
HARI Raya Aidiladha atau disebut juga sebagai Hari Raya Haji sering kali membawa rezeki melimpah ruah kepada umat Islam, khususnya melalui ibadah korban yang penuh makna.
Tidak hairanlah apabila peti sejuk di rumah mula dipenuhi dengan pelbagai jenis potongan daging yang diagih kepada saudara mara dan jiran tetangga dan ada juga yang disimpan sebagai bekalan keluarga.
Namun, dalam keterujaan menerima daging korban, masih ramai yang tertanya-tanya, berapa lama sebenarnya daging ini boleh disimpan dengan selamat?
BACA LAGI : Asalkan tidak busuk, ini hukum simpan daging korban, cara betul simpan dalam peti sejuk
BACA LAGI : Hukum guna wang zakat untuk ibadah korban
Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Dekan Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, daging boleh disimpan sekurang-kurangnnya sehingga 12 bulan atau lebih jika mengikut garis panduan keselamatan makanan yang betul.
Katanya, penyimpanan daging korban perlulah mengikut garis panduan keselamatan makanan yang betul bagi mengelakkan risiko pencemaran bakteria atau keracunan makanan.
"Jika daging korban disimpan pada suhu bilik, risiko pembiakan bakteria amat tinggi dan daging boleh mula rosak dalam tempoh dua jam sahaja, lebih-lebih lagi jika cuaca panas," katanya kepada Majoriti.
Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh
Tambah beliau lagi, bahagian organ dalaman seperti perut atau hati lebih mudah rosak berbanding daging biasa kerana ia mengandungi sisa najis atau lendir semula jadi yang perlu dibersihkan dengan teliti.
"Jika tidak dicuci bersih, ia boleh menyebabkan pencemaran silang kepada makanan lain dalam peti sejuk.
"Organ dalaman perlu dipastikan benar-benar bersih sebelum dibekukan. Jika tidak, ia bukan sahaja merosakkan daging, tetapi juga mencemari bahan makanan lain yang disimpan bersama,” katanya.
Simpan ikut suhu yang betul
Daging boleh disimpan sekurang-kurangnnya sehingga 12 bulan atau lebih jika mengikut garis panduan keselamatan makanan yang betul. — Gambar hiasan
Dr. Sharifa Ezat turut menjelaskan bahawa untuk penyimpanan jangka pendek sekitar dua hingga tiga bulan, daging korban boleh disimpan dalam peti sejuk beku (freezer) dengan suhu bawah 4°Celcius.
"Namun jika ingin menyimpannya lebih lama, sehingga 12 bulan, daging perlu disimpan dalam peti sejuk beku bersuhu bawah -18°Celcius, iaitu pembeku beku penuh (deep freezer).
"Dengan syarat tidak berlaku gangguan elektrik dan daging tidak dikeluarkan berulang kali dari peti sejuk, kualiti daging boleh dikekalkan sehingga setahun," ujarnya.
Namun begitu, walaupun disimpan lama, rasa dan tekstur daging mungkin sedikit berubah kerana proses pembekuan yang panjang boleh menyebabkan daging menjadi kering atau ‘kecut’.
Jangan campur dengan makanan lain
Daging korban yang diterima tidak boleh dicampur dengan makanan beku lain seperti sayur atau makanan siap dimasak. — Gambar Hiasan/Freepik
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mencampurkan daging mentah dengan makanan beku lain seperti sayur atau makanan siap dimasak, kerana ia boleh meningkatkan risiko pencemaran silang bakteria yang sukar dikesan dengan mata kasar.
"Kadang-kadang orang campur daging korban dengan makanan beku lain dalam satu ruang. Ini bahaya, terutamanya jika berlaku kebocoran atau cairan daging menitis," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram