Menanam benih syurga: Panduan dan inspirasi mendidik anak kecil menghafaz Al-Quran


  • Maya
  • Jumaat, 20 Jun 2025

Ibu bapa perlu mencipta rutin membaca Al-Quran dan menghafaz yang konsisten seperti selepas solat Subuh, waktu antara Maghrib dan Isyak atau sebelum tidur.

MENGHAFAZ Al-Quran merupakan impian yang tinggi nilainya dalam hati setiap ibu bapa Muslim. Al-Quran bukan sekadar kitab suci, bahkan cahaya petunjuk yang membimbing hidup manusia dunia dan akhirat. 

Justeru, melahirkan anak-anak yang menghafaz kalam Allah sejak kecil adalah satu bentuk pelaburan akhirat yang amat berharga.

Baru-baru ini, tular di media sosial video seorang anak kecil perempuan yang membaca surah Al-Maun, ayat 1 hingga 7 dalam gerak gerinya seperti berceramah menunjukkan dia begitu memahami maksud ayat tersebut.

BACA LAGI: Bapa moden bukan tahu semua, tapi yang ingin terus belajar, berubah demi jaga amanah ALLAH

BACA LAGI: Bacaan ringkas, mudah diamalkan! Mustajab doa ibu bapa, senjata ampuh bentuk kehidupan anak-anak

Malah, ramai yang melahirkan rasa kagum di atas kejayaan ibu bapanya dalam mendidik anak tersebut menghafaz dan memahami Al-Quran dengan baik.

Ketua Eksekutif Kolej Islam As-Sofa, Dr. Muhammad Sufi Ibrahim Al-Hafiz berkata, usia kecil adalah fasa emas perkembangan otak manusia. 

“Ketika ini, daya ingatan mereka sangat kuat, lebih mudah menerima dan menyimpan maklumat dalam jangka masa panjang. 

“Maka, mendidik anak-anak kecil untuk menghafaz al-Quran sejak awal usia memberikan kelebihan dari sudut kecekapan memori dan pembinaan rohani,” ujar beliau ketika dihubungi Majoriti.

Muhammad Sufi Ibrahim berkata, mendidik anak-anak kecil untuk menghafaz al-Quran memberikan kelebihan dari sudut kecekapan memori dan pembinaan rohani.

Dr. Muhammad Sufi menegaskan, Nabi Muhammad SAW sendiri menekankan kepentingan pendidikan agama sejak kecil termasuklah membaca Al-Quran. 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim, Baginda SAW bersabda:

“Ajarilah anak-anak kamu tiga perkara: cinta kepada Nabi kamu, cinta kepada keluarga Baginda dan membaca Al-Quran.”

Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Sufi berkata, jika kita menyusuri sirah para sahabat RA dan para ulama, sejarah menukilkan ramai tokoh Islam berjaya menghafaz Al-Quran pada usia yang sangat muda.

“Salah seorangnya ialah Zaid bin Thabit RA. Beliau merupakan salah seorang penulis wahyu Nabi SAW dan telah menghafaz Al-Quran sejak kecil.

“Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Zaid memainkan peranan penting dalam pengumpulan kitab suci Al-Quran,” jelas beliau.

Tambah Dr. Muhammad Sufi, Imam Syafi’i rahimahullah juga dikurniakan anugerah menghafaz keseluruhan Al-Quran pada usia 7 tahun. 

“Kejayaannya ini menjadi asas kepada kehebatannya dalam ilmu fiqh dan usuluddin. Begitu juga Imam al-Nawawi, sejak kecil beliau tidak pernah membuang masa dengan permainan, sebaliknya menghafaz Al-Quran pada usia muda hingga berjaya menghasilkan karya besar dunia Islam seperti kitab seperti Riyadhus Salihin dan al-Majmuk.

“Kisah-kisah ini membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang bahkan kelebihan buat anak-anak untuk menghafaz Kalam ALLAH,” ujarnya lagi.

Sebagai seorang hafiz Quran, Dr. Muhammad Sufi juga menekankan pentingnya didikan ibu bapa dalam melahirkan generasi celik dan hafaz kitab suci serta memahami isi kandungannya sebagai panduan dalam kehidupan.

“Anak-anak dilahirkan ibarat kain putih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mencorak dan melakar warna-warna yang diinginkan mereka agar kain itu menjadi sesuatu yang indah berguna di pandangan mata.

“Jika mahu anak-anak kenal Al-Quran, maka sejak kecil kitab suci itu perlu diperkenalkan kepada mereka. Mulakan dari rumah, bukan sekadar bergantung harap pada ustaz dan ustazah.

“Tidak lupa antara yang penting ibu bapa harus menjaga pemakanan anak-anak dari kecil dan seboleh-bolehnya elak daripada mengambil makanan yang syubhah kerana ia juga antara faktor yang menyumbang kepada daya ingatan dan hafalan yang kuat buat mereka dalam aspek keberkatan,” tegasnya.

Sementara itu, Dr. Muhammad Sufi turut berkongsi kisah pelajar Daqwah Quran Wal Hadith As Sofa, Muhammad Andra Al-Iman Mohd Zebby yang pernah mencipta sejarah bergelar hafiz Quran pada usia 9 tahun.

Menurutnya, kedua ibu bapa Muhammad Andra telah memulakan langkah membawa anak mereka yang berusia setahun mengikuti pengajian dan kuliah ilmu anjuran As Sofa.

“Melalui penerapan bi’ah Islamiyyah dalam kehidupan seharian, ia merupakan asas penting dalam membentuk peribadi anak-anak Muslim yang bertakwa, berakhlak mulia dan menjadikan Al-Quran serta sunnah sebagai pedoman dalam hidup,” katanya.

Kelebihan Menghafal Al-Quran

Dr. Muhammad Sufi berkata, golongan yang menghafal Al-Quran sangat mulia di sisi ALLAH SWT dan mereka akan menerima penghormatan di akhirat.

Ia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca Al-Quran dan mengamalkannya, maka kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota daripada cahaya yang sinarnya lebih terang daripada cahaya matahari.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Selain itu, pembaca Al-Quran juga akan mendapat syafaat daripada ayat-ayat yang dibaca ketika di dunia.

Sabda Rasulullah SAW: “Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat memberi syafaat kepada pembacanya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Malah, mereka juga akan tergolong dalam kalangan orang-orang yang diangkat darjatnya oleh ALLAH lantaran kelebihan menjadi penghafaz Al-Quran.

Usia kecil adalah fasa emas perkembangan otak manusia. 

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah akan mengangkat satu kaum dengan Al-Quran dan menjatuhkan yang lain dengannya. (Hadis Riwayat Muslim)

Firman Allah dalam Surah al-Qamar, ayat 17 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan?”

Kesimpulannya, Dr. Muhammad Sufi menegaskan, menghafaz Al-Quran adalah satu usaha yang memerlukan kesabaran dan kesungguhan, lebih-lebih lagi dalam mendidik anak-anak kecil. 

“Namun ganjarannya amat besar, bukan sahaja untuk anak-anak, bahkan buat ibu bapa yang mendidik mereka.

“Marilah kita menjadi insan yang merebut peluang keemasan ini iaitu dengan menanam benih syurga dalam jiwa anak-anak kita melalui Al-Quran yang agung,” ungkap Dr. Muhammad Sufi menutup bicara.

 

Tip dan Panduan Ibu Bapa Bagi Melahirkan Anak-Anak Hafiz Hafizah Quran

1. Mulakan Dengan Suasana Rumah yang Sentiasa Dihiasi Bacaan Al-Quran

Putarkan bacaan Al-Quran secara konsisten di rumah seawal anak masih bayi. Anak-anak kecil amat cepat menangkap bunyi dan lenggok bacaan yang diulang-ulang.

2. Jadikan Hafazan Sebagai Aktiviti Harian, Bukan Paksaan

Ciptakan rutin membaca Al-Quran dan menghafaz yang konsisten seperti selepas solat Subuh, waktu antara Maghrib dan Isyak atau sebelum tidur. Pastikan suasana mempelajari Al-Quran dalam keadaan ceria dan tidak menekan.

3. Bermula Dengan Surah Pendek dan Kerap Ulang

Pilih surah-surah pendek dari Juz Amma seperti Al-Fatihah, An-Nas, Al-Falaq dan Al-Ikhlas. Ulang bacaan yang sama selama beberapa hari agar ia sebati dalam ingatan anak-anak kecil. 

4. Gunakan Kaedah Visual dan Audio

Flashcard, video animasi Islamik dan aplikasi hafazan juga boleh membantu anak-anak mengingat dengan lebih mudah dan pantas.

5. Berikan Ganjaran yang Positif

Setiap kali anak berjaya menghafaz satu surah, berikan pujian atau hadiah kecil. Ini meningkatkan motivasi mereka untuk terus berusaha mempelajari dan mengingati bacaan Al-Quran.

6. Ibu Bapa Sebagai Teladan

Anak-anak biasanya akan meniru perbuatan lebih daripada mendengar nasihat. Jika ibu bapa sendiri membaca dan menghafaz Al-Quran di rumah, maka anak-anak akan lebih mudah mengikut jejak langkah tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram