
“MAK, rumahmu bagaikan madrasah.” Itulah ungkapan sayu ditulis oleh pendakwah terkenal, Ustazah Asni Abu Mansor sejurus pemergian ibu tercinta, Rupiah Suhada yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.38 petang pada Sabtu.
Dalam suasana penuh hiba, keluarga besar Asni termasuk adik-beradik dan anak-anak saudara bersatu hati menghadiahkan bacaan 30 juzuk al-Quran buat arwah ibu sebagai tanda cinta dan kasih sayang.
“Alhamdulillah selesai round pertama khatam buat bonda dari anak cucu. Next round insya-ALLAH kami teman mak dengan bacaan al-Quran sampai Ahad,” tulisnya dalam hantaran di Instagram, yang turut mencuri perhatian ramai pengikutnya.
BACA LAGI: Nak beli rumah pertama? Ketahui 10 tip ini untuk elak tersilap langkah dan menyesal kemudian hari
BACA LAGI: Lepas 'berhijrah' ke Pulau Siargao, Ben Amir buka Rasa Siargao perkenal masakan Malaysia
Menurut Asni, jenazah ibunya dimandikan pada pukul 9.30 pagi Sabtu dan dikafankan setengah jam kemudian, sebelum disolatkan di Masjid Kariah Felda Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan.
Asni turut berkongsi bahawa beliau sempat mengalunkan selawat qasidah ketika mengiringi jenazah dalam van menuju ke rumah, menggambarkan betapa setiap detik terakhir bersama ibunya dipenuhi dengan zikir dan pengharapan agar roh bondanya diberkati Tuhan.
Selama hayat Allahyarhamah, Asni juga sering membacakan zikir dan selawat ketika menjaga ibunya yang semakin uzur.
Rutin itu terus dikekalkan walaupun setelah ibunya pergi menghadap Ilahi.
Seorang kenalan rapat keluarga, Mastura berkata, beliau amat tersentuh dengan keikhlasan keluarga tersebut.
“Beruntungnya nenek, anak cucu hadiahkan 30 juzuk sebagai bekalan untuk ke alam abadi. Takziah buat Ustazah Asni dan keluarga. Semoga dikurniakan ketabahan. Kenangan di Makkah bersama arwah mak Ustazah takkan dilupakan.”
Ramai juga rakan artis yang turut mendoakan buat ibu Asni agar memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat.
"Innalillahi wainna ilahi rojiun. ALLAH, semoga bodan ditempatkan syurga tertinggi tanpa hisab tanpa azab. Ustazah khidmat sungguh dengan bonda, semoga ALLAH satukan kembali kalian di Jannatul Firdaus tanpa hisab tanpa azab. Aminn," tulis Heliza Helmi.
"Salam takziah ustazah dan keluarga. Moga arwah ditempatkan dalam kalangan orang soleh. You did your best untuk jaga dia. Besar ganjaran kelak. Hugs ustazahku sayang," tulis Aishah Azman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram