Tanggungjawab bapa dalam Islam, cabaran, peranan tak berubah walau era moden


  • Bonda
  • Sabtu, 14 Jun 2025

Individu bergelar bapa dituntut memberi nafkah secukupnya buat isteri dan keluarga. — Gambar hiasan/Janaan AI.

KEBELAKANGAN ini timbul pertikaian terhadap isu nafkah wajib ditunaikan individu bergelar bapa terhadap keluarga.

Perubahan zaman moden kini menyaksikan peranan dan tanggungjawab menyara keluarga kian dipikul sama rata oleh pasangan suami isteri demi menampung perbelanjaan yang semakin mendesak ketika ini.

Namun, tanggungjawab seorang bapa dalam keluarga Islam bukan sahaja terikat kepada nas al-Quran dan hadis, malah turut berkembang mengikut perubahan zaman.

BACA LAGI: Mengandung luar rahim kali ke-2, Sari Yanti tabah, rayu doa pembedahan jalan lancar

BACA LAGI: Bantu bayi tidur berkualiti, Intan Najuwa antara amal kaedah 'sleep training' buat Imane Lunara

Sementara tanggungjawab tradisional menekankan peranan sebagai pemberi nafkah keluarga, masyarakat moden kini menuntut bapa tampil lebih responsif terhadap keperluan emosi, sokongan psikologi serta perkongsian peranan dalam rumah tangga.

Nafkah suami terhadap isteri bukan sekadar berbentuk wang, bahkan turut dituntut dalam bab pengurusan rumah tangga. — Gambar hiasan/Janaan AI

 

Peranan bapa zaman tradisional

Menurut Surah an-Nisa’ ayat 34, suami diangkat sebagai pemimpin keluarga kerana kelebihan yang dianugerahkan oleh ALLAH, serta tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak.

Imam al-Qurṭubi dalam tafsirnya menjelaskan, bapa bukan sahaja perlu menyediakan makanan dan tempat tinggal, tetapi juga pendidikan dan kesihatan keluarga.

Selain itu, hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim menegaskan peranan bapa sebagai pembimbing dan pelindung dalam institusi kekeluargaan.

“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu bertanggungjawab terhadap orang bawahannya,” sabda Nabi SAW.

Namun, perubahan ekonomi dan sosial masa kini menyaksikan bapa turut perlu memainkan peranan lebih aktif dalam urusan rumah tangga.

Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr. Asar Abdul Karim menekankan penglibatan bapa dalam penjagaan anak sekali gus mencerminkan teladan Rasulullah SAW yang turut membantu isterinya dalam urusan rumah tangga.

Dr. Asar Abdul Karim merupakan tenaga pengajar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Kajian juga menunjukkan tahap kecerdasan emosi seseorang anak, berkait rapat dengan penglibatan kedua ibu bapa dalam perkembangan psikologi mereka.

Justeru, peranan bapa kini bukan sahaja bersifat fizikal dan material, tetapi juga menyentuh aspek emosi dan psikososial.

Peranan bapa zaman moden

Dalam konteks ekonomi moden, peningkatan kos sara hidup menyebabkan ramai keluarga memilih suami dan isteri kedua-duanya bekerja.

Walaupun tanggungjawab utama nafkah masih terletak di bahu suami menurut hukum Islam, sumbangan isteri boleh dianggap sebagai bentuk kerjasama, lebih-lebih lagi dalam situasi mendesak seperti penyakit atau kehilangan pekerjaan.

Namun demikian, isu suami yang memilih untuk tidak bekerja dan hanya bergantung pada pendapatan isteri menimbulkan persoalan.

Walaupun ulama berbeza pandangan mengenai tanggungjawab isteri dalam soal nafkah, prinsip asas tetap menekankan bahawa suami adalah qawwam (pemimpin) keluarga dan bertanggungjawab atas keperluan asas keluarganya.

Konsep 'mawaddah wa rahmah' seperti yang dinyatakan dalam Surah ar-Rum ayat 21 menjadi asas kepada keharmonian rumah tangga.

Kasih sayang, belas ihsan, sikap saling memahami, reda dan tolak ansur menjadi tunjang utama dalam membentuk keluarga yang sejahtera.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Tirmizi menutup perbincangan ini dengan penuh hikmah:

"Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik terhadap keluargaku."

Justeru, tanggungjawab bapa dalam Islam tidak pernah lapuk, malah sentiasa relevan dalam pelbagai bentuk mengikut zaman, yang berubah hanyalah cara pelaksanaannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram