Bapa moden bukan tahu semua, tapi yang ingin terus belajar, berubah demi jaga amanah ALLAH


  • Bonda
  • Ahad, 15 Jun 2025

Tugas seorang ayah bukan sahaja mencari nafkah, tetapi mendidik anak-anak dengan cinta dan kasih sayang. — Gambar hiasan

DALAM era moden yang serba pantas dengan pelbagai teknologi canggih, peranan seorang ayah semakin berubah.

Ia bukan lagi sekadar pencari nafkah untuk keluarga, tetapi turut menjadi rakan emosi, pendidik dan pembimbing moral buat anak-anak yang semakin membesar.

Firman ALLAH SWT dalam surah At-Tahrim, ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalahdiri kamu dan keluarga kamu dari api neraka.”

Ayat ini menunjukkan bahawa setiap bapa bertanggungjawabmemastikan ahli keluarganya, termasuk anak-anak, terdidik dengan ilmu agama agar terselamat daripada azab neraka.

BACA LAGI: [VIDEO] Penari cilik 'Little Bornean Birdie' tak abai pelajaran, walau sedang 'terbang' tinggi di pentas dunia

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan tudung sarung, selendang, kini telekung jadi trend wanita di Sulawesi gaya ke pasar, kenduri kahwin

Persoalannya, bagaimana seorang ayah moden boleh membesarkan anak dengan seimbang antara kasih sayang dan ketegasan?

Penulis buku keibubapaan Parent Think's dan Parent Thank's, Ammar Kamilin berkata, kunci utama dalam membesarkan anak hari ini ialah menggabungkan cinta tanpa syarat dengan disiplin yang bijaksana.

“Anak-anak perlukan sempadan, tetapi mereka juga perlukan pelukan. Kita tidak boleh hanya menjerit dan berharap anak berubah.

“Sebaliknya, mereka mesti faham kenapa sesuatu itu betul atau salah dan itu datang daripada komunikasi dan kasih sayang antara anak dan ayah,” ujar Ammar kepada Majoriti.

Cinta mendidik, bukan memanjakan

Menurut Ammar, ramai ibu bapa pada masa kini keliru antara frasa menyayangi dan memanjakan anak.

“Sayang yang mendidik itu ada batasnya. Kita peluk mereka, kita dengar mereka tetapi dalam masa yang sama, kita juga tidak membiarkan mereka menguasai kita,” jelasnya.

Beliau menekankan pentingnya kehadiran ayah dalam kehidupan anak-anak, bukan sekadar secara fizikal, tetapi juga secara emosi dan spiritual.

“Seorang ayah bukan hanya hadir dengan tubuhnya, tetapi dengan hati. Anak-anak perlu merasai kasih, bimbingan dan doa ayah ada dalam setiap langkah hidup mereka. Ini yang akan membentuk jati diri anak-anak apabila semakin meningkat dewasa,” tegas Ammar.

Menurut Ammar, bapa zaman moden perlu menunjukkan contoh baik dalam kehidupan harian dari segi bercakap, bekerja, mengurus emosi atau menghormati pasangan kerana anak-anak sedang memerhati. — Gambar hiasan/Freepik dijana AI

Disiplin tanpa kekerasan

Bagi golongan bapa, satu lagi cabaran besar ialah bagaimana melaksanakan disiplin terhadap anak-anak tanpa menggunakan kekerasan.

Dalam situasi ini, Ammar menyarankan penggunaan kaedah disiplin yang membina seperti memberi pilihan, menetapkan rutin dan memberi ganjaran berbentuk tanggungjawab.

“Marah bukan cara utama. Yang utama adalah konsistensi. Apabila anak tahu ayahnya tegas tapi adil, mereka akan belajar untuk hormat, bukan takut,” jelas beliau lagi.

Ayah role model

Tambah Ammar, ayah zaman moden juga perlu menunjukkan contoh yang baik dalam kehidupan harian.

Sama ada dalam cara bercakap, bekerja, mengurus emosi atau menghormati pasangan, anak-anak sedang memerhati dan meniru tingkah laku mereka.

“Kita tak boleh suruh anak jadi penyabar kalau kita sendiri cepat melenting,” kata Ammar penuh makna.

Beliau turut membawakan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang lelaki dalam pemimpin dalam keluarganya dan dia bertanggungjawab ke atas mereka.” (Hadis Riwayat Bukahridan Muslim)

“Hadis ini menjelaskan betapa besarnya peranan utama seorang ayah sebagai ketua dan pendidik dalam keluarganya,” kata Ammar.

Menjadi ayah yang belajar

Sebagai usaha untuk menjadi ayah terbaik buat anak-anak, Ammar turut menyeru agar para lelaki yang bergelar bapa lebih terbuka untuk belajar ilmu keibubapaan.

“Ya, untuk mahir kepada sesuatu perkara, kita perlu pada ilmu. Sama ada melalui bacaan, menyertai bengkel atau berkongsi pengalaman dengan ayah lain, itu juga satu bentuk pembelajaran dalam kehidupan.

“Ayah moden bukanlah ayah yang tahu semua, tapi ayah yang mahu belajar dan berubah demi kesejahteraan seisi keluarga,” tambah beliau.

Mengakhiri bicara, Ammar memberitahu, membesarkan anak bukan kerja sehari dua dan bukan hanya tanggungjawab seorang ibu, tetapi tugas bersama antara ibu dan bapa.

Dalam dunia yang penuh cabaran ini, ayah moden perlu tampil sebagai pelindung penyayang, pendidik yang sabar dan pemimpin yang berprinsip.

Seperti ditegaskan Ammar, “Cinta tanpa disiplin adalah manja. Disiplin tanpa cinta adalah ketakutan. Tapi apabila cinta dan disiplin bersatu, itulah jalan membentuk anak yang berjiwa besar dan mentaati perintah ALLAH.”

7 tip besarkan anak dengan cinta, disiplin

1. Jadi pendengar aktif

Luangkan masa untuk benar-benar mendengar anak. Jangan terus menghukum sebelum memahami perasaandan situasi mereka.

2. Tegas dalam kasih sayang

Tetapkan peraturan rumah yang jelas, tetapi jelaskan sebabnya dengan nada yang lembut dan penuh kasih. Anak lebih mudah patuh bila rasa difahami.

3. Konsisten dalam tindakan

Jika anda melarang sesuatu hari ini, kekalkan pendirian itu esok. Konsistensi membantu anak faham batasan dengan lebih jelas.

4. Libat anak dalam keputusan ringan

Beri mereka pilihan kecil seperti memilih pakaian atau makanan sihat – ini menanam rasa tanggungjawab dan kepercayaan diri.

5. Gunakan ‘time-in’ bukan hanya ‘time-out’

Time-in bermaksud duduk bersama anak ketika mereka marah atau kecewa untuk membimbing emosi mereka – bukan sekadar menghukum dengan memencilkan mereka.

6. Jadi role model

Anak belajar lebih banyak daripada apa yang mereka lihat berbanding apa yang mereka dengar. Tunjukkan nilai disiplin, sabar, dan hormat melalui tindakan.

7. Peluk, pujuk, pimpin

Jangan kedekut dengan pelukan. Anak yang cukup kasih sayang dari ayah lebih cenderung berdisiplin secara dalaman dan bukan hanya takut hukuman.

Petikan kata Ammar Kamilin:

“Anak-anak bukan saja anugerah, malah amanah ALLAH. Kita bukan mahu anugerah bapa atau ibu terbaik dunia. Cukuplah anak-anak terdidik, baik budi dan mendengar kata.” Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram