Berkhidmat sejak 1999, Metreweli wanita pertama ketuai M-I6, cipta sejarah agensi perisikan


  • Sukses
  • Rabu, 18 Jun 2025

Lantikan Metreweli (kanan) menjadikannya wanita pertama memegang jawatan tertinggi agensi itu dalam tempoh 116 tahun sejak penubuhannya. — Agensi

SEJARAH baharu tercipta apabila Perkhidmatan Risikan Rahsia Britain (M-I6) melantik seorang wanita, Blaise Metreweli, sebagai ketua baharu.

Lantikan itu menjadikannya wanita pertama memegang jawatan tertinggi agensi itu dalam tempoh 116 tahun sejak penubuhannya.

Metreweli, 47, yang menyertai MI6 pada 1999, kini memegang jawatan Pengarah Jeneral MI6 atau digelar sebagai 'Q', sebuah bahagian strategik menerajui aspek teknologi dan inovasi agensi perisikan tersebut. 

BACA LAGI: Dari makmal ke pentas dunia, 3 saintis wanita Malaysia tempa nama di Mesyuarat Nobel Laureate Lindau di Jerman

BACA LAGI: [VIDEO] Jualan cecah 50,000 botol sebulan, pengasas Beauboss Perfume tak main 'cheat code' 

Beliau akan menggantikan penyandang sekarang, Richard Moore, yang bakal bersara pada musim luruh ini.

Pelantikan bersejarah itu disambut baik Perdana Menteri Britain, Keir Starmer yang menyifatkan keputusan itu tepat pada masanya ketika dunia berdepan pelbagai cabaran keselamatan global.

“Pelantikan ini amat bersejarah, ketika peranan agensi risikan tidak pernah sepenting ini, saya yakin Metreweli akan meneruskan kepimpinan cemerlang untuk mempertahankan negara dan menjaga keselamatan rakyat,” katanya.

Metreweli (dalam bulatan) menyertai MI6 pada 1999. — Agensi

Sumbangan luar Britain

Sepanjang kerjayanya, Metreweli banyak berkhidmat di Asia Barat dan Eropah. 

Beliau juga pernah memegang jawatan kanan di agensi perisikan dalam negeri, M-I5 dan memperoleh anugerah Companion of the Order of St Michael and St George (CMG) pada 2024 atas sumbangan terhadap dasar luar Britain.

Pelantikan itu dilakukan lebih tiga dekad selepas M-I5 melantik wanita pertama sebagai ketua agensi berkenaan.

Metreweli dalam pada itu menzahirkan rasa bangga dan berbesar hati atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

“Saya menantikan peluang untuk terus berkhidmat bersama pegawai dan ejen M-I6 yang berani serta rakan-rakan antarabangsa kami,” ujarnya.

Dalam M-I6, ketua agensi berkenaan dikenali dengan kod nama 'C', iaitu gelaran yang berasal daripada ketua pertama agensi tersebut, Kapten Mansfield Cumming.

Beliau menandatangani surat rasminya dengan huruf 'C' menggunakan dakwat hijau. Tradisi itu masih dikekalkan sehingga hari ini.

Sebagai 'C', Metreweli akan melapor terus kepada Setiausaha Luar dan menjadi anggota Jawatankuasa Risikan Bersama. 

Walaupun terdapat tanggapan umum bahawa 'C' memberi ejen lesen untuk membunuh seperti dalam filem James Bond, hakikatnya hanya Setiausaha Luar boleh memberikan kebenaran rasmi untuk tindakan tertentu di bawah undang-undang.

Pemikir utama

Moore, yang akan berundur selepas lima tahun memimpin M-I6, menyambut baik pelantikan penggantinya.

“Metreweli ialah pegawai risikan yang amat dihormati, berwibawa dan salah seorang pemikir utama kami dalam bidang teknologi. 

"Saya amat gembira beliau menjadi wanita pertama memimpin M-I6,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Luar, David Lammy turut menyifatkan Metreweli calon ideal untuk memimpin agensi itu menghadapi ketidakstabilan global dan ancaman baharu semakin kompleks.

"Saya turut merakamkan penghargaan kepada Moore atas khidmat dan kepimpinannya dalam memperkukuh keselamatan negara,” kata Lammy.

Dengan latar belakang kukuh dalam operasi, teknologi dan diplomasi, pelantikan Metreweli bukan sahaja mencatat sejarah baharu buat M-I6, tetapi juga melambangkan perubahan landskap kepimpinan risikan dalam dunia moden. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram