Jangan abai kesejahteraan diri, Wan Azizah seru wanita seimbangkan kerjaya dan kehidupan


  • Massa
  • Jumaat, 20 Jun 2025

Dari kiri: Chin Tong, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif; Wan Azizah, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan penerima anugerah Women of the Decade.

WANITA diseru agar tidak mengabaikan kesejahteraan diri, termasuk kesihatan mental dalam usaha menyeimbangkan tanggungjawab kerjaya dan kehidupan berkeluarga.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pemerkasaan wanita bukan sekadar melibatkan ekonomi semata-mata, tetapi turut menuntut perhatian terhadap kesejahteraan emosi dan pembahagian tanggungjawab keluarga secara adil.

“Walaupun jadual kerja padat, kita tidak boleh mengabaikan kesejahteraan diri, termasuk kesihatan mental. 

"Keseimbangan hidup dan kerja memerlukan komitmen terhadap pembangunan diri dan pemeliharaan rohani serta emosi,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN 2025 di ibu negara pada Khamis.

BACA LAGI: Dr. Wan Azizah rai isteri pemimpin ASEAN, angkat warisan seni Malaysia, pameran telepuk, bunga orkid jadi perhatian

BACA LAGI: [VIDEO] Supermodel Britain turun Malaysia demi misi selamatkan harimau Malaya daripada terus pupus

Walaupun jadual kerja padat, wanita tidak boleh mengabaikan kesejahteraan diri, termasuk kesihatan mental. — Gambar hiasan

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, ramai wanita berdepan tekanan akibat beban tanggungjawab berganda di tempat kerja dan di rumah, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi mencabar. 

Katanya, isu itu menjadi lebih rumit apabila tiada sokongan mencukupi dalam aspek penjagaan anak dan pengurusan rumah tangga.

“Ya, kita mahu wanita menyumbang pada ekonomi negara. Namun, tanggungjawab menjaga keluarga harus dikongsi bersama. 

"Ibu dan bapa perlu berganding bahu dalam aspek emosi, fizikal dan logistik dalam membesarkan anak-anak serta menguruskan rumah tangga,” tegasnya menambah bahawa keseimbangan itu mungkin tidak sentiasa sama rata, tetapi seharusnya berlandaskan persefahaman dan toleransi.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu turut menyeru agar ibu bapa tidak memandang ringan tanggungjawab menjaga keluarga.

Tanggungjawab itu jelasnya, merangkumi lebih daripada sekadar perbelanjaan yang dapat dilihat. 

"Kerja penjagaan tanpa bayaran, pengurusan rumah tangga dan sokongan emosi mempunyai nilai ekonomi yang besar, walaupun tidak dapat diukur secara langsung.

“Tanpa disedari, ‘keuntungan’ hasil daripada semua ini mungkin hanya dapat dilihat dalam masa 20 tahun akan datang,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai konsep 'SHEconomy' yang kini menjadi agenda penting dalam pembangunan ekonomi serantau, menyifatkan ia sebagai bukti pengaruh besar wanita dalam membentuk masa depan ekonomi ASEAN.

Mengulas tema forum tahun ini iaitu 'Pemimpin Wanita Merentasi Sempadan: Membentuk Masa Depan SHEconomy ASEAN', beliau menyifatkan ia selari dengan visi kepimpinan inklusif dan kerjasama rentas negara yang diperjuangkan.

“Saya percaya forum ini mampu menonjolkan peranan wanita dalam bidang teknologi, kelestarian, perdagangan dan tadbir urus. 

"Marilah kita bersama-sama membina dunia dengan jantina bukan lagi penghalang pada kejayaan,” ujar beliau.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong yang menyuarakan keperluan mendesak untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi Malaysia.

Menurut Chin Tong, meskipun 65 peratus pelajar universiti awam adalah wanita, kadar penyertaan mereka dalam tenaga kerja masih rendah iaitu 56 peratus  berbanding 82.9 peratus bagi lelaki.

“Ini merupakan jurang yang perlu ditangani. Kita juga perlu mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing murah dan memperkukuh sistem penjagaan kanak-kanak untuk menyokong wanita bekerja,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan supaya ekonomi negara dipacu ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi bagi menarik lebih ramai wanita berkemahiran menyertai sektor pekerjaan formal.

Majlis pembukaan WEF ASEAN 2025 turut menyaksikan penyampaian beberapa anugerah berprestij kepada pemimpin dan usahawan wanita, termasuk Women of the Decade, Leaders of the Decade, Iconic Women Creating a Better World for All dan Exceptional Women of Excellence.

Forum anjuran Yayasan Bina Kesejahteraan dengan sokongan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang berlangsung selama tiga hari itu memberi tumpuan pada pembinaan ekosistem ekonomi rentas sempadan yang berteraskan maruah, keterangkuman dan dasar berasaskan data, dengan kesaksamaan gender sebagai prinsip utama.

Antara pengisian forum termasuk sesi fireside chats, plenari, bengkel, perbincangan meja bulat serta penganugerahan WEF sebelum ditutup secara rasmi pada 21 Jun. — The Star/ALLISON LAI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram