
PASANGAN selebriti Indonesia, Al Ghazali dan Alyssa Daguise selamat diijabkabulkan dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung penuh adat di Jakarta Selatan, Indonesia pada Isnin.
Majlis yang diadakan secara tertutup itu menyaksikan penyatuan dua jiwa dalam suasana cukup intim, namun tetap mencuri perhatian ramai apabila foto-foto rasmi pasangan tersebut mula dikongsikan di media sosial.
Lebih menarik, elemen tradisi dan cita rasa fesyen tinggi berpadu indah melalui penampilan memukau pengantin perempuan.
BACA LAGI: Dari gudang baju lama ke butik, Suna angkat semula keindahan kebaya dalam gaya Gen Z
Alyssa tampil menawan dalam busana kebaya Sunda yang direka eksklusif oleh pereka tersohor, Tex Saverio.
Dikenali dengan rekaan avant-garde yang memukau pentas peragaan antarabangsa, ia merupakan kali pertama Tex menterjemahkan sentuhannya dalam rekaan kebaya pengantin.
Pemilihan kebaya Sunda bukan sekadar soal estetika, tetapi juga penghormatan kepada asal-usul ibu Alyssa yang berketurunan Sunda.
"Alyssa Daguise cantik sekali, pakai kebaya Sunda kerana akad pernikahannya memakai adat Sunda, suku asal ibunda Alyssa," tulis tenikhartono menerusi aplikasi Thread pada Isnin.
Tradisi itu diraikan dengan penuh gemilang dalam setiap elemen perincian busana digayakan Alyssa.
Kebaya tersebut mengetengahkan ciri klasik Sunda iaitu bentuk leher suwareh segi lima atau berbentuk huruf U, yang dikenali sebagai 'hati yang manis', mencipta siluet lembut dan feminin.
Perincian renda halus dan potongan tubuh yang anggun menyerlahkan lagi kejelitaan Alyssa di hari paling bermakna dalam hidupnya.
Pemilihan kebaya Sunda sebagai satu penghormatan kepada asal-usul ibu Alyssa yang berketurunan Sunda. — Instagram/alyssadaguise
Tex yang juga pemenang Pertandingan Rekaan Fesyen Femina 2005, sememangnya sinonim dengan karya penuh dramatik dan futuristik.
Namanya pernah menggema di pentas dunia apabila Lady Gaga dan Jennifer Lawrence tampil dengan rekaannya.
Namun kali ini, pereka ikonik itu memilih untuk menzahirkan sisi tradisional dalam gaya kontemporari, dengan membawa nuansa mewah dan elegan kepada kebaya Sunda yang dikenakan Alyssa.
Dengan solekan lembut dan dandanan klasik, Alyssa menghidupkan kembali warisan budaya dalam interpretasi moden.
Pasangan yang telah menjalin hubungan cinta sejak beberapa tahun lalu akhirnya mengakhiri penantian dengan ikatan rasmi pada Isnin.
Alyssa sah menjadi isteri kepada anak Ahmad Dhani dan Maia Estianty hanya dengan sekali lafaz.
Model jelita itu menerima emas seberat 16.6 gram dan wang RM9,940 sebagai mas kahwin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram