sen pun.

"Semuanya hasil bantuan komuniti, kawan-kawan, badan kebajikan Islam kedutaan sehingga persatuan wanita kedutaan,” jelas bekas Editor Kandungan di Radio Free Asia yang berpusat di Wasington DC itu.

Gambar kenangan Nani Rahayu sekeluarga yang diambil beberapa tahun lalu. 

Diberhentikan kerja

Sebulan selepas tragedi, wanita kelahiran George Town, Pulau Pinang itu menerima satu lagi tamparan hebat.

Beliau diberhentikan kerja susulan kegagalan kerajaan AS meluluskan semula dana kepada agensi tempat beliau bekerja.

Namun di sebalik semua itu, beliau bangkit perlahan-lahan, melalui hal yang sudah sebati dengannya, memasak.

Berkongsi perjalanannya dalam dunia kulinari, tidak keterlaluan jika mengandaikan Nani Rahayu sebagai figura yang menjadikan masakan sebagai wadah penghubung antara budaya, komuniti dan kenangan.

Bekas wartawan di agensi berita rasmi Malaysia itu pernah mencipta nama apabila membuka Restoran Mamak Malaysia halal pertama di New York pada 2014.

Menyajikan hidangan popular masyarakat India Muslim Pulau Pinang, premis itu kemudian menerima penarafan 'Satu Bintang' oleh Michelin Guide, tidak sampai setahun beroperasi.

Nani Rahayu mencipta nama apabila membuka restoran Malaysia halal pertama di New York.

"Selain individu berpengaruh, restoran saya juga pernah dikunjungi putera Brunei, Putera Abdul Mateen Bolkiah dan rombongannya semasa lawatan ke New York," ceritanya yang pernah menyediakan lebih 2,000 cucuk sate sempena Hari Kebangsaan Singapura.

Namun panas tidak sampai ke petang, ibu dua anak masing-masing berusia 16 dan 11 tahun itu akur apabila kedai makannya terpaksa dihentikan operasi dek beberapa kekangan timbul.

Semangat wanita itu tidak luntur. Sebelum membuka restoran, beliau aktif menjalankan khidmat katering kecil-kecilan termasuk menyediakan hidangan tengah hari ke pejabat sekitar Midtown Manhattan.

“Saya dah biasa ambil tempahan begitu, jadi apabila restoran tutup, saya sambung semula buat katering, cuma dalam skala kecil,” ujarnya yang berhijran ke New York selepas mendirikan rumah tangga bersama Mikhail.

Minat Nani Rahayu terhadap dunia masakan bermula sejak kecil selepas didedahkan oleh ibu dan neneknya.

"Saya diajar memasak sejak umur 10 tahun. Ketika berusia 11 tahun pula saya dah pandai buat kuih raya.

"Saya juga pandai menjahit sebab nenek tukang jahit," tutur wanita berdarah campuran, Jawi Peranakan di sebelah ibu manakala Belanda, Thailand serta Nyonya di sebelah bapa.

Nani Rahayu (duduk kanan) ketika menemu bual bekas Senator, Datuk Ras Adiba Radzi.

Beliau juga mula serius menjual kuih raya seawal 2006 ketika berada di New York, dengan pelanggannya terus bertambah setiap tahun.

“Saya buat kuih tradisional seperti semperit dan makmur. Ramai pelanggan tetap yang akan buat tempahan awal,” katanya.

Pasaran halal

Meskipun menetap di negara bukan Islam, Nani Rahayu melihat pasaran makanan halal sebagai peluang besar.

Membesar dalam masyarakat majmuk India, Melayu dan Cina, Jawa, Nyonya di George Town, beliau menjadikan keunikan warisan itu sebagai identiti masakan.

“Pasaran makanan halal besar sebenarnya, ia bersifat universal,” ujarnya.

“Saya tahu masak aneka makanan kerana dibesarkan dengan pelbagai budaya. Laksa Nyonya adalah antara hidangan yang saya sering masak untuk pelanggan bukan Islam di sini,” kongsinya.

Antara masakan Malaysia yang dimasak oleh Nani Rahayu.

Kini, ketika dirinya masih menyesuaikan diri dengan kehidupan tanpa pekerjaan tetap, beliau aktif mengambil tempahan, menyediakan sajian tradisional Pulau Pinang seperti asam laksa, Penang hookien mee, kari ikan dan kuih raya.

Mengakui agak sukar pada mulanya, namun berkat bantuan komuniti di situ, beliau bangkit meneruskan kehidupan.

“Arwah suami dulu selalu bantu di dapur, dari potong bawang sampailah angkat periuk.

"Sekarang saya urus semuanya sendiri, tapi anak-anak dan komuniti di sini banyak sangat bantu.

"Sekarang pun ada jiran-jiran lama seperti pasangan suami isteri warga emas yang sudi tolong kupas bawang untuk siapkan makanan. Saya sangat hargainya,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram