Pandu Puteri bergiat seiring peredaran teknologi, kekal beretika — Raja Permaisuri Agong


  • Primer
  • Rabu, 21 Mei 2025

Raja Permaisuri Agong berkenan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia kali ke-60 2025 di Kota Bahru, Kelantan, pada Rabu. — Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

SERI Paduka Baginda, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah bahawa Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPM) memainkan peranan penting dalam membimbing ahli-ahlinya agar bersedia menghadapi cabaran era digital yang semakin pesat berkembang, pada Rabu.

Seri Paduka Baginda bertitah, dunia kini berubah dengan pantas seiring kemajuan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) yang semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.

Justeru, Raja Permaisuri Agong menekankan kepentingan untuk ahli-ahli Pandu Puteri bukan sahaja celik digital, malah turut mengekalkan nilai etika dan kemanusiaan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Membesar dengan duit telekung', Lisdawati sebak kenang kegigihan ibu jahit, sulam telekung sara keluarga

BACA LAGI: [VIDEO] Seronoknya Yusuf, Alisa masak 'beef cottage pie', Hanis Zalikha didik anak guna bahan segar, semula jadi

Raja Permaisuri Agong berkenan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPM kali ke-60 yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan pada Rabu. — Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

"Dunia kini berada dalam peredaran masa yang amat pantas, di mana kemajuan teknologi berkembang dengan begitu pesat. AI bukan lagi sesuatu yang asing, bahkan ia menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.

"Saya percaya bahawa anak-anak gadis yang berada dalam persatuan ini akan dibimbing menjadi celik digital, bijak memanfaatkan teknologi dan pada masa sama kekal beretika serta berjiwa insan," titah Seri Paduka Baginda yang juga Penaung Diraja PPM menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPM kali ke-60 yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan pada Rabu.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah dan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Hadir sama ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Persidangan dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-60 PPM itu berlangsung selama empat hari bermula 19 Mei sehingga 22 Mei.

Keberangkatan tiba Raja Zarith Sofiah disambut Sultanah Nur Diana Petra Abdullah. — Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong selamat berangkat tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada Selasa bagi memenuhi lawatan rasmi selama dua hari.

Keberangkatan tiba baginda disambut Sultanah Nur Diana Petra Abdullah bersama adinda, Tengku Amalin A'ishah Putri Sultan Ismail Petra.

Turut berangkat mengiringi Raja Permaisuri Agong, Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Dalam pada itu, penampilan Raja Permaisuri Agong turut mencuri tumpuan apabila baginda berbusana baju kurung merah jambu bermotifkan floral, sekali gus mempamerkan sisi lembut peribadi.

Gaya Raja Permaisuri Agong juga disempurnakan dengan padanan rantai mutiara dan hijab dihiasi perincian manik halus pada 'awning' serta bahagian tepi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram